"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa dosanya kibar Sang Saka Malaya?

Ahmad Lutfi Othman
Sambutan kemerdekaan negara kita memang tidak sunyi daripada polemik. Sumbangan para pejuang yang berhempas-pulas menghalau penjajah dengan darah dan air mata turut menjadi pertikaian. Umno mahu membolot legasi perjuangan mulia itu; seolah-olah ia sahaja berperanan membebaskan watan tercinta.
Tahun lalu heboh kontroversi Mat Indera dan peristiwa Bukit Kepong. Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dilanyak Utusan Malaysia berminggu-minggu tanpa diberi peluang membela diri. Di peringkat awal, PAS nampak tersudut ke penjuru kelam, kononnya tidak langsung menghargai pengorbanan pasukan keselamatan, sekali gus mengagungkan "wira komunis".

Bagaimanapun, tanpa dirancang, minat masyarakat untuk menelusuri jejak perjuangan membebaskan tanahair daripada cengkaman penjajahan British meningkat dengan drastik sekali. Naluri ingin tahu fakta sebenar membuak. (Secara peribadi, saya yakin, apa jua kontroversi, jika disorot melalui tradisi keilmuan yang segar dan mantap, pastinya mendatangkan manfaat buat semua).

Satu Wacana Merdeka, yang dianjurkan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, pada 23 September 2011, di Dewan Uliah A, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM, mendapat sambutan memberangsangkan. Saya yang masih bertongkat, terpaksa hadir awal dan mendaftar sebelum jam 8 pagi, bimbang tidak mendapat tempat.

Sejarah, yang sering dianggap pengulangan cerita lama yang membosankan, tiba-tiba menggamit minat luar biasa masyarakat awam. Dari sisi lain, sekurang-kurangnya pusara anggota polis yang terbunuh di Bukit Kepong itu, tidak lagi terbiar. Ramai cuba mempamerkan simpati. Dan lebih penting, sehubungan itu, nasib pesara pasukan keselamatan, menjadi perhatian istimewa pemerintah, dengan menawarkan beberapa insentif menarik.


Ya, segalanya dimulakan oleh ceramah Mat Sabu di Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011. Rahmat terselindung -- ramai juga (khususnya bekas polis dan tentera) mendapat manfaat atau "durian runtuh" ekoran kalimat yang dilihat kontroversi itu!

Seterusnya, soal yang berlegar sekitar pentafsiran sejarah itu, bukan sahaja disinggung tokoh akademik dan Majlis Profesor Negara, malah turut diheret ke mahkamah. Hakim diminta memutuskan isu berkaitan perdebatan proses kemerdekaan Tanah Melayu -- suatu dimensi yang sepatutnya terbuka untuk perkongsian lebih ramai khalayak.

Sememangnya proses pendakwaan kes jenayah di negara kita (bukan hanya Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA, yang digunakan sebagai senjata politik) sering menjadi alat atau perkakas siasah pemerintah apabila berdepan saingannya. (Saya terkenangkan Lim Guan Eng disumbat ke penjara selama hampir dua tahun melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dalam kes membabitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tamby Chik, sedangkan ia lebih kepada pertarungan politik).

Terbaru, aksi beberapa anak muda yang mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" di Dataran Merdeka, menjelang detik 12 tengah malam 31 Ogos lalu, secepat kilat dimanipulasi untuk mempamerkan "wajah hodoh" Pakatan Rakyat dan pemimpin Bersih. Rupanya kempen politik BN dalam sambutan 55 Tahun Merdeka Janji Ditepati belum berakhir dengan himpunan besar-besaran di Stadium Bukit Jalil ....

Meneliti laporan media (yang sentiasa menunggu bagai singa lapar untuk menghitam-legamkan wajah pembangkang, berdepan PRU13), dua insiden berbeda pada malam himpunan Janji Demokrasi itu cuba dihubungjalinkan dan dikaitkan dengan Pakatan Rakyat.

Selain itu, penonjolan "Sang Saka Malaya" mahu disamakan dengan peristiwa memijak (dan tunjuk punggung) ke atas gambar Perdana Menteri, Najib Razak, dan isterinya, Rosmah Mansor, serta Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Abdul Aziz Yusof. Pihak polis berkata, siasatan dijalankan di bawah Akta Hasutan (yang mahu dimansuhkan itu), Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

Pastinya setiap kita tidak dapat menerima aksi melampau, mencabuli akhlak dan tidak bertamadun memijak gambar Najib itu. Walaupun ramai berkongsi tekad dan keazaman yang tinggi untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib dalam PRU13, namun segalanya perlu dibuat melalui amalan demokrasi. Justeru, yang dituntut adalah sistem pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Sejak merdeka, pembangkang, khususnya PAS sebagai oposisi tertua, sentiasa dizalimi, dianiaya dan dinafikan hak sebagai parti berdaftar untuk bertanding di "atas padang yang sama rata".

Pemimpin dan aktivisnya bukan saja ditahan (sebahagiannya tanpa bicara), dibuang daerah, didiskriminasi serta melalui siri tribulasi dan mehnah yang panjang, malah ada yang dibunuh, namun sistem pilihan raya yang serba tempang-kotor itu tetap dihormati. Mereka tidak pernah absen daripada menyertainya setiap kali diadakan.

Selama lebih lima dekad lalu, kesabaran dan toleransi tinggi petugas PAS -- biarpun ditindas dan ditekan -- telah berjaya mewujudkan suasana aman-stabil yang berterusan. Ramai sarjana sejarah, termasuk di peringkat antarabangsa, menyanjung tinggi sikap berlapang dada pemimpin Parti Islam itu, sekali gus menolak pendekatan militan.

Saya sukar memahami motif Buletin Utama TV3, yang begitu kerap mengulangi rakaman aksi gambar Najib dipijak, seperti disaksikan 4 September lalu. Memanglah tujuannya untuk menanamkan rasa jelik kepada pelaku, yang mahu dikaitkan dengan penyokong Pakatan Rakyat, tetapi dengan ulangsiar berlebihan, ia boleh mengundang persoalan, mengapa marah sangat mereka terhadap Perdana Menteri? Rakyat kini bijak membaca dan menyelongkar apa yang tersirat, berbanding paparan tersurat.

Realitinya, tindakan pijak potret pemimpin bukan isu baru. Sepatutnya pihak polis bukan hanya bertindak segera dan pantas terhadap aksi pada sambutan ambang kemerdekaan itu, tetapi juga kepada deretan insiden yang jauh lebih tragis dan tersusun, termasuk mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap pemimpin dan penyokong Pakatan.

Dalam kenyataannya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng meminta polis mengambil tindakan serupa terhadap pelaku yang memijak posternya, Mei lalu, yang turut melakukan upacara simboik pengkebumian di hadapan rumahnya. Begitu juga dengan "tarian punggung" di luar rumah Pengerusi Bersama Bersih, Ambiga Sreenevasan. (Lim juga dihina dengan penyerahan "kek tahi").

Ramai ingin tahu nasib laporan polis yang dibuat pemimpin Pakatan, yang diserang dan diganasi oleh samseng Umno dan Perkasa, ketika berceramah di seluruh negara, misalnya membabitkan Anwar Ibrahim, Mat Sabu dan Nurul Izzah.

Usah kukuhkan lagi imej buruk polis sebagai sebahagian perkakasan politik Umno yang amat memalukan itu. Seperti kata AJK PAS Pusat Pusat, Ustaz Idris Ahmad: "Semua rakyat memerhati dan berfikir, adakah pemimpin Umno yang bebal itu akan terus kebal?"

Meneliti kenyataan dua individu yang mengakui bertanggungjawab membuat dan mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" dalam blog Singa Selatan, yang mendakwa tidak mewakili mana-mana parti politik, saya kira insiden itu -- seperti juga ceramah Mat Sabu mengenai Mat Indera -- yang kelihatan agak mengejutkan dan mempunyai elemen radikalisme, akan menimbulkan polemik berpanjangan dan tidak mustahil di hujungnya nanti merupakan "satu pencerahan yang produktif" tentang asal-usul perjuangan memerdekakan tanahair.

"Kami mewakili golongan anak muda yang ingin menonjolkan kebenaran dan sejarah yang cuba ditenggelamkan oleh pihak yang bertanggungjawab, jauh sekali bermotif untuk menukar Jalur Gemilang kepada Sang Saka Malaya," tulisan itu dipetik.

Setelah menjelaskan inti perjuangan golongan kiri yang terawal memperjuangkan kemerdekaan seperti, KMM, PKMM, API, termasuk juga gerakan Islam Hizbul Muslimin, dirumuskan Sang Saka Malaya adalah panji perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu. Beliau mengakui tujuannya mengibarkan bendera itu untuk memperingatkan orang ramai terhadap tokoh-tokoh pejuang seperti Ibrahim Yaakob, Ahmad Boestamam, Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Hj Muhammad dan Ustaz Abu Bakar Baqir.

Tiada mana-mana parti politik dalam Pakatan menyokong usaha mereka. Namun media Umno, seperti lazimnya, tanpa merujuk sumber sahih, cuba mendakwa Pakatan akan menukar bendera. Anwar menekankan, "tiada niat untuk kita menukar bendera Malaysia." Ustaz Idris menjelaskan, "pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan tidak pernah ada perbincangan langsung untuk menukar bendera, cuma yang ada hanya untuk menukar kerajaan."


Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali mahu siasatan segera dibuat: "Perbuatan ini sangat tidak wajar dan satu pengkhianatan kepada kesepakatan yang diterima pakai rakyat Malaysia."

Polemik Sang Saka Malaya ini mengingatkan saya tentang buku Memoir Ahmad Boestamam, Merdeka dengan Darah dalam Api, terbitan Universiti Kebangsaan Malaysia (2004), yang menggabungkan tiga karya asal, Lambaian Dari Puncak, Merintis Jalan ke Puncak dan Tujuh Tahun Malam Memanjang.

Dalam bab "PKMM Menarik Diri dari Umno", Boestamam, dengan gaya ceritanya yang menarik, mengisahkan perjalanan sidang pertama Umno pada 1946, apabila wakil badan-badan gabungan diminta mengusul bendera atau lambang parti itu.

PKMM diwakili Ishak Hj Muhammad dan Boestamam sendiri. Ishak sebagai jurucakap membawa Sang Saka Merah-Putih, lambang PKMM sendiri, dan mengibarkannya dalam sidang itu, setelah mengemukakannya sebagai bendera Umno.

Keputusan pengundian menyaksikan usul PKMM itu dikalahkan hanya dengan satu usul yang mahukan lambang Umno seperti sekarang (masih Sang Saka Merah-Putih dengan tambahan lambang keris). Terdapat kira-kira 50 badan dalam sidang itu dan setiap pertubuhan diberikan dua undi, manakala PKMM sahajalah "badan kiri".

Boestamam kemudiannya mengusulkan supaya PKMM, berdasarkan penolakan syornya tentang bendera itu, menarik diri keluar dari Umno. "Perbezaan pandangan politik antara Umno dengan PKMM," kata Boestamam, "sudah jelas jauh bertentangan. Sementara kita mahu kemerdekaan seratus peratus bagi Malaya, Umno hanya mahu kembali kepada status quo sahaja. Kerana perbezaan pandangan politik ini lambat launnya kita pasti akan berpisah juga dengannya ...."


Tanpa didorong keperluan untuk menukar bendera, saya masih tertarik dengan ulasan Hishamuddin Rais dalam Malaysian Insider: "Merah putih adalah motif Nusantara. Motif Melayu Raya, kerana itu bendera Umno, PAS, Singapura dan Indonesia semuanya menggunakan Sang Saka ... Tahun 2006, bendera Umno di nobat sebagai Sang Saka Bangsa, sila tanya pemuda Umno kerana mereka yang mencadangkan nama ini. Tanya Khairy Jamaluddin, dia senyap kerana dia tahu sejarah Sang Saka."

Bagi saya, usah melatah isu Sang Saka ini, apatah lagi mengenangkan masih banyak isu-isu kritikal yang perlu ditangani segera, misalnya kerakusan kroni Najib untuk memenuhkan tembolok dengan projek ratusan bilion, sebelum Putrajaya "dibebaskan" Pakatan dalam PRU13.

Beberapa insiden spontan, yang nampak menggemparkan (disensasikan media Umno) seperti mempamerkan Sang Saka Malaya oleh dua tiga anak muda itu tidaklah perlu dikutuk secara berlebihan. Ada baiknya juga jika kita memperuntukkan sedikit masa untuk menyelami jiwa mereka yang bergejolak itu, 'kan?

1 ulasan:

pok abu berkata...

benar seperti yg tuan nyatakan...warna merah putih adalah warna nusantara..dan telah berkibar hampir 1000 tahun lamanya....srivijaya, majapahit dan melaka....sejarah tidak boleh dilenyapkan....cuma mungkin boleh dipesongkan mengikut acuan pemerintah semasa..tetapi sampai bila..? persoalan ini kita semua tidak boleh jawab....hanya dengan izin Yang Maha Esa...