Lim Hong Siang
Saya masih ingat betapa terpegunnya diri saya apabila melihat ibu bapa Melayu membawa anak mereka ke jalan raya untuk berdepan dengan FRU. Padahal saya mengenali aktivis Gerakan Mansuhkan ISA, Nashita Md Noor dalam satu demonstrasi di KLCC pada tahun 2006, ketika anak perempuannya menangis dalam pelukannya setelah menyaksikan keganasan polis yang melampau. Saya mengandaikan ia sebagai "amali demokrasi" untuk anaknya, sebelum didedahkan kepada teori.
Namun pengamatan saya mendapati ramai yang tidak merestui perbuatan ini, khususnya Cina. Selain tuduhan kerajaan bahawa demonstran memperalatkan anak mereka sebagai benteng, ada juga pandangan bahawa ibu bapa amat tidak bertanggungjawab kerana mendedahkan anak mereka kepada risiko. Sesetengah orang yang berpandangan sedemikian tidak berani untuk mengutuk salahlaku polis, sebaliknya mempersalahkan mangsa keganasan polis. Logik sedemikian lagi terpegun buat saya - masyarakat ini tidak lagi mengutuk peragut, sebaliknya mempersalahkan mangsa kerana memakai beg tangan bertali - kononnya memberi kesempatan kepada penjenayah.
Beberapa tahun kemudian Nashita diundang menjadi kolumnis MerdekaReview. Saya mencadangkan agar beliau menulis mengapa dirinya sanggup membawa anak yang kecil ke jalan raya, sungguhpun menyedari risikonya. Akhirnya saya mendapat tajuk artikel berbunyi, "Anak dibawa turun ke jalan raya kerana yakin peserta bukan perusuh!"
Ia bukan sekadar yakin, tetapi pengalaman lalu membuktikan kematangan rakyat Malaysia untuk menggunakan hak berhimpun secara berhemah. Segala-galanya berjalan dengan teratur, dengan tidak meninggalkan sampah pada tempat berhimpun. Kalaupun gas pemedih mata dibedil, sampah seperti botol air, selipar dan sebagainya yang bertaburan, akan dikutip oleh peserta yang tidak ditahan polis selepas itu.
Secara jujur saya amat terkejut dengan penampilan ibu bapa bersama anak-anak mereka dalam Green Walk yang diketuai Wong Tack, baru-baru ini. Malah ada ibu yang mendukung bayinya untuk berjalan beberapa kilometer, menemani Wong Tack sebagai tanda sokongan dalam perjuangannya membantah pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan. Gerakan ini sampai kemuncaknya apabila lebih 10 ribu orang tampil secara sukarela, tanpa dikerah secara berorganisasi pada 25 November, menyambut ketibaan Wong Tack bersama rakan-rakannya di Kuala Lumpur.
Saya berada di Sogo, tempat yang disarat dengan nostalgia lautan manusia pada zaman Reformasi. Saya perhatikan ramai ibu bapa Cina membawa kanak-kanak ke situ, dan menyertai perarakan untuk mengiringi rombongan Wong Tack ke Dataran Merdeka. Bilangan manusia melimpah di luar dugaan, membuatkan suasananya seakan-akan perhimpunan BERSIH 3.0. Dengan nakal saya tanya beberapa orang ibu saya kenali, "Bawa garam tak?" Mereka terus mengangguk.
Maknanya mereka tidak yakin bahawa polis akan mengendalikan perhimpunan ini secara aman. Tetapi mereka membawa juga anak-anak, di samping garam dan air. Saya cukup terharu, untuk sekian lama masyarakat Cina diselubungi ketakutan untuk turun ke jalan raya, setelah menyaksikan demonstrasi 1998 di Indonesia yang memangsakan kaum Cina akhirnya. Kini, bukan sahaja mereka turun sendiri ke jalan raya, malah membawa anak-anak bersama.
Saya cuba mendapat jawapan dari Facebook, melalui pandangan yang dikongsi dan disebar di kalangan masyarakat Cina. Media tradisional Cina seperti akhbar dan televisyen meskipun memberi liputan kepada Green Walk ini (jika dibandingkan media bahasa Malaysia), tetapi "mengecut" juga pada beberapa hari terakhir. Oleh itu, maklumat mengenai Green Walk sebenarnya disebar melalui Facebook, dan gelombang kekuatan ini mengombak apabila rakan dalam laman sosial ini saling mempengaruhi.
Mesejnya jelas, bahawa pembinaan kilang Lynas bakal menghancurkan masa depan anak-anak. Makna tersiratnya, ibu bapa Cina ini tidak bersedia untuk berhijrah ke luar negeri - ini adalah tanah air untuk dirinya, dan untuk anaknya, dari dulu, kini dan selama-lamanya. Cuba bayangkan, jikalau ibu bapa Cina tidak mencintai bumi yang dipijak ini, untuk apa mereka berjalan kaki berpuluh-puluh kilometer jauhnya sambil dijemur bahang matahari, dan mungkin disembur meriam air berkimia ketika sampai ke destinasinya? Untuk apa mereka mengambil risiko bahawa anaknya mungkin tercedera seandainya perarakan ke Dataran Merdeka itu disuraikan dengan kekerasan oleh FRU?
Saya kira pendirian masyarakat Cina amat jelas. Anda tidak akan melakukan sesuatu yang menyulitkan diri anda jika anda tidak ambil kisah. Anda hanya diuji dan teruji untuk melakukan kebaikan seandainya anda tetap melakukannya biarpun menyedari tindakan itu mungkin membawa risiko. Seseorang itu belum layak lagi disifatkan "baik", seandainya seseorang itu mengelak dari melakukan kebaikan kerana takut dengan risiko yang menyusul.
Cuma, saya terpegun juga untuk berdepan dengan propaganda Umno. Apabila demonstrasi dihadiri Melayu secara majoriti, maka Melayu dituduh sebagai bacul kerana Cina berpeluk tubuh dan menikmati hasil perjuangan tanpa berlari lintang-pukang dikejar FRU. Kini apabila perhimpunan dihadiri masyarakat Cina secara majoriti, maka dituduh pula Melayu dalam kedudukan terancam kerana Cina sudah bangkit. Saya tidak terdaya untuk berkata apa-apa...
*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan