"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Musa Hassan dan aksi Bollywood

Ahmad Lutfi Othman
Semakin dekat dengan PRU13, bermacam-macam kejutan berlaku. Pendedahan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan dan pembongkaran ahli perniagaan, Deepak Jaikishan, yang rapat dengan Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor antara kejutan yang menarik perhatian umum.

Bagaimanpun, ramai beranggapan, "jalan ceritanya" masih panjang ... malah kemungkinan ada kejutan lebih sensasi sebelum kisah kontroversi itu berakhir.

Tidak mustahil akan terakam tragedi lebih besar apabila kita melintas tahun baru 2013 nanti. Ketika menulis kolum ini, jam 11.30 malam, 4 Disember, khabarnya ada darah yang tumpah gara-gara samseng Umno menganggu Jelajah Merdeka Rakyat di Gombak. Mungkin ia merupakan manifestasi semangat berkobar-kobar ekoran pidato berapi-rapi Najib Razak yang mengisytiharkan perang kepada Pakatan semasa menutup Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2012!

Dalam masa sama, Himpunan Kebangkitan Rakyat yang berlangsung di seluruh negara, bermula di Seremban sebulan lalu, mendapat sambutan cukup memberangsangkan. Selain mencatatkan kehadiran luar biasa, ia juga menyaksikan sederetan nama-nama besar, termasuk bekas pegawai kanan kerajaan dan swasta, serta tokoh korporat menyertai PAS.

Terbaru di Batu Pahat, Johor, bekas Pengerusi Dewan Perniagaan Melayu dan Dewan Perniagaan Kebangsaan, Abdul Rahman Maidin menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sekali gus membuktikan "kubu kuat" Umno di negeri asalnya itu sudah pecah dan roboh. (Ramai pembaca meminta Harakah menyenaraikan kembali tokoh-tokoh atau personaliti besar yang telah bersama PAS berserta profil masing-masing).


Tidak hairanlah jika ada pihak seperti terpinga-pinga melihat apa yang berlaku. Menonton televisyen atau menatap akhbar harian milik Umno berbeda sama sekali dengan realiti yang dipaparkan media baru.

Ya, dalam politik tempoh seminggu sudah terlalu lama, dan pelbagai kejutan bisa tercetus dalam waktu singkat. Tanpa diduga, Umno-BN menerima tamparan dahsyat daripada mereka yang selama ini menyokongnya.

Lebih kalut jika ia membabitkan individu yang dilihat boleh membocorkan rahsia atau konspirasi besar pemimpin utama Umno. Inilah risiko segalanya jika diatur melalui komplot jahat; sampai masanya terdedah jua.

Daripada pelbagai senario yang menggamit perhatian itu, saya lebih tertarik dengan kenyataan Musa Hassan. Dalam sidang media Badan Bertindak Pemerhati Jenayah Malaysia (MyWatch) di Petaling Jaya, baru-baru ini, Musa mendakwa pasukan polis yang diterajuinya sering berdepan campur tangan dan gangguan Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Hussein. Katanya, Hishamuddin pernah mengeluarkan arahan terus kepada pegawai bawahannya dan juga ketua polis daerah tanpa pengetahuannya.

"Saya pernah membangkitkan kepadanya mengenai Seksyen 4 Akta Polis 1967 yang mengatakan bahawa arahan dan kawalan terhadap pasukan polis dibuat oleh KPN, bukan menteri. Sudah tentulah saya tidak boleh bertindak kurang ajar dengannya sebab dia menteri. Saya beritahu dia cara baik tetapi dia tidak boleh terima," kata Musa.

Arahan terus kepada pegawai polis, dengan mendahului KPN, kata Musa, bukan sahaja membabitkan Hishamuddin tetapi juga menteri-menteri lain. Selain itu, ujarnya, terdapat ahli-ahli politik dan "orang atas" cuba campur tangan dalam kes penangkapan penjenayah tertentu.

"Saya boleh bagi contoh. Apabila saya menangkap orang jahat yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti haram, pasti akan ada panggilan telefon meminta mereka dibebaskan dan ia datang dari orang atas," katanya dengan menyambung bahawa perkara sebegitu kerap berlaku.

Musa turut "menyerang" penggantinya, Ismail Omar, yang dilihat banyak pihak sebagai "orang baik" tetapi dipersoalkan kualiti kepimpinannya . Ismail dianggap boneka yang cukup mudah diperalatkan dan tidak berupaya berdepan tekanan elit politik.

"Saya bercakap ini bukan sebab saya nak hentam orang..., tidak... tetapi untuk betulkan keadaan. Keadaan sekarang makin teruk, makin teruk dan saya tidak mahu orang tidak percaya kepada polis," kata Musa.

Manurutnya, sejak akhir-akhir ini campur tangan menteri semakin dalam pasukan polis semakin parah berbanding dahulu. "Dulu tak kerap berlaku begini. Dulu tak ada saya rasa. Masa Menteri Dalam Negeri yang lama-lama kita tak pernah dengar jadi begini. Tapi yang baru-baru nilah," tegasnya.


Sebenarnya pendedahan Musa bukanlah sesuatu yang menggemparkan. Sejak lama -- mungkin kemuncaknya semasa pemecatan Anwar Ibrahim dan era reformasi -- masyarakat memandang serong pasukan polis, yang dianggap institusi kritikal tetap paling kerap dan mudah dimanipulasi elit penguasa sehingga tugas asasi, seperti menangani jenayah terabai.

Pengendalian polis terhadap isu-isu politik, yang disamarkan sebagai isu keselamatan negara, cukup menjolok mata. Lihat saja siri demonstrasi Bersih, protes sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman tahun 1998-99 dan perhimpunan aman lainnya. Orang ramai disepak terajang, dibalun, ditembak gas dan ditangkap tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

Kebenaran untuk mengadakan ceramah politik juga begitu sukar. Pemberian (dan juga pembatalan) permit sering dibuat berdasarkan faktor kepentingan politik Umno-BN, dan bukannya keselamatan negara.

Ya, integriti dan wibawa PDRM sudah terkambus. Ia perlu dipulihkan segera, melalui proses reformasi menyeluruh, bersama institusi strategik lainnya seperti Jabatan Peguam Negara, media, badan kehakiman, SPR dan SPRM. Sukar untuk membayangkan natijah buruk buat rakyat dan negara ini jika pihak polis, AG dan para hakim pun boleh dibeli, yang menyebabkan keadilan sukar untuk dilaksanakan.


"Polis disibukkan dengan kerahan menjaga keselamatan dan survival Umno-BN, bukannya tugasan menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyatnya," begitulah kira-kira luahan sebahagian besar rakyat.

"Saya pernah mendengar gosip terbuka bahawa pengedar dadah, yang mungkin dihukum gantung jika sabit kesalahan, boleh terselamat selepas menyogok pihak tertentu, termasuk polis. Lebih dahsyat kononnya ada ketua kongsi gelap yang mempunyai hubungan istimewa dengan polis dan orang politik yang menjaga polis," ujar seorang pemimpin kanan oposisi

Cuma, apabila bekas KPN menyuarakan keresahan yang sama, ia tidak lagi boleh dipandang ringan, malah ada pihak mencadangkan penubuhan suruhanjaya diraja menyiasat dakwaan serius Musa itu.

Ya, masakan polis dapat membongkar salahlaku menterinya sendiri. Dan Musa diharapkan konsisten untuk menyelongkar sisi-sisi serba hitam dan hodoh tersebut, walaupun masih ada yang curiga dengannya, mengapa sekarang pekung itu mahu didedah.

Misalnya, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ramli Yusuf bukan sahaja mempertahankan KPN sekarang, Ismail Omar, malah menyifatkan persepsi buruk orang ramai terhadap polis bermula dari zaman Musa. "Pada saya, tidak adil lah jika Musa berterusan menyerang IGP sekarang. Ismail sedang berusaha memperbaiki imej tersebut," katanya.

"Dia (Musa) mula menjadi vokal dan mengkritik kerajaan semasa Menteri Dalam Negeri Hishammuddin mengumumkan dia tidak dilanjutkan perkhidmatannya,” kata Ramli yang mengganggap ia sebagai punca rasa tidak puas hati Musa.


Kini, selepas bersuara lantang, Musa mendakwa diekori polis Cawangan Khas (SB), seolah-olah beliau telah mengancam keselamatan negara. "Suka saya nasihatkan mereka, tak perlulah ikut saya, saya tidak akan memusnahkan negara dan lebih baik menjejaki penjenayah yang mengacau ketenteraman awam," kata Musa, sambil menyifatkan tindakan mengekorinya itu hanya membazirkan wang rakyat.

Fungsi, peranan dan operasi Cawangan Khas juga perlu dibedah siasat. Musa sendiri seolah-olah mengakui SB melakukan tugas bukan untuk perisikan keselamatan dan ketenteraman awam tetapi terikat dengan arahan pihak atasan demi motif tertentu.

Apa yang didedahkan Musa sebenarnya melangkaui dimensi politik kepartaian. Ia tidak sewajarnya dilihat dengan pandangan siasah yang juling. Kita tidak mahu adegan yang sering ditonton dalam filem Bollywood -- tentang komplot di antara penjenayah dengan polis dan elit politik -- menjadi realiti yang menggerunkan.

Kalaupun Musa juga melakukan kesalahan sama, termasuk menyalahgunakan kuasanya semasa memegang jawatan KPN, seperti kata Ramli, membabitkan afidavit seorang penjenayah Goh Cheng Poh @ Tengku Poh, ia tidak sepatutnya memesongkan kita daripada memandang serius campur tangan politik terhadap pasukan keselamatan.

Tiada ulasan: