"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno panik, wajah baharu hanya untuk hadapi PRU13

AZIZ MUDA
KUALA LUMPUR: Para pemimpin dan ahli-ahli Umno kini ternyata begitu panik untuk menghadapi PRU13, sehingga terpaksa menukar identitinya daripada bersongkok hitam tinggi kepada berkopiah putih merah.

Perubahan yang mengejutkan itu dilakukan oleh mereka pada Perhimpunan Agung Umno 2012 di PWTC, di sini yang berlangsung dari 27 November hingga 1 Disember , bagi menonjolkan imej sebenar mereka yang kononnya sememangnya Islamik.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, tanpa disedari oleh para pemimpin dan ahli-ahli Umno sendiri, perubahan tersebut akan menyebabkan mereka menjadi bahan ketawa orang ramai.
"Dengan perubahan itu, mereka ingin menonjolkan kepada orang ramai kononnya mereka lebih Islamik dan lebih bertanggungjawab dalam membela agama berbanding PAS. Pada hal, itu semua bergantung kepada soal attitude mereka.

"Malah seperti yang dikatakan oleh bekas pemimpin Umno sendiri, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, perjuangan Umno sekarang untuk keluarga dan kroni-kroni mereka, bukan untuk orang Melayu apatah lagi untuk Islam," katanya.

Ketika dihubungi 27 November lalu, beliau berkata, meskipun mengubah identiti, orang ramai tetap sedar dan faham Umno bukanlah parti yang memperjuangkan Islam.

Dengan perubahan itu, tambah beliau, Umno yang sudah semakin hilang sokongannya tetap tidak akan menjadi kuat lagi, malah kelihatan amat gelabah dan semakin bercelaru sehingga sanggup menukar identitinya sendiri yang sudah begitu sinonim dengan bersongkok hitam tinggi sejak dulu.

"Pada hal kekuatan sesebuah parti itu bukanlah kerana berkopiah atau pakaiannya, tetapi kerana perjuangannya. Begitulah juga dengan PAS yang menjadi kuat bukanlah kerana pakaian, tetapi kerana dasar perjuangan PAS sendiri yang berjuang untuk menegakkan Islam sebagai ad-deen di tanah air kita ini sejak dulu hingga selama-lamanya," tegas beliau.

Blog-blog pro Umno-BN sejak 23 November lalu heboh mengatakan para perwakilan lelaki pada perhimpunan agung parti itu, pada 27 November hingga 1 Disember ini, akan memakai kopiah putih dan berwarna merah di tengahnya berserta lambang Umno di kiri kanan kopiah itu bagi menggantikan songkok tinggi.

Perubahan tersebut berlaku kerana dikatakan ekoran cadangan dalaman parti itu sendiri, sehingga tercetusnya arahan daripada pemimpin mereka kepada para perwakilan lelaki berbuat demikian bagi menonjolkan imej keislaman mereka kepada seluruh rakyat negara ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, pemakaian kopiah dulunya hanya dikaitkan dengan PAS, malah ia menjadi bahan ejekan para pemimpin dan ahli-ahli Umno terhadap para pemimpin dan ahli-ahli PAS.

"Kini, kerana terlalu mengelabah, para pemimpin Umno sampaikan sanggup meniru orang PAS dengan turut memakai kopiah pula, walaupun mereka begitu tebal dengan penyalahgunaan kuasa, pelbagai penyelewengan dan rasuah," katanya.

Beliau mengingatkan seluruh rakyat negara ini agar jangan sekali-kali terpengaruh dengan sandiwara para pemimpin Umno itu kerana mereka hanya ingin menonjolkan imej Islamik secara kosmetik sahaja.

"Sebaliknya, Islam bukanlah dilihat kepada pemakaian kopiah, tetapi lebih kepada pelaksanaan dan cara hidup harian serta dasar perjuangannya," tegas beliau.

Tiada ulasan: