"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Ada sebab ALLAH uji'

TELOK KEMANG: Rumah bersaiz sederhana bersebelahan PD Marina kelihatan suram.

Penghuninya seorang warga emas Mohd Yatim De Valda, 60, atau lebih dikenali sebagai Atan oleh penduduk tempatan.

Mohd Yatim salah seorang penerima bantuan Baitulmal.

Menariknya, sebelum ini beliau pernah berkhidmat sebagai juruterbang syarikat Malaysia Air Lines (MAS), namun dia mengambil keputusan untuk berhenti pada 2002 kerana disahkan mengalami kemurungan.

Berkongsi kisah hidupnya, Mohd Yatim berkata, ibunya merupakan pekerja ladang di Labu sementara ayah pengurus ladang berasal dari New Zealand.

"Mereka bertemu dan jatuh cinta pandang pertama lalu bernikah dan saya adalah anak tunggal. Namun ketika usia saya sembilan tahun, ayah kembali ke negara asalnya dan kami terus terputus hubungan walaupun saya beberapa kali mengutus surat kepadanya di sana berdasarkan alamat yang diberikan tetapi tidak pernah menerima balasan.

“Sejak itu saya berazam untuk menjadi juruterbang dengan satu tujuan untuk mencari dan bertemu dengan ayah yang berada di New Zealand,” katanya.

Berjaya capai cita-cita

Ketika usia 19 tahun, ibunya meninggal dunia dan dia meneruskan cita-cita itu dan mula menjalani latihan menjadi seorang juruterbang di sebuah pusat latihan di Indonesia pada 1972.

“Pada 1976 saya berkahwin dan tidak dikurniakan anak. Enam tahun kemudian kami bercerai.

"Ketika usia saya 28 tahun, MAS melebarkan sayap menyediakan penerbangan ke New Zealand. Akhirnya impian untuk bertemu semula dengan ayah tercapai dengan bantuan rakan dan saya yakin ia sebenarnya adalah bantuan ALLAH SWT,” katanya.

Mohd Yatim berkata, dia teruja pertama kali mendengar suara ayahnya di telefon selepas 20 tahun terpisah.

“Saya bertemu ayah setiap kali ditugaskan ke New Zealand. Alhamdulillah, impian saya selama ini tercapai," katanya.

Disah alami kemurungan

Menurut Mohd Yatim, pada 1984, dia sekali lagi berkahwin dan dikurniakan enam cahaya mata, namun langit tidak selalunya cerah apabila jodohnya tidak panjang dan bercerai pada 2005.

“Rumah ini dulu penuh dengan hiasan dari luar negara yang saya beli setiap kali ke sana semasa berkhidmat dengan MAS. Namun atas desakan hidup semuanya habis dijual untuk menyara anak-anak.

“Saya tidak bersara tetapi mengambil keputusan berhenti pada 2002 kerana disahkan mengalami kemurungan akibat tekanan kerana difitnah.

“Ketika itu saya menerima rawatan di wad psikiatri dan terpaksa berhenti kerana memikirkan keselamatan nyawa penumpang," katanya.

Mohd Yatim berkata, selepas berhenti kerja dan bercerai, dia masih mampu menyara dirinya dengan menjual apa-apa barang dimilikinya di rumah itu.

“Dan sekarang saya adalah penerima bantuan Baitulmal. ALLAH ada sebab kenapa dia anugerahkan ujian ini kepada saya,” katanya. 
-Sinar Harian-

Tiada ulasan: