“Sudah tiada calon lain nak bertanding? Jika calon MCA sekali pun carilah individu seperti mendiang Prof Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong.
“Bukan calon ‘recycle’ yang kita sudah tahu pendirian dia terhadap Melayu dan Islam,” luah pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah ketika dihubungi Ismaweb hari ini.
Beliau mengakui kecewa tindakan Barisan Nasional (BN) memilih calon daripada parti perkauman MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng bagi mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang akan berlangsung pada 16 November depan.
Difahamkan, pemilihan Jeck Seng sebagai calon bagi PRK berkenaan adalah keputusan sepakat yang telah dicapai bersama seluruh kepimpinan BN.
Ridhuan Tee menyifatkan, UMNO melakukan kesilapan besar dengan meletakkan calon ‘recycle’ yang sudah terkenal dengan sifat ultra kiasu itu.
“Kecewa yang teramat apabila mendapat berita UMNO memilih MCA untuk bertanding di Tanjung Piai, mungkin kerana telah diugut MCA, akan keluar BN sehingga membawa kepada terbubarnya BN.
“Hina sangat UMNO jika termakan dengan ugutan ini. Jika benarlah dengan keluarnya MCA akan terbubar BN, semua Ahli Parlimen BN akan menjadi tidak berparti atau ahli bebas, reda dan hadapilah dengan penuh tabah.
“Jika tidak, sampai PRU15 nanti, pasti politik ‘bodoh’ akan berulang dan menjadi budaya. Budaya yang membodohkan kita sebagai orang Islam. Yang rugi sudah tentu bukan MCA, tetapi adalah parti orang Melayu seperti UMNO dan PAS,” katanya.
Ridhuan Tee bagaimanapun mengakui tidak semua ahli MCA bersikap ultra kiasu, namun malangnya mereka yang baik tidak menjadi pemimpin utama.
“Rata-rata yang memimpin adalah ultra kiasu. Mereka ini jadi duri dalam daging, gunting dalam lipatan. Tidak mahu patuh kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial. Terus pertikaikan, ugut dan desak. Sampai bila kita mahu menjadi pengemis kepada MCA?
“Saya bukan rasis. Saya tetap Cina sampai bila-bila. Semua Cina itu saudara saya. Lebih-lebih lagi ahli keluarga saya. Namun, saya masih boleh mengenali mana Cina baik, mana yang ultra kiasu.
“Cina baik adalah Cina seperti mendiang Profesor Khoo Kay Kim, Prof Teo Kok Siong dan lain-lain lagi. Manakala, Cina ultra kiasu adalah Cina yang berada dalam parti ultra kiasu seperti MCA, Gerakan dan DAP,” katanya.
Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata, sekiranya parti berkenaan tidak ultra kiasu, sudah tentu mereka akan bersama menjunjung perkara yang telah dipersetujui dalam kontrak sosial yang telah menghasilkan Perlembagaan negara.
“Contoh-contoh yang biasa kita dengar seperti kedudukan Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan Bumiputera, Raja-Raja Melayu dan sebagainya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan