"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri kongsi bahagia hari jadi anak, rakyat luah derita tekanan ekonomi

FAZLI RADZI

Menteri kongsi bahagia hari jadi anak, rakyat luah derita tekanan ekonomi

Pengusaha premis di kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan PLUS mengadu pendapatan harian tidak sampai pun RM50 sehari.

Itu antara pelbagai rintihan dan derita rakyat di laman Facebook, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang berkongsikan detik bahagia meraikan hari ulang tahun kelahiran anak bongsunya, Zayn berusia lima tahun.

“Dia (Zayn) ini manja dengan semua orang, terutama sekali dengan mama. Harapan saya agar Zayn sentiasa dilindungi Allah dan menjadi seorang yang berjaya satu hari nanti. Selamat Hari Jadi ke-5, Zayn!” kata Zafrul semalam.

Walaupun sebahagian warganet turut mengucapkan selamat kepada keluarga menteri berkenaan tetapi tidak kurang yang berkongsikan tekanan ekonomi yang dialami kesan pandemik Covid-19.

Seorang pengusaha premis P&R di PLUS memberitahu jualan dan pendapatan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terjejas teruk.

Sudahlah begitu, pengurangan sewa sangat rendah sekitar hanya 10 peratus daripada harga sewa asal ketika kutipan harian ada yang tidak sampai RM50 sehari.

“Kalau sewa tiap-tiap bulan hampir RM4,000 selepas diskaun, macam mana nak survive? Gaji pekerja lagi,” kata pengguna Facebook, Imsaluriahk Hamasuba.

Terdapat juga ibu tunggal yang merayu agar menteri meluluskan segera permohonan rayuan untuk menambah modal perniagaan.

“Kami perlu sangat-sangat dengan keadaan sekarang ini. Ramai peniaga terkesan. Keprihatinan Datuk kami hargai,” rayu Lavender Purple.

Banyak juga rayuan berkenaan kemudahan skim i-Sinar, iaitu pengeluaran caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Ramai rakyat terpaksa meluahkan tekanan mereka yang dihimpit masalah pendapatan akibat Covid-19 untuk diambil tindakan sewajarnya oleh Zafrul.

Sebahagian lapan juta ahli KWSP yang terjejas pendapatan akibat pandemik merayu agar menteri mempertimbangkan penghapusan syarat pengeluaran i-Sinar.

“Sekarang ini rakyat amat memerlukan duit KWSP mereka untuk menampug keperluan mereka bagi menjalani kehidupan semasa pandenik Covid-19,” tulis seorang pengguna Facebook lagi.

Tiada ulasan: