"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri hanya kuarantin tiga hari, Covid-19 ‘takut’ serang menteri?

FAZLI RADZI

Jika tempoh kuarantin wajib 10 hari berdasarkan laporan saintifik semasa, entah atas hujah apa untuk Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba melonggarkan prosedur itu untuk menteri.

Berkuatkuasa esok 9 Februari, jemaah menteri yang pulang dari lawatan rasmi luar negara tidak perlu menjalani prosedur operasi standard (SOP) tempoh kuarantin 10 hari seperti ditetapkan sejak 14 Disember 2020.

Menerusi Warta Persekutuan hari ini yang ditandatangani Adham, kira-kira 70 orang menteri dan timbalan menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) menikmati kelonggaran tempoh kuarantin.

Perintah “Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengecualian) 2021” itu menyatakan: “Menteri (Dr Adham Baba) mengecualikan jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara daripada pemakaian seksyen 15 Akta.

Ini merujuk kepada Akta (342) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.”

Seksyen 15 akta tersebut memperuntukkan: “Seseorang pegawai diberi kuasa boleh memerintahkan supaya mana-mana kontak menjalani pemerhatian di mana-mana tempat dan bagi apa-apa tempoh yang difikirkannya patut, atau menjalani pengawasan sehingga dia boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.”

Syarat pengecualian Akta 342 dalam perintah Adham juga menyebut, “Jemaah menteri yang kembali dari mana-mana lawatan rasmi luar negara hendaklah menjalani pemerhatian selama tiga hari atau menjalani pengawasan sehingga boleh dilepaskan tanpa membahayakan orang ramai.”

Perintah Adham itu muncul selepas 30 ahli politik termasuk menteri dijangkiti Covid-19 sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September 2020.

Kes jangkitan Covid-19 di Sabah kemudiannya merebak ke Semenanjung ekoran pendirian Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang beberapa kali menyatakan tidak perlu kuarantin untuk mereka yang pulang dari Sabah.

Akibatnya, negara terus bertarung dengan gelombang ketiga wabak Covid-19 yang telah mencatatkan 245,552 kes positif dan mengorbankan 896 orang setakat hari ini.

Tiada ulasan: