"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Amanah perlu rombakan kepemimpinan, kata penganalisis

Teoh Jie Ying 

PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata, Amanah mesti merombak dan memperbaharui kepemimpinan kerana gagal membawa parti itu ke tahap lebih baik sejak pilihan raya umum 2018.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, masa depan Amanah kekal bersama Pakatan Harapan, tetapi parti itu akan memperoleh kerusi yang jauh lebih sedikit berbanding sebelumnya.

Beliau berkata, Amanah sukar menarik ahli baharu sejak 2018.

“Bukannya mereka kekurangan calon, tetapi bilangan mereka yang sedikit mengakibatkan kurangnya bilangan calon PRU15 (pilihan raya umum ke-15),” katanya. 

Jumaat lalu, tiga ADUN di Johor keluar Amanah untuk menyertai PKR, dengan salah seorangnya berkata, beliau beralih arah untuk meningkatkan peluang bertanding di kerusi Parlimen pada PRU15.

Aziz berkata, keputusan itu mungkin disebabkan kegagalan parti menarik ahli baharu dan kegagalan kepemimpinan parti untuk menyerlahkan peranan Amanah dalam landskap politik Malaysia.

Atas sebab itu beliau berkata, kepemimpinan Amanah perlu berfikir semula, bermula dengan menginsafi bahawa pengaruh mereka yang semakin berkurangan bermakna mereka paling kurang berpengaruh dalam PH.

Mengenai sama ada ini bermakna Amanah harus bubar dan bergabung dengan sekutu mereka dalam PH, beliau berkata, kedudukan Amanah yang unik tetapi tidak menentu dalam pakatan itu memerlukan penyelesaian yang berbeza sama sekali. 

“Mereka tidak boleh menyertai PKR ataupun DAP kerana mereka semua memiliki ideologi yang sangat berbeza,” kata beliau.

“Penyelesaian paling mungkin, walaupun agak mustahil, ialah mereka bergabung semula dengan PAS.”

Langkah seterusnya yang terbaik ialah Amanah kekal dengan PH, selain membawa pembaharuan dalam kepemimpinan parti, terutama meminta presidennya, Mohamad Sabu, supaya berundur.

“Tetapi tentang siapakah yang harus mengambil alih adalah perkara lain. Oleh kerana Salahuddin Ayub merupakan timbalan Mohamad, beliau dilihat bersubahat dengan Mohamad.

“Masalahnya Amanah tidak mempunyai pemimpin lain yang menonjol yang mampu menggantikan Mohamad. Buat masa sekarang, saya rasa Salahuddin adalah pilihan terbaik,” kata beliau, sambil menambah bahawa Mohamad Sabu gagal memimpin parti dengan baik.

Seorang lagi ahli sains politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Amanah kehilangan daya tarikan sehingga Ahli Parlimen mereka sendiri hilang keyakinan untuk menang dalam pilihan raya akan datang.

“Ini bermakna parti itu mungkin masih perlu bekerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad,” kata beliau.

“Walaupun pemimpin dan ahli parti itu yang lebih sederhana teragak-agak untuk melakukannya.”

Kata beliau lagi, isunya bukan ahli kekurangan peluang, tetapi parti itu sendiri kekurangan sokongan akar umbi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Selama ini, Amanah banyak bersandar kepada sekutunya dalam PH, tetapi gagal memenangi kerusi, hatta di Terengganu dan Kelantan, di mana sokongan untuk mereka patutnya paling kuat,” kata beliau.

Beliau memberi amaran bahawa Amanah tidak lama lagi mungkin akan kehilangan ahlinya kepada PN dan PKR sekiranya ia tidak mengembalikan keyakinan dalam kalangan mereka.

Tiada ulasan: