"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Langkah sia-sia sanitasi bangunan kata pensyarah UM

FMT Reporters

Seperti semburan kabus nyamuk, ia nampak mengagumkan, tetapi tidak berkesan, kata seorang penganalisis dasar.

PETALING JAYA: Seorang pakar kesihatan awam, yang memetik kajian terbaru tentang bagaimana Covid-19 merebak, membidas langkah penutupan bangunan dan pejabat untuk menjalankan kerja-kerja sanitasi.

Profesor perubatan Universiti Malaya Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, kerja-kerja sanitasi yang dijalankan dianggap “membuang masa dan wang”.

Merujuk kepada penutupan balai polis Ampang Jaya selepas 11 anggotanya dilaporkan positif Covid-19 baru-baru ini, beliau berkata, polis perlu memastikan mereka yang berada di balai itu, sama ada pegawai atau tahanan, menjaga jarak fizikal dan memakai pelitup muka sepanjang masa serta mengambil langkah untuk menambah baik sistem pengudaraan.

Anggota polis tersebut dipercayai dijangkiti Covid-19 daripada beberapa orang suspek. Balai itu ditutup selama sehari untuk kerja sanitasi.

Dr Adeeba Kamarulzaman.

Adeeba berkata bukti terbaru menunjukkan risiko virus itu menular melalui permukaan adalah jauh lebih rendah daripada jangkaan sebelum ini.

“Bukti terkini menunjukkan virus lebih banyak tersebar melalui udara. Langkah pembersihan dan penutupan tempat di mana kes dikesan bukan sahaja memerlukan banyak wang, tetapi mengganggu operasi sesebuah premis, ”katanya.

“Lebih penting, ia sebenarnya menghalang orang ramai daripada melihat langkah yang jauh lebih berkesan dan lebih mudah dilakukan seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mewujudkan sistem pengudaraan yang betul,” katanya kepada FMT.

Azrul Khalib.

Ketua badan pemikir Pusat Galen, Azrul Khalib, berkata, kajian menunjukkan “Covid-19 jarang tersebar melalui permukaan” dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) mengubah nasihatnya pada Mei lepas untuk menggambarkan hal ini.

Beliau menambah, kerja-kerja pembersihan dibuat dengan cara yang sama seperti semburan kabus nyamuk.

“Ia nampak mengagumkan dan dilihat sebagai respons terhadap kebimbangan orang, tetapi ia kurang berkesan, malah memberikan rasa selamat yang tidak tepat,” katanya.

Tiada ulasan: