"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lari macam mana pun, Muhyiddin tetap akan ‘tersungkur’, kata Ahli Parlimen Amanah, PKR

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Muhyiddin Yassin tetap akan “tersungkur” dari jawatan Perdana Menteri dalam masa terdekat ini walaupun beliau menggunakan pelbagai helah untuk terus mengelak daripada sebarang pembuktian bahawa Presiden Bersatu itu sudah hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen, kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

“Perdana Menteri sudah hilang majoriti sebenarnya, sebab itu dia takut nak datang Parlimen. Dia dah hilang kredibiliti, dia dah hilang maruah malah secara terbuka melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Pada masa terdekat ini dia akan tetap jatuh, dia tidak boleh lari jauh apa yang telah berlaku pada hari ini,” katanya kepada FMT.

Malah, Ahli Parlimen Pulai itu berkata tindakan Muhyiddin yang terus menderhaka kepada Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah mencemarkan negara, merosakkan Parlimen kerana ia tidak pernah berlaku dalam sejarah negara sejak merdeka.

“Saya yakin apa yang dia buat ini telah cemarkan negara, cemarkan Parlimen dan tidak pernah berlaku sejak negara merdeka,” tegasnya sambil mendakwa imej Speaker Azhar Azizan Harun yang dikritik hebat kerana menjadi “pelindung” kerajaan gagal itu sudah tercalar teruk.

“Jadi mereka takkan berani hadapi kita pada Isnin ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata pendedahan Istana Negara mengenai tindak-tanduk pentadbiran Muhyiddin yang tidak mendapat perkenan Agong menyebabkan Muhyiddin semakin tertekan.

“Apabila pendirian Tuanku sudah terdedah kepada umum dan menyebabkan Muhyiddin semakin tertekan dan langkah terakhir untuk menyelamatkan dirinya adalah dengan menangguhkan Parlimen,” katanya kepada FMT.

Katanya, sepanjang Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 minggu ini, Muhyiddin berjaya mengelakkan sebarang pengundian dengan agenda penerangan mengenai Majlis Pemulihan Negara.

“Namun, sebaliknya Agong sudah pun menitahkan kepada Peguam Negara, Idrus Harun dan Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan bahawa Ordinan Darurat perlu dibentangkan dan dibahaskan di parlimen, tetapi mereka tidak patuh,” katanya.

Katanya, perkembangan terbaharu iaitu krisis antara Perdana Menteri dan Istana Negara mendedahkan lagi Muhyiddin sebagai pemimpin negara yang sedang bermasalah.

“Sekarang bermasalah dengan Istana, dia (Muhyiddin) juga tidak popular dalam kalangan rakyat malah pada hari ini anak muda buat demonstrasi, doktor juga buat demonstrasi… dia pun ada krisis dengan Istana iaitu derhaka dan tidak hormat,” katanya yang menyifatkan tindakan menangguhkan persidangan tanpa alasan yang konkrit adalah satu tindakan politik malah percubaan untuk mempertahankan kerajaan yang sedang berada di hujung tanduk.

Terdahulu, Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan hari terakhir Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Dewan Rakyat yang dijadual pada Isnin ini ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin berkata Pejabat Speaker telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berhubung perkara berkenaan.

Katanya, penangguhan itu adalah selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan susulan perkembangan terbaharu penularan jangkitan Covid-19.

Tiada ulasan: