"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar sindir Azmin: ‘MITI nampak emosi sungguh, macam ada buat salah besar’

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Sesi penggulungan pembentangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecoh seketika apabila berlaku pertelingkahan antara Anwar Ibrahim dan bekas protegenya, Mohamed Azmin Ali berhubung peningkatan mendadak kes positif Covid-19 yang didakwa berpunca daripada kluster kilang.

Pertelingkahan itu bermula apabila Anwar (PH-Port Dickson) membangkitkan isu mengenai kebenaran operasi oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kepada kilang ketika negara berada bawah perintah kawalan pergerakan, menyebabkan kes positif terus meningkat.

Anwar berkata, Kementerian Kesihatan melaporkan sebanyak 80% kluster di tempat kerja berpunca daripada kilang dan 11% sektor pembinaan.

Bagaimanapun, Azmin selaku menteri MITI berkata, keputusan membenarkan mana-mana sektor dan subsektor beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan penuh dibuat secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Semua kementerian membentangkan senarai positif dan negatif jika membenarkan satu-satu sektor dibuka, peranan MITI hanya koordinat di mana kita ada sistem bersepadu yang diselaraskan dengan semua agensi untuk tentukan sektor atau sub-sektor mana boleh beroperasi,” katanya.

Azmin kemudian mencabar Anwar untuk berdebat mengenai isu berkenaan berdasarkan fakta yang ada, namun Anwar berkata, Azmin kelihatan terlalu beremosi seperti seseorang yang telah melakukan kesalahan.

“MITI nampak emosional.. saya tak bagi fakta lain selain apa yang diberikan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham (Abdullah). Macam ada salah besar bila panik macam tu,” sindir Anwar.

Sementara itu, bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) yang turut bersetuju dengan Anwar berkata, kilang adalah punca utama peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Semalam, negara mencatatkan rekod tertinggi 17,045 kes. Angka itu menjadikan kes kumulatif Covid-19 melebihi satu juta manakala lebih 8,000 terkorban akibat dijangkiti virus berkenaan.

Tiada ulasan: