"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Maut selepas terima vaksin campuran

KOSMO!

Pengarah Kesihatan dan Kes Kecemasan untuk Jabatan Kawalan Penyakit, Dr. Chawetsan Namwat dalam sidang media laporan bedah siasat. - NNT

BANGKOK – Thailand melaporkan kes kematian pertama melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun yang dikaitkan dengan campuran vaksin Sinovac dan AstraZeneca, lapor akhbar Thaiger News, kelmarin.

Berita ini muncul ketika kerajaan sedang bersiap sedia meneruskan perancangan mencampur dua vaksin berbeza sebagai meningkatkan imuniti badan dalam mengekang penularan varian Delta di negara tersebut.

Berdasarkan bedah siasat ke atas mangsa yang mendapat vaksin campuran daripada Sinovac dan AstraZeneca, doktor telah mengesahkan bahawa punca kematian adalah disebabkan pembengkakan otak akibat darah beku.

Pengarah Kesihatan dan Kes Kecemasan untuk Jabatan Kawalan Penyakit,  Dr. Chawetsan Namwat mendedahkan laporan bedah siasat kepada umum berikutan kematian berlaku sehari selepas mangsa menerima vaksin campuran.

Punca kematian rasmi adalah edema serebrum, iaitu ketika cecair berlebihan terkumpul di otak, akhirnya menyebabkan otak membengkak dan mampatan saluran darah otak.

Laporan bedah siasat bagaimanapun tidak menyatakan adakah ia dianggap sebagai kesan langsung daripada penerimaan vaksin, kesan sampingan atau insiden kesihatan semata-mata.

Wanita itu memang mempunyai masalah darah tinggi namun doktor di pusat vaksinasi memaklumkan mangsa dan suaminya bahawa vaksin itu masih selamat serta sesuai untuknya.

Suami mangsa turut  mendapat campuran yang sama dengan satu dos Sinovac dan satu dos AstraZeneca namun hanya mengalami sedikit ketidakselesaan selepas itu.

Tindakan mencampurkan vaksin sudah menjadi isu yang dipandang serius Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) apabila menyatakan penentangan pada awalnya.

WHO kemudiannya melembutkan pendapat dengan mengatakan bahawa individu tidak boleh memilih campuran vaksin mereka tanpa panduan perubatan profesional.

Pusat Kawalan dan Penyakit Berjangkit dan Kementerian Kesihatan Awam Thailand akan membuat siasatan lanjut berkenaan laporan bedah siasat bagi menentukan sama ada tindakan campuran vaksin membawa masalah atau memberi lebih banyak kebaikan. 

Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha baru-baru ini mengarahkan kajian lebih menyeluruh dibuat berkenaan keberkesanan campuran dua vaksin berbeza iaitu Sinovac dan AstraZeneca. – Agensi

Tiada ulasan: