"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa yang untung, siapa akan rugi dalam krisis perlembagaan?

Ainaa Aiman

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat, PAS berkemungkinan menjadi pihak paling rugi, manakala Umno paling untung dalam krisis yang tercetus ekoran pendedahan Yang di-Pertuan Agong bahawa baginda tidak memberi perkenan berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, PAS berada dalam kedudukan yang sukar kerana pembatalan Ordinan Darurat berkenaan pada Isnin diumumkan oleh salah seorang pemimpinnya, iaitu Takiyuddin Hassan.

Katanya kepada FMT, Umno mendapat manfaat daripada keputusan dibuat presidennya, Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini untuk menjauhkan diri daripada Perikatan Nasional (PN).

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong berasa “amat dukacita” dengan pengumuman Takiyuddin kerana baginda belum memberi perkenan berhubung pembatalan Ordinan Darurat.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Datuk Seri Takiyuddin Hassan selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) dan Tan Sri Idrus Harun, Peguam Negara semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan,” katanya.

Kata Azmi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai penyokong dalam kalangan Ahli Parlimen Umno, yang secara individu, mungkin akan menjadi pihak paling rugi akibat kredibiliti kerajaan PN yang kini tercemar.

“Kerugian mereka tidak akan dirasai oleh Umno sebagai organisasi,” katanya, sambil menambah Bersatu boleh menjadi lebih lemah.

Felo Majlis Profesor Negara Jeniri Amir berkata, Bersatu boleh menjadi pihak paling rugi, terutamanya jika Muhyiddin meletak jawatan kerana tiada sokongan majoriti di Parlimen.

“Ini akan menjadi tamparan hebat kepada Bersatu jika presidennya dilihat kehilangan kuasa dan dituduh cuba mengelirukan Parlimen,” katanya.

Jeniri berkata, Ahli Parlimen Bersatu mungkin mengalihkan kesetiaan kepada pihak lain jika Muhyiddin berundur.

Katanya, parti komponen Barisan Nasional, seperti MCA dan MIC patut bersuara dalam hal ini.

“Mereka harus mengambil tindakan yang tepat berdasarkan perkembangan yang akan kita lihat dalam masa beberapa hari lagi. Tidak mengejutkan jika mereka juga menarik balik sokongan kepada PN,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri semalam mempertahankan pembatalan Ordinan Darurat berkenaan dengan berkata, ia dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: