"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Restoran cuba kelirukan pelanggan Islam disiasat

Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my

Seremban: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan menjalankan siasatan terhadap sebuah restoran bukan Islam, di sini, hari ini, kerana mempromosikan premisnya sebagai penyedia makanan halal menerusi aplikasi pesanan makanan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, pihaknya bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menjalankan pemeriksaan pada 11 pagi hari ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal yang sah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Restoran itu dimiliki warga tempatan bukan Islam dan dua pekerja yang penyediaan makanan juga bukan Islam tetapi mempromosikan sebagai penyedia makanan halal di aplikasi pesanan makanan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, satu tindakan diambil atas kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011.

Ain Arjuna berkata, tindakan mengelirukan pengguna melalui pengiklanan di aplikasi pesanan makanan atas talian adalah satu kesalahan.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu dan hukuman bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan ialah denda sehingga RM5 juta," katanya.

Katanya, sehubungan itu, peniaga bukan Islam diingatkan supaya tidak menggunakan apa-apa petunjuk untuk mengelirukan atau menarik perhatian pelanggan Islam.

"Pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) atau talian bebas tol 1 800 886 800 atau WhatsApp 019 279 4317," katanya.

Tiada ulasan: