Ahmad Tarmizi Sulaiman
Daripada Pakatan Harapan (PH) ghairah dalam pelbagai rencana muslihat politik serta bercita-cita kembali mengambil kuasa yang hilang, ada baiknya tampil jujur menjelaskan isu Pulau Batu Puteh.
Dalam perkembangan terakhir dahulu, kerajaan PH telah membuat keputusan 'u-turn' mengejut mengenainya hingga menimbulkan banyak persoalan.
Ini penting demi masa depan negara dan generasi akan datang untuk mengetahui sebab kukuh Malaysia tidak lebih berhak atau terpaksa melepaskan pulau tersebut kepada Singapura.
Apatah lagi setelah bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali mahu membuat pendedahan susulan mengenai tindakan kerajaan PH menarik balik kes itu.
Ini menunjukkan terdapat sesuatu ketidakwajaran munasabah untuk menjadi pertikaian dan dibincangkan atas kesangsian yang lebih awal dicurigai mengenai kes tersebut.
Walhal, semuanya telah difailkan dan ditetapkan untuk pendengaran kes. Malaysia sudah melantik tiga Queen’s Counsel, selain beberapa pakar perundangan antarabangsa dan pengkaji isu tersebut.
Semakan kes yang sepatutnya berakhir pada 22 Mei 2018 itu bagaimanapun berjaya mendapat ketetapan tarikh perbicaraan dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Tetapi setelah tarikh pertengahan Jun 2018 diberikan ICJ, kerajaan PH secara tiba-tiba membuat keputusan menarik diri dan tidak meneruskan prosiding akan diadakan.
Tindakan tersebut seolah-olah menyerahkan tuntutan dan hak Pulau Batu Puteh kepada Singapura secara 'percuma'.
Sedangkan bersama persediaan pasukan perundangan negara, termasuk pihak dilantik yang dinyatakan, Malaysia juga telah bersedia dengan dokumen lengkap diperolehi dari Arkib Bitish berupa fakta ampuh untuk semakan semula itu.
Bahkan sebaliknya isu ini lebih membangkitkan keraguan besar terhadap kejujuran PH selaku kerajaan ketika itu. Apakah ada balasan atau pemberian ganti diperolehi? Atau sesuatu yang lain pula menjadi korban dan cagaran? Dan lebih penting, siapa yang mendapat manfaat daripada semua itu?
Perkara ini sama sekali tidak boleh dipandang remeh di mana negara mungkin telah hilang Pulau Batu Puteh untuk selama-lamanya.
Tetapi lebih buruk adalah implikasinya atas maruah dan sempadan kedaulatan yang bakal ada perubahan serta mengurangkan lagi hak Malaysia. Apatah lagi status Tubir Selatan belum dimuktamadkan.
Sekiranya PH selaku mantan kerajaan gagal tampil mengemukakan semua bukti berkaitan, maka sewajarnya mereka dikenang sebagai penguasa politik yang tidak sayangkan negara tanah air.
Dengan rekod banyaknya aset negara telah dijual sepanjang pemerintahan singkat itu, maka adalah tidak mustahil kes Pulau Batu Puteh ini juga menjadi sebahagian tindakan PH yang sangat sangat merugikan negara. Biar sejarah menjadi saksi.
Saya menyokong penuh langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan pasukan petugas khas bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen bersesuaian dengan mendapatkan pandangan pakar perundangan antarabangsa bagi membuat semakan semula berkenaan kes ini.
Saya percaya telah berlaku kecuaian dan kekhilafan yang menyebabkan permohonan semakan dan pentafsiran kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh diteruskan semasa pemerintahan Kerajaan PH yang lalu. Inilah masanya mengembalikan hak dan maruah kita itu. Selamat berjuang dan semoga kejayaannya menjadi hadiah buat Keluarga Malaysia!
AHMAD TARMIZI SULAIMAN merupakan ahli parlimen Sik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan