Jason Thomas
Pelajar yang menduduki satu peperiksaan menerusi Google Meet terkejut apabila video seks tiba-tiba ditayangkan di skrin mereka.
PETALING JAYA: Pelajar Tingkatan 2 sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur terkejut ketika mereka menduduki satu peperiksaan semalam – satu video seks eksplisit mula ditayangkan di skrin mereka.
Dua ibu bapa yang tidak mahu dikenali memberitahu FMT, kejadian itu berlaku ketika pelajar sedang mengambil kehadiran sebelum peperiksaan reka bentuk dan teknologi (RBT) diadakan melalui platform sidang video Google Meet.
Mereka berkata, guru terbabit segera mengarahkan pelajar untuk meninggalkan kelas maya, dengan peperiksaan kemudiannya dijalankan menggunakan borang dalam talian.
Kesal dengan kejadian itu, mereka berkata, pelajar atau guru itu nampaknya tidak tahu siapa yang berkongsi video berkenaan dalam kumpulan terbabit.
Ibu bapa itu berkata, ini hanya boleh dilakukan seseorang yang mempunyai kemampuan sebagai hos. Tidak diketahui bagaimana individu terbabit mendapat akses ke kelas maya itu.
“Kami tidak pasti bagaimana ini boleh berlaku. Kami fikir kelas (dalam Google Meet) mungkin telah digodam,” kata seorang ibu bapa.
“Beberapa ibu bapa dalam kumpulan sembang WhatsApp kami menyarankan mereka yang mempunyai tangkap layar video itu membuat laporan polis.”
Tentunya kumpulan sembang WhatsApp ibu bapa itu hangat membincangkan kejadian berkenaan.
Dalam tangkap layar perbualan dalam kumpulan itu yang dilihat FMT, seorang ibu bapa berkata, video itu adalah “kes besar” di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Akhlak anak-anak kami sedang dirosakkan.
“Saya berharap guru akan membuat laporan kepada polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Jika ada bukti ia membabitkan pelajar, mereka tidak sepatutnya dibiarkan.”
Seorang ibu bapa meminta guru – yang merupakan pentadbir kelas maya – menyaring secara terperinci mereka yang hadir. Ibu bapa lain menyarankan ibu bapa dibenarkan menemani anak mereka dalam sesi akan datang.
FMT menerima rakaman suara didakwa daripada seorang guru sekolah itu kepada pelajar Tingkatan 2 mengenai “kekecohan” ketika peperiksaan.
Guru itu mendakwa masalah terbabit berpunca daripada pelajar berkongsi pautan kelas Google Meet dengan pelajar lain.
“Tolong jangan menyebarkan pautan Google Meet kepada orang lain yang bukan dari kelas anda.
“Kami akan mengambil tindakan…Guru disiplin dan saya sedang mencari individu yang menggunakan pautan itu untuk memasuki kelas kerana kami mempunyai (hak pentadbir) dan boleh mengesan siapa yang masuk dan keluar dari kelas.”
Seorang guru yang dihubungi FMT mengesahkan kejadian itu, tetapi enggan mengulas lanjut.
FMT turut menghubungi pengetua sekolah terbabit.
FMT tidak mendedahkan nama sekolah itu sementara menunggu komen rasmi pihak berkuasa sekolah. Panggilan ke nombor pejabat sekolah terbabit tidak dijawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan