"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Fuad: Langkah Dubai: ‘Kalau MP UMNO terlibat, ia kerja sia-sia’

AKMAL MANAF

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan ia satu tindakan sia-sia jika ada Ahli Parlimen dari parti itu terlibat dengan langkah menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan bahawa perlembagaan parti telah dipinda pada 13 Januari lalu.

“Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO menyebut, keahlian seorang MP UMNO akan gugur secara automatik jika menyertai pakatan politik yang tidak dianggotai oleh UMNO.

“Dan Akta Anti Lompat Parti terpakai pada dirinya. Kerusi dimenanginya diisytiharkan kosong dan Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan.

“Mereka diikat dengan SD (akujanji) iaitu wajib membayar RM100 juta,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau turut memberi perumpamaan bahawa pisang tidak boleh berbuah dua kali.

“Cukuplah pengalaman pahit 10 MP Barisan Nasional (BN) menandatangani SD lain selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Duri dalam daging mesti dihukum berat. Beberapa nama MP UMNO juga dikaitkan dengan Langkah Dubai.

“Umno tidak terlepas daripada gangguan ‘scammer’ politik. UMNO ingin dikucar-kacirkan,” katanya lagi.

Pada 30 Disember lalu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendedahkan bahawa muncul komplot ‘Langkah Dubai’.

Gerakan itu didakwa dilakukan oleh pembangkang bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Nor kemudian mengesahkan wujud rancangan pembangkang menjatuhkan kerajaan mengikut proses dibenarkan Perlembagaan.

Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa sudah mempunyai jumlah sokongan Ahli Parlimen mencukupi bagi membolehkan gabungan berkenaan mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

Tiada ulasan: