"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

9,684 warga asing terbabit jenayah kekerasan, samun, curi, bunuh, rogol dan jenayah lain

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my
ANTARA warga asing yang ditahan membabitkan kesalahan tiada dokumen sah di Pelabuhan Klang, tidak lama dulu.
ANTARA warga asing yang ditahan membabitkan kesalahan tiada dokumen sah di Pelabuhan Klang, tidak lama dulu.
Kuala Lumpur: Kebanjiran warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) menimbulkan kebimbangan masyarakat terutama apabila ada yang terbabit dengan pelbagai jenayah, sekali gus mengancam keselamatan.

Sepanjang tempoh empat tahun dari 2021 hingga 2024 (November) seramai 9,684 warga asing dari pelbagai negara ditahan terbabit dengan jenayah kekerasan, samun, curi, bunuh, rogol dan jenayah lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antara yang tertinggi melakukan jenayah di negara ini ialah membabitkan warga dari Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Filipina dan Pakistan.

Menurutnya, berdasarkan rekod kebanyakan warga asing yang ditahan polis antara 2021 hingga November lalu biasanya terdiri daripada dua kategori iaitu yang memasuki negara ini secara sah tetapi tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan dan mereka yang masuk secara haram (tanpa dokumen atau melalui pintu masuk yang tidak sah).

"Bagi tangkapan membabitkan tiada dokumen dalam tempoh sama seramai 4,222 Pati ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Razarudin berkata, tangkapan warga asing membabitkan kes tinggal lebih masa pula adalah seramai 6,559 bagi tempoh sama.

Sementara itu, jumlah wanted person (orang dikehendaki) warganegara asing dari 2020 sehingga November 2024 adalah seramai 2,141 orang.

"Orang dikehendaki membabitkan kes jenayah dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) seramai 1,414; kes jenayah komersial seramai 325 dan narkotik seramai 402 orang.

"Cabaran utama yang dihadapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah membabitkan warga asing terutamanya Pati ialah pengesanan identiti, kesulitan dalam mengesan mereka yang berada di kawasan sukar dikenal pasti dan kerjasama antarabangsa yang terhad," katanya.

Beliau berkata, beberapa faktor lain yang menyumbang kepada cabaran-cabaran ini termasuklah isu penguatkuasaan undang-undang, akses kepada maklumat risikan, kerjasama antarabangsa, serta kekangan sumber.

"Bagaimanapun PDRM terus berusaha untuk memperbaiki penguatkuasaan melalui penggunaan teknologi, kerjasama antarabangsa, dan operasi yang lebih bersepadu untuk mengekang masalah ini demi memastikan keselamatan negara yang lebih terjamin," katanya.

Tiada ulasan: