FMT Reporters
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurup wang bagi membantu siasatan kes melibatkan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki, berkata suspek direman dua hari namun dilepaskan selepas mengadu sakit jantung.
“Kami segera merujuknya kepada doktor yang mengesahkan dia mengalami masalah jantung tersumbat,” katanya kepada New Straits Times.
Dalam pada itu, Azam memaklumkan proses merakam keterangan Ismail mungkin memerlukan beberapa sesi lagi.
“Saya tidak dapat meramalkan bila proses ini akan selesai, tetapi saya boleh katakan ia akan mengambil beberapa sesi lagi.
“Proses merakam keterangan masih berjalan dan ramai lagi individu yang akan diambil keterangan,” katanya.
Ismail dijangka dipanggil untuk soal siasat bagi kali keenam esok.
SPRM sedang menyiasat penemuan kira-kira wang tunai RM170 juta dan jongkong emas 16kg yang bernilai jutaan ringgit, yang mana dirampas hasil serbuan di beberapa kediaman dan pejabat, selain premis dijadikan “safe house”.
Selain bekas perdana menteri, agensi itu menyiasat empat bekas pegawai kanannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan