Ernalisa Othman
Mereka yang memakai pelitup muka seterusnya dilihat memasuki bangunan balai polis untuk urusan selanjutnya. - Foto fail/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan seorang daripada 25 rakyat Malaysia yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar Rabu lalu adalah ejen, lima adalah mangsa, manakala 20 yang lain sedang disiasat latar belakang mereka.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Risikan Operasi Bukit Aman Datuk Datuk Fadil Marsus, ejen yang dikenal pasti adalah seorang lelaki berusia 20 tahun dan dia direman hingga Rabu ini.
"Lima individu yang sudah disahkah sebagai mangsa adalah wanita berusia 19 hingga 34 tahun.
"Polis setakat ini membuka lima kertas siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).
“Semua mangsa telah memperolehi perintah perlindungan interim (Interim Protection Order - IPO) selama 21 hari,” katanya pada sidang Media di Ibu Pejabat Bukit Aman pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 25 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar telah selamat tiba di sempadan Malaysia-Thailand dan diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut, Rabu lalu.
Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Bangkok memudah cara penghantaran pulang mangsa terbabit.
Proses penghantaran pulang itu adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Luar, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla
Sementara itu, mengulas lanjut, Fadil mengesahkan seramai 133 rakyat Malaysia masih terkandas di luar negara ekoran menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia.
“Secara keseluruhan pihak kami telah berjaya menyelamatkan 504 individu daripada terus menjadi mangsa," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya menerima sebanyak 489 laporan polis melibatkan 637 orang yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia sejak Januari 2021 sehingga 13 Mac 2025.
Selain itu, katanya kajian menunjukkan bahawa 83 peratus daripada mangsa mempunyai latar belakang pendidikan sehingga peringkat Sijil Pelajaran Tinggi (SPM).
"Medium utama tawaran pekerjaan yang diterima oleh kesemua mangsa adalah melalui platform media sosial seperti Facebook, Telegram, WeChat, Instagram dan WhatsApp, diikuti dengan pelawaan daripada rakan atau ahli keluarga," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan