Dr Rosli Allani Abdul Kadir
SURAT | Sudah lebih dua minggu pemilihan PKR berlalu, namun gema retak dari dalam parti masih belum reda. Ketika umat Islam menyambut Aidiladha — hari pengorbanan — segelintir ahli masih terperangkap dalam ego dan dendam.
Mereka seolah-olah tidak rela menerima keputusan demokrasi yang mereka sendiri persetujui pada awalnya.
Sepanjang tempoh pemilihan, kita saksikan bagaimana isu-isu remeh dibesar-besarkan, sengaja digembar-gemburkan untuk mencetuskan kekacauan dalaman.
Ada yang tampil kononnya sebagai pejuang integriti, tetapi sebenarnya memalu gendang perpecahan. Mereka menjemput campur tangan luar dan menjadikan masalah parti sebagai bahan tontonan umum. Ia ibarat pesta wayang terbuka.
Konvensyen PKR di Johor Bahru telah menghantar mesej yang jelas — ahli akar umbi muak dengan permainan dalaman yang menjijikkan.
Keputusan pemilihan timbalan presiden yang sangat jauh bezanya bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi tamparan kepada politik kem-kem dan sikap mencipta musuh dalam selimut.
Malangnya, ada yang masih enggan berhenti.
Yang kalah terus bermain sentimen, yang kecewa memilih jalan pembalasan. Yang pernah menuntut reformasi, kini menjaja kebencian dan mengapi-apikan penyokong untuk menyerang parti sendiri.
Apa jenis perjuangan ini?
Pintu tetap terbuka
Lebih menjengkelkan, ada yang cuba mencorakkan naratif kononnya parti menekan mereka, media sosial disekat, dan penyokong dibungkam. Kenyataan ini tidak lebih daripada sekadar strategi lapuk untuk meraih simpati dan menagih sokongan luar.
Mereka bukan ditekan. Mereka sedang menerima balasan atas tindakan mereka sendiri yang menggugat kestabilan parti.
Tuduhan terhadap penjawat awam, agensi penguat kuasa, dan ketua-ketua parti hanyalah satu cubaan meluaskan kerosakan.
Mereka mahu mencetuskan persepsi kononnya berlaku penindasan, sedangkan yang berlaku hanyalah penguatkuasaan peraturan terhadap pelanggaran disiplin dan batas undang-undang.
Parti tidak boleh lagi berlembut. Cukuplah dengan rundingan dan pujukan. Mereka yang terus-menerus mencetuskan huru-hara mesti dikenakan tindakan tegas.
Politik dendam tidak boleh diberi pentas dalam gerakan reformasi. Jangan biar kapal yang kita bina ini ditebuk dari dalam oleh mereka yang kecewa kerana tidak mendapat kuasa.
Timbalan presiden yang baru, Nurul Izzah Anwar, akan kembali dari Mekah membawa mandat untuk menyatukan barisan. Namun usaha ini tidak akan berhasil jika yang kalah masih menjaja fitnah dan mewujudkan kempen membenci parti.
Jangan berselindung di sebalik nama reformasi jika yang diperjuangkan hanyalah kedudukan peribadi.
PRU ke-16 adalah medan sebenar. PKR di bawah pimpinan Anwar Ibrahim tidak punya masa untuk melayan sisa-sisa pemilihan yang telah tamat.
Pintu tetap terbuka untuk mereka yang mahu kembali menyumbang, tetapi jangan harap diberi tempat jika yang dibawa hanyalah racun dan sabotaj.
Kita bukan kekurangan musuh di luar. Justeru jangan ditambah musuh dari dalam.
Kita mungkin sedikit terluka, jangan dibiarkan sakitnya terlalu lama. Sekarang masa untuk kembali berkerja.
DR ROSLI ALLANI ABDUL KADIR ialah mantan ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Kelantan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan