Minyak subsidi ‘ghaib’ di Malaysia, tapi berlambak di Golok
N Faizal Ghazali
Minyak masak paket bersubsidi sekilogram kini menjadi rebutan — bukan sahaja oleh pengguna tempatan, tetapi juga pembeli di seberang sempadan.
Di pasar raya dan kedai runcit sekitar Lembah Klang dan Kelantan, bekalan minyak masak paket yang dijual pada harga kawalan RM2.50 sepaket amat terhad. Pembelian pula dihadkan kepada satu atau dua paket setiap orang.
Malah, ada peniaga yang mengambil kesempatan menjualnya pada harga melebihi kadar ditetapkan kerajaan.
Tinjauan Malaysiakini di beberapa kedai serbaneka sekitar Petaling Jaya dan Puchong mendapati hanya satu atau dua kotak minyak masak bersubsidi dibekalkan seminggu — dan cepat habis dijual.
“Seminggu hanya satu atau dua kotak dibekalkan, itu pun tidak menentu.
"Kalau ada stok, dalam masa sejam saja boleh habis. Kita terpaksa hadkan pembelian supaya ramai orang dapat beli,” kata seorang jurujual dikenali sebagai Raja, 30-an.
Situasi serupa dikesan di Kota Bharu dan Machang. Di pasar raya besar, sekadar dua paket boleh dibeli dalam satu transaksi.
Namun, berbeza keadaannya di Pekan Golok, Narathiwat — hanya seberang Sungai Golok dari Rantau Panjang.
"Di situ, minyak masak bersubsidi Malaysia yang didakwa diseludup boleh diperoleh dengan mudah, tanpa had pembelian.
Harganya pula mencecah dua kali ganda berbanding harga asal, kata seorang peniaga di Golok dikenali sebagai Shakori, 40an.
“Kalau stok banyak kita jual juga sekotak dengan harga sekitar RM95 sekotak.
"Minyak paket Malaysia ini dapat sambutan masyarakat di sini kerana harganya lebih murah berbanding minyak botol sekilogram buatan Thailand,” katanya.
Shakori mendakwa dia mendapat bekalan sekitar 20 hingga 30 kotak seminggu melalui pembekal. Di Golok, setiap paket dijual sekitar RM6 hingga RM7.
Sementara itu, seorang peniaga ayam goreng di Golok yang enggan dikenali berkata dia memilih minyak masak Malaysia demi menjimatkan kos.
“Bekalan pun mudah, banyak dijual kedai-kedai kawasan ini.
"Kita guna minyak Malaysia sebab lebih murah dan tiada masalah dengan kualitinya,” katanya.
Keadaan yang menjadi rahsia umum ini menimbulkan persoalan besar tentang keberkesanan sistem pengagihan subsidi minyak masak negara — dengan lebih RM1.5 bilion dibelanjakan setahun.
Bantuan itu dilihat bocor ke luar sempadan dan tidak sampai ke golongan sasar.
Walaupun kerajaan melaporkan pelbagai usaha membanteras penyeludupan namun ketirisan terus berlaku.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail pada Mei lalu memaklumkan 134 pangkalan haram di sempadan negara sudah ditutup.
Menurutnya, langkah itu melibatkan kawasan berisiko tinggi seperti Rantau Panjang-Sungai Golok.
Pun begitu, realiti di lapangan menunjukkan aktiviti penyeludupan masih berleluasa menimbulkan soalan sejauh mana keberkesanan kawalan dan komitmen membanteras ketirisan benar-benar terlaksana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan