"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut terkena renjatan elektrik di atas bumbung bangunan

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
Anggota polis dan bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui di atas bumbung bangunan di Karambunai, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Anggota polis dan bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui di atas bumbung bangunan di Karambunai, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Kota Kinabalu: Seorang lelaki ditemukan maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di atas bumbung sebuah bangunan di Karambunai, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa ditemukan di atas bumbung bangunan sebelum pasukan bomba dipanggil bagi membantu menurunkannya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai 10 anggota bersama jentera dari BBP Kota Kinabalu dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 2.50 petang dan mendapati terdapat seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik di atas bumbung bangunan.

"Operasi menurunkan mangsa dilakukan menggunakan pengusung sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Lelaki maut traktor terbabas ke lereng bukit

KOSMO!
Anggota bomba ketika mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah traktor di Teluk Bahang, hari ini.
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki maut selepas traktor yang dia pandu terbabas ke lereng bukit berhampiran jirat cina di Teluk Bahang di sini, petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.45 tengah hari tadi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Bahang bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira sembilan minit kemudian.

“Insiden melibatkan sebuah traktor yang terbabas di lereng bukit semasa menjalankan kerja-kerja pertanian di atas bukit.

“Kedalaman lereng bukit dianggarkan kira-kira 15 meter dan terdapat seorang mangsa tersepit,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, komander operasi kemudian menjalankan ‘size up’ bersama anggota lengkap berpakaian perlindungan diri (PPE) sebelum mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.

“Mangsa, Hor Beng Koon, 49 berjaya dikeluarkan pada pukul 2.16 petang namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.11 petang. -KOSMO! ONLINE

2 warga Singapura maut selepas kereta terbabas, terbakar

Azizi Majid
Keadaan kereta yang dinaiki pasangan kekasih warga Singapura, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 57.5, Jalan Johor Bahru-Mersing pagi tadi. -Foto JBPM
KOTA TINGGI: Dua warga Singapura maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum terbakar di Kilometer 57.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah pemandu, Yeo Tian Wen, 34, dan penumpang yang dipercayai teman wanitanya, Ng Puay Ying, 33.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 9 pagi menerusi laporan orang awam.

“Kemalangan membabitkan kereta jenis Ferrari dipandu lelaki terbabit bersama-sama wanita di tempat duduk depan penumpang.

“Kereta itu dipercayai terbabas sendiri lalu kemalangan dan mengakibatkan kedua-dua mangsa cedera parah di badan, terbakar dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Murid Tahun 6 meninggal dunia selepas pengsan ketika perhimpunan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang murid Tahun Enam meninggal dunia selepas pengsan ketika sedang mengikuti perhimpunan di sebuah sekolah di Kapar.

Ketua Polis Klang Utara S Vijaya Rao berkata, mangsa berusia 12 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, selepas dibawa untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa dilaporkan pengsan kira-kira 8.30 pagi ketika perhimpunan di sekolah terbabit (sebelum) kemudiannya disahkan meninggal dunia (di hospital),” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan berhubung kejadian itu.

Tambahnya, setakat ini punca kematian belum dapat disahkan kerana masih menunggu laporan lengkap makmal.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Dua ditahan kes ceroboh rumah, kebas RM120,000

NUR SHARIEZA ISMAIL

NILAI – Polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam baru-baru ini, yang disyaki terlibat kes pecah rumah melibatkan kerugian dianggarkan RM120,000 di Mantin, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, tangkapan dibuat susulan laporan diterima daripada seorang wanita pada 17 April lalu selepas mendapati rumahnya di Taman Permai Jaya, Mantin dipecah masuk.

“Siasatan awal mendapati bilik tidur mangsa dan ibu mentuanya berada dalam keadaan berselerak, manakala barang kemas, dokumen penting serta wang tunai dipercayai hilang.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan sebuah kereta jenis Honda City Hatchback berwarna putih berhenti di hadapan rumah sebelum dua lelaki bertopeng memasuki kediaman dan melarikan diri bersama sebuah beg,” katanya kepada Kosmo! di sini. – KOSMO! ONLINE

Warga Jordan, 2 wanita ditahan cuba seludup bunga ganja RM480,000

FMT Reporters

Tiga suspek ditahan di pangkalan haram Masjid Taqwa, Kampung Simpangan, Tumpat.
ganja tumpat
Pasukan Gerakan Am merampas sebuah Mercedes Benz S500L bernilai RM150,000 dan bunga ganja seberat 6kg yang dianggarkan bernilai RM480,000.  (Gambar PGA)
PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Jordan dan dua wanita tempatan ditahan ketika cuba menyeludup bunga ganja bernilai RM480,000 melalui pangkalan haram di Kampung Simpangan, Tumpat, semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain, berkata tiga suspek ditahan kira-kira 4.30 petang Jumaat hasil rondaan bermotosikal dan risikan anggota Batalion 9 PGA Kuala Terengganu di pangkalan haram Masjid Taqwa, Kampung Simpangan.

Menurutnya, sebuah Mercedes Benz S500L dikesan dalam keadaan mencurigakan dekat tepi Sungai Golok, dengan seorang suspek didapati mengambil satu bungkusan plastik lutsinar di tepi sungai sebelum meletakkannya dalam bonet depan kereta.

“Suspek kemudian bersama seorang lagi individu kembali ke tepi sungai untuk mengambil beberapa lagi bungkusan plastik sebelum dimasukkan dalam bonet belakang kenderaan,” katanya menurut Sinar Harian.

Jelasnya, anggota PGA kemudian menahan tiga suspek dan hasil pemeriksaan lanjut menemui lima bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan daun kering disyaki bunga ganja seberat 6kg.

“Sebanyak 1.3kg bunga ganja ditemui di bahagian depan kiri kenderaan, manakala baki 4.7kg lagi dijumpai di bonet belakang. Nilai keseluruhan dadah itu dianggarkan RM480,000.”

Beliau berkata, semua suspek mengaku dadah itu dalam kawalan mereka dan ini kali pertama mereka mengambil bekalan di pangkalan haram terbabit.

Jelasnya, seorang suspek wanita berusia 35 tahun dipercayai menjadi orang tengah yang menghubungkan pengedar dari Golok dikenali “Abe”, bersama dua lagi suspek membawa bekalan dadah ke Kuala Lumpur.

Katanya, dadah itu dipercayai akan diserahkan kepada seorang lelaki dikenali “Lee” di ibu negara dan setiap suspek dijanjikan bayaran RM300 bagi setiap kilogram bunga ganja yang berjaya dihantar.

Beliau berkata, turut dirampas Mercedes Benz S500L bernilai RM150,000 dan beberapa barangan lain yang keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM630,100.

Saya bertanding atas tiket PAS, kata Khlir lepas digantung Bersatu

N Faizal Ghazali

Ahli Parlimen Ketereh, Khlir Mohd Nor, menegaskan dia tidak terkesan dengan tindakan Bersatu yang menggantung keanggotaannya berkuat kuasa serta-merta seperti dilaporkan semalam.

Malah, katanya, dia masih seorang ahli parlimen yang bertanding dan menang di atas tiket PAS pada PRU ke-15 lalu.

“Tak ada kesan apa-apa pada saya. Saya bertanding atas tiket PAS.

“Saya masih lagi ahli parlimen, saya bukan bertanding atas tiket Bersatu,” kata bekas pegawai kanan angkatan tentera itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Khlir antara lima ahli parlimen Bersatu yang digantung keahlian selama dua penggal oleh parti itu.

Turut digantung ialah Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz, Khalib Abdullah (Rompin), Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Nordin Ahmad Ismail (Lumut).

Selain itu dua wakil rakyat di Kedah dikenakan tindakan lebih keras apabila dipecat keahlian mereka oleh Bersatu iaitu Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani, dan Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis.

Turut digantung keahlian ialah dua Adun di Perak, Ahmad Man (Kuala Sepetang) dan Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh), manakala Ketua Bersatu Hulu Langat, Muhammad Faiz Rahmat pula dipecat keahlian.

Mengenai percaturan masa depannya, Khlir berkata, dia akan berfikir terlebih dahulu sama ada akan membuat rayuan atau sebaliknya.

“Dalam Bersatu pun saya tak ada jawatan apa-apa, bukan saya ketua bahagian, atau ahli jawatankuasa, tak ada apa-apa saya ni.

“Saya ini adalah ahli Bersatu, bertanding atas tiket PAS. Tak ada apa saya nak merayu pun, tapi saya akan fikir dulu macam mana,” katanya.

11 pendaki terperangkap dalam terowong

MOHD. FAHMI ISMAIL
Kesemua 11 pendaki yang terperangkap berjaya diselamatkan anggota bomba petang tadi. Foto JBPM
KUALA LUMPUR – Seramai 11 pendaki yang terperangkap di dalam terowong akibat arus sungai deras di Sungai Pisang Waterfall Trailhead, Batu Caves di sini berjaya diselamatkan petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.11 petang.Insurans Pekerja Malaysia

Beliau berkata, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 21 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, terdapat sekumpulan pendaki terdiri daripada 11 individu terperangkap di dalam terowong akibat arus sungai deras.

“Pengadu memaklumkan mereka tidak dapat menyeberang kerana laluan terhalang dan anggota kemudiannya bergerak naik ke lokasi pinpoint yang diberikan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut beliau, kesemua mangsa terdiri daripada lima lelaki dan enam wanita berusia lingkungan 20-an berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada pukul 5.15 petang.

“Anggota turut menggunakan tali penyelamatan serta peralatan personal flotation device (PFD) ketika operasi menyelamat dijalankan.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan turut dilakukan bagi memastikan tiada lagi unsur bahaya di lokasi kejadian,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Kanak-kanak maut dihempap blok konkrit

Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my
Kanak-kanak maut dihempap blok konkrit di Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh. FOTO Ihsan pembaca.
Kanak-kanak maut dihempap blok konkrit di Kampung Telaga Papan, Pasir Puteh. FOTO Ihsan pembaca.
Pasir Puteh: Kanak-kanak berusia 12 tahun maut dihempap blok konkrit ketika bermain di hadapan rumahnya di Kampung Telaga Papan, Semerak, di sini hari ini.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Mohammad Yusof Nor Ismail dipercayai sedang bermain korek pasir di kawasan blok konkrit itu bersama bapa saudara,Mohd Yunus Nasir yang seusia dengannya.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, seorang ahli keluarga kemudian memaklumkan kedua kanak-kanak itu terjatuh ke dalam lubang pasir dan mendapati mereka dihempap blok konkrit.

"Mangsa didapati tidak sedarkan diri dan keluarga menghubungi Klinik Kesihatan Cherang Ruku, sebelum penolong pegawai kesihatan klinik berkenaan mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa kanak-kanak cedera di bahagian leher dan dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk rawatan lanjut.

Terdahulu, Aktivis Jejak Jalanan, Tengku Mohd Harith Hakimin Tengku Abdul Azis berkata, mangsa dan keluarga adalah penerima sumbangan bulanan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Katanya, mayat kanak-kanak itu masih berada di HTA untuk urusan bedah siasat dan pihaknya akan membantu urusan pengebumian nanti.

Bersatu pecat 2 Adun, gantung 5 MP

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lembaga disiplin Bersatu memecat keahlian dua Adun di Kedah, dan menggantung tujuh termasuk lima Ahli Parlimen, berkuat kuasa hari ini.

Lembaga menyatakan mereka melanggar fasal 9.1.4 perlembagaan Bersatu serta kod etika dan tatakelakuan ahli, menurut notis dilihat FMT, ditandatangani Pengerusi Radzi Manan.

Adun yang dipecat keahlian adalah Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang).

Turut dipecat Ketua Bersatu Hulu Langat Faiz Rahmad.

Ahli Parlimen yang digantung keahlian adalah Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Khlir Mohd Nor (Ketereh), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), dan Khalib Abdullah (Rompin).

Dua Adun turut digantung keahlian iaitu Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain (Chenderoh) dan Ahmad Man (Kuala Sepetang).

Mereka digantung keahlian selama dua penggal pemilihan. Segala jawatan yang dipegang terlucut, dan mereka tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atas nama parti sehingga tempoh penggantungan tamat.

Lembaga memaklumkan mereka semua boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.

Sementara itu, lembaga memberikan amaran kepada tiga Ahli Parlimen iaitu Kalam Salan (Sabak Bernam), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu), dan Zakri Hassan (Kangar).

Anwar perlu kembali ke Permatang Pauh - Hassan Karim

Malaysiakini

Seorang ahli parlimen senior percaya PKR mampu merampas semula kerusi Permatang Pauh sekiranya Anwar Ibrahim kembali bertanding di kawasan berkenaan dalam PRU akan datang.

Malah, pada perkiraan Hassan Abdul Karim, kemunculan semula Presiden PKR dan perdana menteri di kawasan Permatang Pauh akan turut menyumbang kepada pengukuhan parti berkenaan di negeri-negeri utara.

Bercakap dalam audio siar Explain Sikit terbitan Malaysiakini, Ahli Parlimen Pasir itu turut mengakui Permatang Pauh tidak lagi boleh dianggap sebagai kerusi yang benar-benar selamat buat PKR ekoran tercetus “gelombang hijau” PAS serta prestasi kukuh PN di kawasan utara.

Permatang Pauh terlepas daripada penguasaan PKR pada PRU ke-15 walaupun ia ditandingi anak perempuan Anwar, Nurul Izzah, yang cuba mempertahankannya.

Dia kalah kepada calon PAS-PN, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dengan perbezaan 5,272 undi.

Turut terlepas kepada PN ialah semua tiga kerusi DUN yang ada di bawah Permatang Pauh iaitu Penanti, Permatang Pasir dan Seberang Jaya.

Anwar membuat kemunculan pertama sebagai ahli parlimen – selepas menyertai Umno – dengan menjadi calon BN di situ. Sejak itu kerusi tersebut kekal menjadi milik Anwar atau isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismaill, atau Nurul Izzah.

Wan Azizah serta Nurul Izzah memenangi kerusi tersebut atas tiket PKR.

Permatang Pauh juga mencatat sejarah apabila ia pernah menjadi satu-satunya kerusi parlimen yang dimenangi PKR semasa parti itu menyertai PRU 2004.

Menurut Hassan, Anwar merupakan seorang “pejuang” dan ia dibuktikan dengan percaturan ahli politik berusia 78 tahun itu bertanding di Tambun pada PRU ke-15 ketika orang ramai menganggap Perak adalah negeri yang sukar ditembusi PH.

“Tetapi apabila beliau bertanding di sana, itu bermakna beliau sudah membuat perkiraan dan merasakan boleh menang, dan akhirnya terbukti beliau memang menang walaupun majoritinya sekitar 4,000 undi.

“Majoriti itu bukan kecil, ia agak signifikan. Jadi jika Anwar mahu mempertahankan Permatang Pauh, beliau seorang pejuang. Jika beliau sanggup berada di sana, itu juga bermakna rakyat Permatang Pauh mempunyai tanggungjawab.

“Maksudnya, sama ada mahu mereka menyokong Anwar atau menamatkan kerjaya politiknya di situ,” kata Hassan.

Ubah status kerusi Permatang Pauh

PRU yang berlangsung pada 2022 itu menyaksikan Anwar merampas kerusi parlimen dalam pertandingan empat penjuru. Dia mengalahkan penyandang, Ahmad Faizal Azumu yang mewakili Bersatu-PN.

Dua lagi calon yang mencuba nasib di situ ialah Aminuddin Hanafiah (BN) dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

Anwar menawan kerusi itu dengan majoriti 3,736 undi.

Hassan berkata, dari sudut “moral”, Anwar mempunyai kekuatan tersendiri.

“Jika Anwar bertanding di sana (Permatang Pauh), ia akan menaikkan semangat PKR di wilayah utara, khususnya di Kedah dan Pulau Pinang.

“Sama seperti ketika beliau memasuki Tambun sebelum ini, ia membantu PH di Perak,” tambahnya.

Bekas Pengerusi PKR Johor itu turut menganggap Permatang Pauh sebagai “kerusi yang sangat sentimental” kepada parti berkenaan, justeru Nurul Izzah juga perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk bertanding semula di kerusi itu.

Kata Hassan, hal itu kerana Nurul Izzah baru sekali kalah di kerusi tersebut.

“Status Permatang Pauh boleh berubah daripada kerusi marginal kepada, insya-Allah kerusi boleh menang, jika Anwar sebagai perdana menteri menjadi calonnya.

“Tempat itu juga merupakan lokasi beliau mula bertanding pada tahun 1982 di bawah Umno-BN, jadi ia bukan asing bagi beliau,” tambah Hassan.

Pada Selasa lalu, Malaysiakini menyiarkan laporan berdasarkan analisis dalaman yang menunjukkan unjuran bahawa PKR dalam mod berjaga-jaga ketika berdepan dengan realiti bahawa banyak kerusi tradisi mereka semakin terancam.

Dokumen bertajuk Analisis Strategik PRU16: Ringkasan Mengikut Tier itu dibentangkan pada 2 Mei lalu di hadapan hampir 900 pemimpin parti di seluruh negara.

Fokus kajian PKR itu ialah terhadap 66 kerusi parlimen pada PRU akan datang.

Sasar kerusi gagal menang

Daripada jumlah itu, PKR mengklasifikasikan kerusi-kerusi tersebut kepada empat tier (kategori) dengan tujuh berada pada kedudukan teratas (kuat atau selamat), diikuti 13 kerusi di Tier 2A (hampir kuat), 17 kerusi di Tier 2B (marginal/kompetitif), dan 29 kerusi sebagai Tier 3 (sukar).

Dapatan itu menunjukkan sebahagian besar kerusi yang dikaji – iaitu sebanyak 46 kerusi (Tier 2B dan Tier 3) – berada dalam zon berisiko tinggi atau memerlukan pemulihan imej yang serius.

Sebagai perbandingan, dalam PRU ke-15 PKR memenangi 31 daripada 81 kerusi parlimen yang ditandinginya. Ia merupakan kemerosotan berbanding PRU ke-14 (2018) apabila parti itu memperoleh 47 kerusi.

Antara kerusi yang dimenangi pada PRU ke-15 tetapi kini diletakkan dalam kategori Tahap 2B (marginal) ialah Tambun.

Mungkin perkara paling signifikan bagi penyokong reformasi ialah pengelasan berterusan Permatang Pauh dalam kategori Tahap 2B.

PKR juga dilihat menyasarkan 29 kerusi yang gagal dimenangi mereka pada PRU lalu.

Antaranya ialah Kuantan – yang ditandingi Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh; Kulim-Bandar Baharu (Saifuddin Nasution Ismail); Indera Mahkota (setiausaha politik Anwar, Ahmad Farhan Fauzi, disebut-sebut bakal dinamakan sebagai calon); serta Pagoh (kini disandang Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin).

Jurulatih kadet bomba didakwa amang seksual, miliki pornografi kanak-kanak

Bernama

Muhammad Aidilafifi Muhammad bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.
Tertuduh, Muhammad Aidilafifi Muhammad, 28, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan memiliki gambar pornografi. (Gambar Bernama)
IPOH: Seorang jurulatih kadet bomba didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal serta satu pertuduhan memiliki gambar pornografi membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun antara Februari hingga Mei lepas.

Muhammad Aidilafifi Muhammad, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan selepas ia dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Bagi pertuduhan amang seksual fizikal, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di beberapa lokasi berbeza di dalam dan luar sekolah di sekitar daerah Perak Tengah antara awal Februari hingga 1 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang juga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat turut didakwa atas satu lagi pertuduhan kerana memiliki gambar pornografi mangsa dalam telefon bimbit miliknya.

Pertuduhan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor keseriusan kesalahan, namun memohon jumlah jaminan RM80,000 secara keseluruhan sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.

Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah berkhidmat lebih empat tahun, memberikan kerjasama penuh kepada polis serta bukan individu berisiko melarikan diri.

Beliau berkata tertuduh yang juga penjawat awam menanggung isteri serta ibu bapanya berusia lingkungan 60-an selain menetap di kuarters bomba, sekali gus mengurangkan risiko untuk melarikan diri dan mencadangkan jaminan RM5,000 secara keseluruhan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan supaya melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap awal bulan.

Hakim turut memerintahkan tertuduh dilarang sama sekali menghubungi, mendekati atau mengganggu mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Pasangan kekasih mengaku sorok mayat bayi dalam kereta

Malaysiakini 

Sepasang kekasih hari ini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di Melaka atas dua pertuduhan iaitu menyembunyikan kelahiran dan mengambil ubat bagi menghalang bayi dilahirkan hidup, bulan lepas.

Adam Harith Ahmad, 18, serta teman wanitanya yang berumur 17 tahun 10 bulan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman dan Majistret Uthman Abd Ghani.

Pada prosiding di hadapan Sharda Shienha, Adam Harith didakwa telah membungkus bayi yang sudah meninggal dunia itu dan meletakkannya di dalam bonet belakang sebuah kereta di Kampung Batu Gajah, Merlimau, Jasin pada 11.40 malam 25 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan remaja lelaki itu diikat jamin RM3,500 dan menetapkan 10 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi mendengar laporan kimia serta laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, pada prosiding di hadapan Uthman, remaja perempuan berkenaan didakwa mengambil ubat jenis Misoprostol dengan niat untuk menghalang bayi dilahirkan dalam keadaan hidup di sebuah bilik di Taman Sutera Wangi, Batu Berendam di Melaka pada kira-kira 10 pagi 25 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 315 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 9 Julai depan untuk mendengar laporan akhlak daripada JKM.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syaza Nur Sharif dan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani manakala Adam Harith diwakili peguam Mohd Farid Abdul Aziz.

- Bernama

Kes samun: Warga emas maut, isteri parah dipukul

Abd Razak Mohd Ali

IPOH: Seorang lelaki warga emas maut, manakala isterinya parah dipukul dengan objek keras dalam kes samun di sebuah rumah di kawasan Jalan Melayu, Ayer Tawar, Manjung, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Hasbullah Abd Rahmah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kejadian samun itu pada 5.30 pagi.

Menurutnya, hasil siasatan pihak polis mendapati pasangan suami isteri warga emas itu diserang seorang lelaki yang tidak dikenali sehingga mengalami kecederaan serius akibat dipukul dengan objek keras.

“Suspek melarikan dua unit telefon bimbit serta beg duit milik mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jiran mangsa yang terdengar bunyi bising telah datang untuk membantu dan membawa mangsa ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan.

Namun, ujarnya, mangsa lelaki berumur 84 tahun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan dan bedah siasat akan dijalankan untuk mengesahkan punca kematian.

Hasbullah berkata, hasil maklumat dan risikan, kira-kira jam 7.45 malam hari sama, sepasukan polis dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berjaya menangkap suspek, seorang lelaki berumur 27 tahun, bersama barangan milik mangsa.

Tambahnya, suspek dibawa ke IPD Manjung bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 / 494 Kanun Keseksaan.

Suspek kemudiannya direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 Mei.

Saksi atau orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil ke IPD Manjung atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau talian hotline Whatsapp 017 - 682 8005 bagi membantu siasatan.

16 terbunuh apabila bas penumpang langgar lori tangki

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan bas ALS dan lori tangki yang terbakar di Lebuh Raya Trans-Sumatera kelmarin. - ANTARA
JAKARTA –  Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh, manakala empat lagi cedera selepas sebuah bas penumpang melanggar lori tangki di lebuh raya utama di Musi Rawas Utara, wilayah Sumatera Selatan, lapor portal berita Jakarta Globe. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 12.39 tengah hari (waktu tempatan) di Lebuh Raya Trans-Sumatera, daerah Karang Jaya kelmarin. 

Kemalangan itu melibatkan sebuah bas milik syarikat pengangkutan Antar Lintas Sumatera (ALS) dan lori tangki yang bergerak dari arah bertentangan. 

Pegawai Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Musi Rawas Utara, Mugono berkata, pasukan kecemasan dikerahkan untuk memindahkan mangsa yang kebanyakannya terperangkap di dalam kenderaan. 

“Mangsa termasuk 14 penumpang bas, seorang pemandu dan kelindan lori tangki. Empat orang lagi terselamat dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” kata Mugono. 

Bas tersebut dilaporkan dalam perjalanan dari Lubuklinggau ke Medan atau Pekanbaru sebelum nahas. 

Siasatan awal mendedahkan berlaku kebakaran pada bahagian bas sebelum ia berlanggar dengan lori tangki yang dipandu laju.

Ketika itu, pemandu bas dilaporkan cuba membawa kenderaan tersebut ke bahu jalan.

Siasatan sedang giat dijalankan termasuk pengecaman mangsa. – AGENSI

Polis rampas bunga ganja RM12.6 juta, tahan 7 ‘keldai dadah’

Faiz Zainudin
 
Suspek ditahan adalah warga asing terdiri enam lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 27 tahun.
shazeli
Ketua Polis Selangor Shazeli Kahar menunjukkan dadah yang dirampas dalam sidang media hari ini.
SHAH ALAM: Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dengan merampas bunga ganja dianggarkan seberat 156.7kg bernilai RM12.6 juta dalam serbuan berasingan sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kota Warisan, Sepang, antara 28 hingga 30 April lalu.

Turut ditahan tujuh suspek warga asing dipercayai keldai dadah terdiri enam lelaki dan seorang wanita berusia 18 hingga 27 tahun.

Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata kes pertama membabitkan rampasan 64 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 67.2kg.

“Bagi kes kedua, polis merampas 59 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 29.5kg.

“Kes ketiga pula membabitkan rampasan empat bagasi berisi 109 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat 60kg,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor.

Beliau berkata, polis turut menyita wang tunai berjumlah RM580, mata wang asing sebanyak 20 Euro, serta seutas jam tangan berjenama dianggarkan bernilai RM80,000.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati enam suspek positif dadah manakala seorang lagi negatif.

Menurutnya, suspek dipercayai tertarik upah lumayan minimum antara RM13,000 hingga RM26,000 bagi satu trip perjalanan ditawarkan sindiket.

“Dadah yang dirampas adalah untuk dibawa keluar dari Malaysia dan dihantar ke Eropah, dan kita percaya bekalan itu diambil dari negara jiran.

“Semua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan di Malaysia dan menggunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan aktiviti pengedaran dadah di negara ini,” katanya.

Semua suspek direman 14 hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rafizi ingatkan kita semua akan jadi Cik Minah

Malaysiakini 

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli mengingatkan orang ramai berkaitan pembentukan Malaysia sebagai negara tua menjelang 2048.

Katanya, 22 tahun dari sekarang, seramai 14 peratus penduduk akan melepasi umur 65 tahun dan tidak bekerja, sekali gus memberi kesan besar terhadap ekonomi, kebajikan dan kelangsungan negara, terutamanya kehidupan rakyat.

Bekas timbalan presiden PKR itu memberi contoh berkaitan seorang penduduk di kawasan parlimennya yang dipanggil “Cik Minah”, warga emas 70 tahun yang tinggal sendirian dan tiada pendapatan.

“Dulu masa membesarkan anak, Cik Minah jual nasi lemak. Sekarang dah tua, anak-anak membantu sedikit sebanyak tetapi anak-anak pun hidup susah juga. 

“Duit yang anak-anak bagi itulah Cik Minah nak bayar sewa, elektrik, air dan sebagainya. Duit untuk makan memang sangat kesempitan,” katanya.

Ogos tahun lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata Malaysia berada dalam fasa peralihan daripada negara menua kepada negara tua menjelang tahun 2048, apabila 14 peratus (5.88 juta) penduduk berumur 65 tahun ke atas.

Jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding 2.7 juta penduduk berusia 65 tahun ke atas pada 2025.

Perubahan demografi itu dijangka memberi kesan besar terhadap sistem persaraan, kedudukan fiskal serta persediaan jangka panjang bagi memastikan kesejahteraan rakyat pada usia tua.

Menulis di media sosial, Rafizi berkata walaupun tiada pendapatan, Cik Minah tidak pernah mendapat bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah atau Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

“Kami tolong daftarkan mana yang patut, dan bantu mana yang patut.

“Tapi cabaran warga emas seperti ini bukan unik kepada Cik Minah saja. Ada beratus ribu lagi warga emas dalam keadaan ini dan menjelang 2048, angka ini mencecah jutaan orang.

“Kita akan jadi macam Cik Minah dalam 20 tahun dari sekarang,” katanya.

Rafizi berkata keluhan itu harus diteliti supaya negara dapat digerakkan ke arah satu sistem dan pendekatan baru yang bersiap sedia menghadapi negara tua dalam 20 tahun akan datang.

Nurul Izzah ganti Kak Wan di parlimen Bandar Tun Razak?

B Nantha Kumar

Desas-desus mengenai kepulangan semula Nurul Izzah Anwar ke kancah Parlimen di Wilayah Persekutuan semakin bertiup kencang, dengan tumpuan kini terarah sepenuhnya kepada kerusi Bandar Tun Razak.

Sekurang-kurang tiga sumber PKR masing-masing dari cabang Bandar Tun Razak, majlis pimpinan negeri Wilayah Persekutuan dan ibu pejabat parti itu memberitahu bahawa tidak mustahil Puteri Reformasi kembali ke ibu kota pada PRU16 nanti.

Langkah itu dilihat sebagai strategi serampang dua mata menyelamatkan kerjaya politik timbalan presiden parti itu daripada risiko di Permatang Pauh, serta memastikan kelangsungan legasi keluarga Anwar Ibrahim di kerusi yang kini disandang ibunya, Wan Azizah Wan Ismail.

Sumber PKR pusat berkata Wan Azizah berkemungkinan besar tidak akan mempertahankan kerusi tersebut bagi memberi laluan penuh kepada anaknya.

"Kak Wan sudah memberi bayangan jelas bahawa ini adalah penggal terakhirnya. Dia mahu berehat dan melihat Izzah kembali ke parlimen melalui laluan yang lebih stabil."

"Keputusan ini bukan sekadar soal keluarga, tetapi soal strategi survival parti. Kita tidak boleh biarkan Izzah 'terkandas' lagi dalam gelombang konservatif di (negeri-negeri) utara.

"Bandar Tun Razak adalah hadiah terbaik daripada seorang ibu untuk memastikan kesinambungan perjuangan reformasi di ibu kota," katanya.

Terdahulu, Nurul Izzah pernah menjadi wakil rakyat selama dua penggal di Kuala Lumpur melalui kerusi Lembah Pantai.

Lokasi paling lojik

Sumber daripada Wilayah Persekutuan pula menegaskan bahawa sejarah PKR di Bandar Tun Razak menjadikan kawasan itu sebagai lokasi paling lojik untuk penempatan semula Nurul Izzah.

"Bandar Tun Razak ada nilai sentimental dan sejarah yang kuat bagi PKR. Sejak zaman allahyarham Khalid Ibrahim lagi, kerusi ini adalah simbol kekuatan PKR di Wilayah.

"Rekod kemenangan kita di sini konsisten. Dengan pengaruh ketua cabang Azman Abidin yang merupakan 'orang kuat' presiden, laluan Izzah di sini dijangka paling kurang rintangan berbanding kawasan lain."

"Kita perlukan seorang tokoh nasional di sini untuk mengekalkan momentum kemenangan, dan siapa lagi yang lebih layak kalau bukan Izzah untuk menyambung tugas ibunya?" kata sumber itu.

Alu-alukan, tapi enggan sahkan

Ketika dihubungi, Azman mengalu-alukan sekiranya Nuzul Izzah berhasrat bertanding di Bandar Tun Razak.

"Insya-Allah. Sudah semestinya. Bandar Tun Razak mengalu alukan Izzah jika beliau berminat bertanding di sini," katanya secara ringkas.

Dia bagaimanapun enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan perpindahan itu.

Bandar Tun Razak merupakan kubu kuat PKR sejak parti itu menang kerusi tersebut sejak PRU12 pada 2008.

Parlimen dengan lebih 120,000 pengundi itu dimenangi oleh Kak Wan pada PRU yang lalu dalam pertembungan tiga penjuru dengan majoriti 9,817 undi.

Nurul Izzah pula gagal mempertahankan kerusi Permatang Pauh pada 2022 selepas kalah kepada calon PN Muhammad Fawwaz Md Jan dengan majoriti tipis 5,272 undi. Kerusi itu milik keluarga Anwar sejak tahun 1982.

Sementara itu sumber di peringkat Cabang Bandar Tun Razak berkata cabangnya melihat pertukaran antara ibu dan anak ini sebagai satu transisi yang dialu-alukan tanpa banyak soal.

"Akar umbi sudah sedia maklum. Kami melihat Izzah sebagai penukaran yang paling semula jadi. Dia bukan orang asing, malah sering turun membantu program Kak Wan di sini.

"Sejarah PKR di sini dibina atas kesetiaan kepada reformasi. Jadi apabila dimaklumkan Kak Wan beri laluan kepada anaknya, jentera di bawah tidak ada masalah untuk bekerja keras,”katanya lagi.

Setakat ini, usaha Malaysiakini untuk mendapatkan komen daripada Nurul Izzah masih tidak membuahkan hasil apabila mesej yang dihantar tidak berbalas.

Malaysiakini turut telah menghubungi pengarah bersama pilihan raya PKR Saifuddin Nasution untuk komen.

Khabar angin Batu masih bersifat ‘setempat’

Mengenai khabar angin di Parlimen Batu, sumber tersebut menjelaskan bahawa usul untuk meletakkan Nurul Izzah di sana masih bersifat ‘setempat’.

"Usul di Cabang Batu itu baru di peringkat 'test market' oleh penyokong di sana. Ia belum diangkat ke peringkat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah secara rasmi. Fokus utama pimpinan ketika ini tetap pada Bandar Tun Razak," kata sumber itu.

Sebelum ini, PKR cabang Batu sebulat suara mengusulkan Nurul Izzah, sebagai calon bagi kerusi Parlimen Batu pada PRU16, sekiranya ketua cabang tidak dipilih bertanding.

Ketua Cabang PKR Batu, Asheeq Ali Sethi Alivi berkata usul tersebut dibawa oleh ahli cabang dan diluluskan tanpa bantahan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Batu yang diadakan pada 19 April.

Kedah: Pemuda maut di loteng rumah terbakar

NURUL IZZATI ZAINI
Seorang mangsa maut dalam kebakaran rumah di Bandar Sri Astana, Sungai Petani awal pagi tadi. - Gambar JBPM KEDAH
SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 20 tahun ditemukan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Astana, Bandar Sri Astana di sini awal pagi tadi.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Mohd. Zaki Senik berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran rumah dengan api sedang marak pada pukul 4.51 pagi.

“Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani bersama bantuan BBP Aman Jaya digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A setingkat,” katanya hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 30.48 meter dengan satu pancutan serta salur bantu mula menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 5.41 pagi dan dianggarkan memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur rumah,” ujarnya.

Katanya, kebakaran dipercayai bermula dari bahagian hadapan rumah yang mana ia turut melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang musnah 90 peratus serta empat motosikal.

Beliau berkata, pasukan bomba seterusnya menemukan seorang mangsa lelaki di ruang loteng rumah pada pukul 5.23 pagi.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM). Dalam kejadian sama, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh ambulans KKM untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE

Apakah PAS tak pernah ‘berdosa?’

Fauzi Abdullah

Ajakan Hadi Awang supaya Umno 'kembali ke pangkal jalan' dibalas Zahid Hamidi PAS perlu buang 'DNA khianat'.

PAS nampaknya masih belum mampu melupakan Muafakat Nasional (MN). Walaupun hubungannya dengan Umno sudah lama retak dan dipenuhi sindiran politik, parti itu terus menghantar isyarat mahu kembali bekerjasama atas nama ‘penyatuan Melayu-Islam’.

Semalam, Presiden PAS Hadi Awang sekali lagi mengajak Umno ‘kembali ke pangkal jalan’. Ungkapan itu membawa mesej jelas yang PAS menganggap Umno sudah tersasar selepas memilih bekerjasama dalam kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan terdiri PKR dan DAP.

Tetapi persoalannya — apakah PAS merasakan mereka langsung tidak pernah ‘berdosa’ dalam episod keretakan MN? Maksumkah mereka?

Kenyataan Hadi mungkin sedap didengar penyokong sendiri, namun ia juga boleh dibaca sebagai cubaan meletakkan seluruh beban kegagalan MN ke atas bahu Umno semata-mata. Sedangkan sejarah politik kedua-dua parti jauh lebih rumit daripada naratif ‘Umno tersasar, PAS kekal istiqamah’.

Tidak menghairankan apabila Presiden Umno Zahid Hamidi membalas dengan nada sinis. Beliau berkata, PAS perlu terlebih dahulu membuang ‘DNA khianat’ sebelum bercakap soal kerjasama semula. Jawapan itu keras, tetapi ia mencerminkan tahap kecurigaan mendalam yang masih wujud dalam Umno terhadap PAS.

Hakikatnya, hubungan PAS-Umno sentiasa dibina atas keperluan politik, bukan kepercayaan yang benar-benar kukuh. Ketika MN dilancarkan pada 2019, kedua-dua parti dilihat bersatu demi kelangsungan politik Melayu selepas kekalahan besar Barisan Nasional pada PRU14. Ketika itu, semangat ‘penyatuan ummah’ dijaja sebagai formula baharu politik negara.

Namun, ‘bulan madu’ itu tidak berpanjangan malah tidak seindah seperti diimpikan.

Pertindihan kerusi, perebutan pengaruh dan percaturan kuasa akhirnya membuka semula luka lama. PAS kelihatan memilih untuk terus memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, manakala Umno pula semakin curiga terhadap agenda sebenar PAS. Bagi Umno, PAS dilihat lebih selesa memperbesarkan pengaruh sendiri daripada benar-benar mahu menjadi rakan setara.

Sebab itu, apabila PAS hari ini bercakap soal perpaduan dan mengajak Umno kembali ke pangkal jalan, ramai dalam parti itu melihatnya dengan sinis. Mungkin ada antara mereka bertanya semula: ketika Umno lemah dan berpecah, di manakah PAS berdiri? Bersama rakan lama atau sibuk membina kekuatan politik sendiri?

Politik Malaysia memang penuh ironi. Dulu PAS dan Umno saling ‘kafir-mengkafir’ di pentas ceramah. Kemudian mereka berpelukan atas nama Melayu-Islam. Hari ini mereka kembali bertikam lidah tetapi pada masa sama masih membuka ruang untuk bekerjasama semula, kerana dalam politik prinsip sering berubah mengikut keperluan semasa dan kuasa.

PAS mungkin masih berharap MN boleh dihidupkan semula namun realitinya Umno kini lebih berhati-hati dan tidak lagi mudah termakan retorik perpaduan tanpa syarat. Selagi isu kepercayaan tidak diselesaikan, slogan ‘penyatuan ummah’ hanya akan tinggal sebagai nostalgia politik yang semakin pudar.
-fmt

Tagih baki hutang baiki paip punca remaja dikelar

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
LOKASI kejadian. FOTO Tangkap layar video Ihsan Pembaca
LOKASI kejadian. FOTO Tangkap layar video Ihsan Pembaca
Penampang: Tuntutan baki hutang kerja membaiki paip rumah dipercayai menjadi punca seorang remaja perempuan warga asing dikelar di leher dalam kejadian di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 16 tahun mengalami luka di leher serta kecederaan di kepala selepas diserang suspek lelaki warga asing berusia 29 tahun.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk berjumpa kakak ipar mangsa bagi menuntut baki hutang kerja membaiki paip rumah.

Katanya, ketika kejadian mangsa berada di rumah bersama seorang kanak-kanak lelaki yang juga anak buahnya kerana membantu menjaga kanak-kanak terbabit semasa kakak iparnya keluar bekerja.

"Ketika kejadian, mangsa sedang memegang pisau kerana menyiapkan masakan di dapur sebelum suspek mendakwa mangsa mengeluarkan kata-kata kasar sehingga menyebabkan dia berasa marah.

"Suspek kemudian bertindak merampas pisau daripada tangan mangsa sebelum menggelar leher mangsa dan menolak mangsa ke dinding tandas sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan leher," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Menurutnya, selepas kejadian suspek melarikan diri dari lokasi sebelum berjaya diberkas polis kira-kira jam 5.50 petang di kawasan semak tepi Jalan Pekan Kinarut Lama, Papar.

"Hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Tambah beliau lagi, mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu.

Tiga beranak ingkar arahan tarikh mula puasa didenda RM5,000 dan RM2,500

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Syariah Muar kerana didakwa ingkar arahan berpuasa 1 Ramadan.  FOTO Ihsan JAINJ
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Syariah Muar kerana didakwa ingkar arahan berpuasa 1 Ramadan. FOTO Ihsan JAINJ
Muar: Seorang mudir sebuah madrasah dan dua anak lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Syariah di sini, atas pertuduhan mengingkari arahan pihak berkuasa berkaitan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai tarikh permulaan puasa 1 Ramadan.

Mereka ialah Ambiah Bunanjin, 68; anaknya, Abdul Qodir Jailani, 29, dan Muhammad Idris, 25, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Syarie, Mohamad Fadzil Esa.

Ambiah berhadapan dua pertuduhan kemudian didenda RM5,000 manakala Abdul Qodir Jailani dan Muhammad Idris masing-masing satu pertuduhan, didenda RM2,500 seorang.

Mahkamah juga memerintahkan Ambiah menjalani hukuman penjara dua tahun dan Abdul Qodir Jailani dan Muhammad Idris setahun, sekiranya mereka gagal menjelaskan denda dikenakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Ambiah didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan mengetuai upacara melihat anak bulan serta enggan mengikuti arahan untuk berpuasa pada tarikh ditetapkan 19 Februari lalu (1 Ramadan).

Kedua-dua kesalahan ini dilakukan di pantai Parit Penyengat, di sini dan madrasah tertuduh dalam daerah ini pada 18 dan 19 Februari lalu.

Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh dipenjara sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan dikenakan.

Sementara itu, Abdul Qodir Jailani yang juga tenaga pengajar madrasah itu dan Muhammad Idris, dituduh mengikut Seksyen 43 (A) enakmen sama kerana bersubahat dengan bapanya menyebarkan kenyataan mengenai permulaan puasa.

Berdasarkan fakta kes, penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mendapat maklumat mengenai terdapat beberapa individu mula berpuasa pada 20 Februari (2 Ramadan) selepas melihat sendiri anak bulan pada 18 Februari lalu.

Siasatan dijalankan mendapati, Ambiah serta beberapa orang anak muridnya serta orang awam pergi pantai Parit Penyengat di sini pada 18 Februari dan mereka mula berpuasa pada 2 Ramadan (20 Februari).

Tertuduh mendakwa anak bulan tidak kelihatan dan memberitahu supaya mula berpuasa pada tarikh berkenaan.

Muhammad Idris yang bertindak sebagai pengendali kumpulan WhatsApp kemudiannya menyebarkan mesej itu kepada ahlinya yang terdiri 72 orang serta turut dikongsi orang awam sehinggalah penguatkuasa JAINJ menerima aduan itu.

Susulan itu, penguatkuasa JAINJ menahan tertuduh serta dua pengikutnya bagi membantu siasatan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Muhammad Lutfi Md Latif dan Azry Ismail Hassan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Mohamad Fadzil dalam penghakiman berkata, kesalahan itu adalah berat yang tidak sepatutnya berlaku di negeri ini mempunyai sultan sebagai ketua agama.

"Jangan cuba mengada-adakan hukum sendiri dengan membelakangi mufti dan sultan. Tertuduh sepatut mematuhi pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengenai permulaan 1 Ramadan," katanya.

Pada masa sama, mahkamah meminta madrasah terbabit diletakkan di bawah pemantauan ketat JAINJ sesuai dengan prosedur dan ketetapan oleh jabatan itu.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan tiga beranak ini diberi bimbingan serta pemulihan termasuk pengikut dan pentadbiran madrasah.

Tidak sampai 5 jam, suspek kelar remaja perempuan diberkas

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Penampang: Tidak sampai lima jam, suspek dipercayai terbabit kes seorang remaja perempuan cedera akibat dikelar di dalam tandas rumah sewa di Kampung Tuntuluk, Nosoob, di sini, berjaya diberkas.

Suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang yang menjalankan operasi mengesan suspek jam 5.30 petang.

Difahamkan, suspek diberkas di kawasan semak di Jalan Kinarut Lama.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek terbabit.

Katanya, maklumat lanjut berhubung penahanan suspek akan dikongsikan kemudian.

Zahid Hamidi belum sedia ‘peluk’ Pas

Masih simpan ‘DNA khianat! : Zahid belum sedia ‘peluk’ Pas
Harapandaily

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bahawa peluang kerjasama politik antara Umno dan Pas masih sukar direalisasikan selagi parti Islam itu didakwa tidak berubah daripada sikap lama yang dianggap “mengkhianati” rakan politik.

Mengulas pelawaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar Umno kembali bekerjasama dengan Pas, Zahid berkata pengalaman lalu dalam Muafakat Nasional menjadi sebab utama beliau sukar mempercayai semula parti itu.

“Dulu saya yang memulakan Muafakat Nasional, tetapi ‘DNA’ mereka adalah khianat,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, sebarang kemungkinan kerjasama baharu hanya boleh dipertimbangkan sekiranya Pas benar-benar meninggalkan sikap tersebut.

“Kalau mereka menghilangkan rasa khianat dalam hati, mungkin kita boleh pertimbangkan.

“Tetapi kalau khianat itu masih terus ada, saya rasa elok kita lupakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara 2026-2030 yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Nancy Shukri.

Kenyataan Zahid itu hadir ketika hubungan Umno dan Pas kembali menjadi perhatian selepas Abdul Hadi mendakwa Umno tersilap memilih rakan politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Presiden Pas itu sebelum ini beberapa kali menggesa Umno kembali bekerjasama dengan Pas atas alasan penyatuan Melayu-Islam perlu diperkukuh bagi menghadapi landskap politik semasa.

Namun hubungan kedua-dua parti kekal dingin sejak keruntuhan Muafakat Nasional selepas Pas memilih bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Langkah Pas ketika itu dianggap Umno sebagai pengkhianatan terhadap persefahaman asal Muafakat Nasional yang dilancarkan pada 2019 bagi menyatukan dua parti terbesar Melayu tersebut.

Sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU15, kepimpinan Umno dilihat semakin konsisten mempertahankan kerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun terus diasak Pas dan PN yang cuba menarik semula sokongan akar umbi Melayu terhadap parti itu.

Peminta sedekah beli iPhone secara tunai

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan warga emas itu membeli iPhone secara tunai di sebuah kedai. - TikTok
JAKARTA – Seorang peminta sedekah di Banjar, wilayah Kalimantan Selatan mengundang perhatian orang ramai kerana membeli telefon pintar jenama iPhone secara tunai di sebuah kedai menjual telefon bimbit, lapor portal berita Lambe Turah. 

Warga emas itu sering meminta sedekah di kawasan Sekumpul, daerah Martapura. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @officiallambeturah menunjukkan wanita berusia itu mengeluarkan gumpalan wang kertas bernominasi 100,000 rupiah (RM22). 

Selepas rakaman itu tular, wanita tersebut dan suaminya dipanggil oleh Agensi Perkhidmatan Sosial Kabupaten Banjar (P3AP2KB). 

Ketua Agensi Perkhidmatan Sosial Banjar (P3AP2KB), Erny Wahdini berkata, pasangan suami isteri itu dibawa ke Hospital Sambang Lihum untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. 

“Berdasarkan rekod perubatan yang ditemui, mereka pernah menerima rawatan di Rumah Sakit Jiwa (RSJ),” kata Wahdini. – AGENSI

Remaja dipercayai dikelar ditemui dalam tandas rumah sewa

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang remaja warga asing parah akibat dikelar di leher dengan pisau di rumah sewanya di Kampung Tuntuluk, dekat Penampang, hari ini.

Gadis berusia 16 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri dan berlumuran darah di dalam tandas rumah tersebut oleh pemiliknya.

Berita Harian melaporkan kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu dikatakan berlaku selepas mangsa didatangi suspek yang dipercayai kenalannya.

Pemilik rumah sewa itu yang enggan dikenali berkata, beliau dihubungi salah seorang penyewa yang memintanya segera pergi ke kediaman terletak bersebelahan rumahnya.

“Sebaik saja menghampiri rumah itu, saya nampak seorang lelaki berlari menaiki bukit di hadapan rumah.

“Ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa. Namun, apabila masuk ke dalam rumah, saya nampak mangsa terbaring di tandas dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, sebaik menemui mangsa, dia menghubungi kakak remaja itu dan seterusnya pihak berkuasa.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama kakaknya di rumah sewa itu sejak kira-kira tiga tahun lalu, dan sedang menjaga anak kakaknya ketika kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Penampang, Sammy Newton, mengesahkan mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan cedera pada bahagian leher.

Beliau berkata, pasukan polis termasuk Unit Forensik, IPK Sabah, sedang menjalankan siasatan lanjut di lokasi.

Sehubungan itu, polis sedang mengesan seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang Hairie Awang Akub di talian 016-8032849.

Pelajar maut terkena renjatan elektrik semasa ambil wuduk

Bernama

Seorang pelajar Tingkatan Empat maut manakala seorang lagi pelajar Tingkatan Tiga cedera parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika hendak mengambil wuduk di sebuah sekolah menengah di Daro, Bahagian Mukah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, DSP Rahim Mihos berkata pihaknya menerima makluman daripada pihak sekolah mengenai kejadian itu kira-kira 8 malam ketika tiga pelajar lelaki berada di kawasan mengambil wuduk.

Beliau berkata mangsa berusia 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Seorang lagi mangsa berusia 15 tahun yang merupakan pelajar Tingkatan Tiga mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Daro sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rahim berkata seorang lagi pelajar lelaki berusia 15 tahun yang turut berada di lokasi kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata pihak Sarawak Energy telah dimaklumkan untuk memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Daro untuk tindakan lanjut, manakala kes masih dalam siasatan.

- Bernama

Lelaki jual kandungan lucah didenda RM30,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Sepang mendenda seorang penjual kuih RM30,000 selepas mengaku bersalah menghantar video sumbang dan lucah bagi tujuan komersial dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Branley Mohd Tahar, 24, dan memerintahkannya dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda.

Lelaki tu didakwa secara sedar menggunakan perkhidmatan aplikasi Telegram untuk memberi komunikasi lucah, iaitu akses kepada kumpulan Telegram yang mengandungi video lucah bagi maksud komersial.

Dia didakwa menjual kandungan itu kepada ejen penyamaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui akaun Telegram dengan bayaran RM150 melalui tambah nilai Touch N Go pada 8.44 malam 22 Julai 2024.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim berkata, kesalahan dilakukan tertuduh jelas melanggar dua prinsip Rukun Negara, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesopanan dan Kesusilaan, yang memberi kesan negatif kepada masyarakat, selain bertentangan nilai agama Islam.

“Jangan guna media sosial untuk merosakkan moral ‘public’ (orang awam) dan keharmonian negara,” katanya menurut Berita Harian.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah mengenakan hukuman ringan kerana tiada pekerjaan tetap.

“Saya hanya membantu ibu menjual kuih dan menjadi tulang belakang keluarga kerana adik-beradik lain tinggal jauh. Saya dah insaf Yang Arif,” katanya.

Tetapi, Pegawai Pendakwa SKMM, Mohamad Azmir Mohd Razali meminta mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kesalahan serius dilakukan tertuduh membawa kesan besar kepada masyarakat, selain tindakannya bermotifkan keuntungan dan pernah menjana sehingga RM33,000.

Tunggang agama: Taksub parti jamin syurga, pendirian penyokong Pas ini cetus kebimbangan soal akidah

Harapandaily
Tular di media sosial klip video memaparkan seorang wanita dipercayai penyokong tegar Pas mengeluarkan kenyataan kontroversi yang dilihat menyentuh soal akidah dan ketaksuban politik melampau.

Menerusi petikan video TikTok yang dikongsikan semula di platform X, wanita dikenali sebagai Siti Fari Hah Zonol itu secara terbuka mendakwa bahawa individu yang mengundi Pas akan masuk syurga.

“Siti Fari Hah binti Zonol yang cakap. Memang kalau korang undi Pas, korang masuk syurga!

“Apa masalah kau?! Okey, itu saja,” katanya dalam petikan video berkenaan.

‘Jaminan’ wanita itu kemudian mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen kerana boleh mengelirukan masyarakat, selain dilihat mencampur-adukkan urusan politik kepartian dengan soal ganjaran akhirat.

Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata warga maya meluahkan kebimbangan terhadap trend ketaksuban politik melampau yang dilihat semakin menebal dalam kalangan sebahagian penyokong Pas.

Mereka sanggup ‘menunggang’ agama sehingga menyentuh soal syurga dan dosa yang tidak wajar dijadikan alat propaganda politik kerana hakikatnya merupakan urusan mutlak Allah SWT.

Malah, ada juga yang menyifatkan kenyataan sedemikian boleh mengundang imej negatif terhadap Islam apabila politik kepartian dijadikan ukuran mutlak keimanan individu.

Tidak kurang juga yang secara sinis meluahkan rasa simpati terhadap masyarakat di Tanah Arab yang tidak mempunyai cawangan Pas.

“Ah sudah… guane la nasib-nasib orang di Arab tu? Pas kena buka cawangan seluruh dunia la lepas ni… adeh.

‘Ya Allah. Kesesatan yang amat nyata. Moga pihak-pihak berwajib mengambil langkah segera selamatkan adik ini dari terusan diperdaya oleh para penunggang agama.

“Ada masuk al-Quran kalau undi Pas masuk syurga? Walaupun buat dosa tabur fitnah, kempen maki hamun, seludup sana sini, semua ini layak ke masuk syurga? Pergi mengaji Fardu Ainlah!

“Ramai otak walaun dan walauntit telah dirosakkan oleh Pak Lebai Pas,” demikian antara sindiran dan kecaman orang ramai di media sosial.

PRN Johor: Muda berisiko lenyap di Johor tanpa pakatan

FMT Reporters

Penganalisis kata tanpa sokongan gabungan yang mantap, parti itu berkemungkinan akan bergelut dalam pertandingan berbilang penjuru.

Muda bawah pimpinan presiden Amira Aisya Abdul Aziz letak sasaran lima hingga 10 DUN di Johor, melibatkan kawasan campuran, bandar, serta luar bandar.
PETALING JAYA: Muda berisiko lenyap di Johor sekiranya bertanding bersendirian, menurut penganalisis yang meramalkan pertempuran pelbagai penjuru mungkin memudaratkan berbanding membantu parti itu.

Pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali, berkata Muda kekurangan sokongan di kawasan luar bandar. Tambahnya, sokongan di kawasan bandar juga tidak menentu lantaran akar umbi yang lemah.

Beliau berkata bertanding solo pada PRN Johor boleh membawa kepada kekalahan, maka Muda wajar menjalin pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).

Mazlan mengingatkan bahawa Muda memenangi Putera Wangsa — satu-satunya kerusi parti itu di Johor — melalui kerjasama dengan Pakatan Harapan pada PRN 2022.

“Sekiranya Muda bertanding sendirian, mereka akan tewas di semua kerusi. Mereka mungkin akan hilang wang pertaruhan. Mereka hanya mempunyai peluang jika menyertai suatu pakatan seperti PH, PN atau BN — itu pun sekiranya mereka diberikan kerusi,” katanya kepada FMT.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Muda mungkin berharap untuk mengambil kesempatan ke atas perpecahan undi yang berpotensi berlaku dalam pertandingan pelbagai penjuru, namun parti itu tidak mungkin muncul sebagai pemenang memandangkan pengikut teras yang kecil.

“Dalam konteks pertandingan berbilang penjuru, impak ke atas Muda adalah kompleks. Secara teori, pertandingan sedemikian boleh memberi ruang kepada Muda untuk muncul sebagai pemenang apabila undi kepada parti-parti utama berpecah.

“Bagaimanapun, kerana sistem ‘first-past-the-post’, situasi ini lebih kerap memberi kelebihan kepada parti-parti yang sudah mempunyai pengikut yang ramai. Tanpa bank undi yang stabil, Muda berisiko tenggelam dalam persaingan, walaupun ia memperoleh sokongan yang agak signifikan,” katanya.

Walaupun rancangan Muda untuk bertanding lima hingga 10 kerusi pada PRN Johor mencerminkan pendekatan yang lebih berhati-hati dan strategik, Awang Azman berkata ia juga menunjukkan parti itu sedar akan kekangan semasa.

“Ia mencerminkan keyakinan yang berpada, bukan lagi retorik gelombang besar seperti yang dilihat semasa awal penubuhan, tetapi usaha menumpukan sumber ke kawasan tertentu yang dianggap berpotensi.

“Ini menunjukkan Muda sedang beralih dari fasa idealisme kepada realpolitik, menambah pengikut secara beransur-ansur dan dalam cara yang lebih tersusun.”

Isnin lalu, Presiden Amira Aisya Abdul Aziz berkata Muda menyasarkan untuk bertanding lima hingga 10 kerusi pada PRN Johor akan datang, merangkumi kerusi campuran, bandar hingga ke kawasan luar bandar.

Walaupun Muda sebahagian daripada Ikatan Prihatin Rakyat, suatu gabungan longgar yang dibentuk oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Amira berkata belum ada rundingan rasmi dengan pembangkang lain berkaitan kerjasama untuk PRN Johor.

Merujuk prestasi Muda pada PRN 2022, Awang Azman berkata peluang parti itu untuk memenangi lebih daripada satu kerusi adalah kecil.

“Sekiranya Muda berjaya menambah satu atau dua lagi kerusi, ia sudah boleh dianggap sebagai kemajuan yang besar. Sebarang pencapaian melangkaui itu memerlukan anjakan besar dalam sentimen pengundi atau perpecahan undi yang besar dalam kalangan parti-parti utama.”

Bagaimanapun, Mazlan percaya Muda berkemungkinan besar akan kehilangan Puteri Wangsa tanpa pakatan.

Beliau berhujah budaya politik Malaysia masih memihak kepada pakatan berbanding parti yang berdiri sendiri. “Muda tidak akan dapat raih sokongan yang mereka harapkan (jika bergerak solo).”

Beliau menyifatkan pilihan raya akan datang sebagai ujian kritikal terhadap kelangsungan parti itu, mengingatkan bahawa kehilangan semua kerusi — bersama wang pertaruhan yang dibayar — boleh menandakan bermulanya kemerosotan.

“Jika itu berlaku, Muda akan menjadi tidak relevan, seperti parti-parti kecil lain yang tidak lagi disokong atau diberi perhatian.”

Pada PRN Johor 2022, Muda bertanding tujuh kerusi bawah pakatan dengan PH tetapi hanya menang di Puteri Wangsa.

Kerusi tersebut telah bertukar tangan beberapa kali sebelum ini. Dimenangi oleh Umno pada 2004, dan dirampas oleh PAS ketika bersama Pakatan Rakyat, sembilan tahun kemudian.

Pada 2018, kerusi itu dimenangi oleh Bersatu, yang ketika itu merupakan komponen PH. Parti tersebut meninggalkan PH pada 2020.