"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis dipenjara 15 tahun

KOTA BHARU: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam setelah didapati bersalah merogol seorang gadis bawah umur pada bulan Julai, 1998.

Hakim Dazuki Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Abd Rahman Hussian, 51, setelah pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan yang munasabah dalam kes tersebut.

Sebelum ini, pada 13 Februari 2006, Hakim Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dikenakan 18 sebatan terhadapnya.

:Namun, pihak pembelaan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut dan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi sebelum kes itu diputuskan untuk dibicarakan semula sehingga hukuman yang baru diputuskan semalam.

Berdasarkan pertuduhan pertama yang dihadapi, Abd Rahman didakwa merogol seorang gadis berusia 15 tahun 5 bulan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Pak Omar, Selising dekat Pasir Putih antara jam 12.10 hingga 1.30 pagi pada 19 Julai 1998.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan perbuatan yang sama terhadap gadis tersebut yang juga merupakan anak saudaranya di tempat dan pada masa yang sama pada 25 Julai 1998.

Menurut pertuduhan ketiga pula, pada tempat dan masa yang sama, dia didakwa mengulangi perbuatan yang sama ke atas mangsa yang sama pada 31 Julai 1998.

Atas kesalahan yang dilakukan, dia didakwa melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Dalam prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman memohon kepada mahkamah supaya hukuman berat dikenakan terhadap Abd Rahman.

“Tertuduh melakukan satu kesalahan yang berat dan turut menyalahgunakan kuasanya sebagai anggota polis untuk melakukan kesalahan tersebut,” katanya. Peguam Abd Rahman, Datuk Sukri Mohamed bagaimanapun menyangkal dakwaan tersebut dan berkata isu berkenaan tidak timbul di dalam kes itu.

“Tidak timbul isu tertuduh sebagai seorang anggota polis yang mengambil kesempatan terhadap mangsa, cuma semasa kejadian tertuduh sedang berkhidmat dalam pasukan tersebut,” katanya.

Dasuki kemudiannya memutuskan tertuduh disabitkan atas ketiga-tiga pertuduhan itu dan dia dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman tersebut berjalan secara serentak mulai tarikh hukuman dijatuhkan.

Sejurus selepas hukuman dijatuhkan, Datuk Sukri sekali lagi memohon penangguhan hukuman terhadap anak guamnya dan membuat aku janji akan memfailkan rayuan untuk kali kedua bagi pihak tertuduh.

Dasuki kemudiannya bersetuju dengan permohonan itu dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

“Notis rayuan hendaklah difailkan sebelum jam 4 petang, sekiranya gagal, permohonan dengan sendirinya terbatal,” kata Dasuki.

Tiada ulasan: