"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa tujuan bajet tambahan RM80 juta?

Harakahdaily
IPOH, 30 Julai:
Pakatan Rakyat Perak hari ini mahu kerajaan BN negeri di bawah BN menjelaskan kepada rakyat berhubung tujuan membawa usul untuk meluluskan bajet tambahan RM80 juta pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) 3 Ogos ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming berkata, bajet tambahan tersebut juga menunjukkan kerajaan BN gagal dalam mengurus perbelanjaan negeri itu.

Jika RM80 juta diluluskan, bermakna BN telah mencatat sejarah tersediri apabila membawa negeri itu defisit paling tinggi dengan nilai RM104 juta.

"Rakyat berhak tahu apa tujuan tambahan bajet RM80 juta.

"Jika dewan meluluskan belanjawan ini, maka ini adalah belanjawan yang paling tinggi yang defisit," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu ialah Speaker Pakatan Rakyat, V. Sivakumar, Adun Lubok Merbau Mohd Zainuddin, Leong Mei Ming (Jalong), Tai Sing Eng (Kuala Sepetang), Drs. Khalil Idham Lim (Titi Serong), Hussin Din (Selingsing), Sum Chiok Ling (Bercam) dan Wong Kar Woh (Canning).

Semasa 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah negeri itu, mereka telah berjaya membawa masuk hasil pendapatan kepada kerajaan sebanyak RM103 juta.

Selepas Pilihan Raya Umum 2008, bajet defisit yang diusulkan Pakatan Rakyat pada tahun itu hanyalah sebanyak RM40 juta.

Bagaimanapun mereka berjaya menambah keuntungan atau hasil kerajaan tanpa perlu menaikkan kadar cukai ke atas rakyat yang akhirnya membawa masuk hasil sejumlah RM63 juta ke dalam perbendaharaan kerajaan negeri ketika itu.

Namun dalam tempoh yang sama, selepas ramapasan kuasa oleh BN, Perak menghadapi sejarah defisit tertinggi dalam sejarah negeri tersebut dengan mencatatkan rekod defisit sebanyak RM104 juta.

Menurutnya lagi, jika bajet tambahan itu diluluskan, defisit Perak akan meningkat sebanyak 14.2 peratus iaitu tiga kali ganda lebih besar daripada bajet defisit kerajaan pusat 5.6 peratus.

Ianya juga 4.3 kali ganda lebih teruk daripada jumlah 3.3 peratus tanda aras yang diletakkan oleh Kesatuan Eropah untuk pembangunan ekonomi mapan.

Sehubungan itu, Menteri Besar BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir diminta menjelaskan kepada kerajan punca dan bagaimana pengurusan kewangan dibuat sehingga berlaku defisit ke tahap itu.

Nga Kor Meng juga turut mempersoal keberkesan siri lawatan Zambry ke Korea, London, Timur Tengah dan China yang sebelum ini didakwa menteri besar itu bertujuan menarik pelabur asing.

Semalam, Adun Sitiawan, Datuk Ngeh Ko Ham juga mendakwa penciptaan beberapa jawatan baru di dalam pentadbiran negeri seperti perlantikan tiga penasihat kerajaan dan seorang pegawai penerangannya sebagai membazir.

Ianya kerana kerajaan negeri terpaksa memperuntukkan gaji dan faedah-faedah lain kepada mereka.

Selain itu, tindakan Zambry meletakkan poster dan iklan mempromosi diri beliau sendiri di seluruh negeri juga kata Ngeh, adalah pembaziran wang rakyat.

Zambry juga sebelum ini menggunakan wang kerajaan dengan menyumbang sebanyak RM50,000 kepada bahagian-bahagian MCA di Perak.

Menurut Ngeh, beliau juga yakin imbuhan sama turut diberikan kepada Umno di negeri itu secara rahsia.

Tiada ulasan: