Subky Latif
APA yang Tun Musa Hitam beritahu dalam forum di Kota Bharu betapa Tun Dr Mahathir Mohamad belum berangkat ke China semasa kejadian Memali telah beliau beritahu saya semasa dia masih Timbalan Perdana Menteri lagi.
Petang hari berkenaan saya ke pejabatnya, saya tanyakan tentang itu. Isu itu masih panas ketika itu. Jawabnya, Dr Mahathir masih belum berangkat ke China. Dia ada dalam negara.
Musa kata kepadanya, dia patut batalkan lawatan ke China, pergi selesaikan dulu isu Ibrahim Libya terbunuh di Memali.
Bagi Musa, bukan dia tidak boleh hadapi angkara itu tetapi lebih baiklah Dr Mahathir menanganinya kerana yang berlaku itu adalah di negerinya.
Saya fikir Musa ada alasan supaya Dr Mahathir balik ke negerinya dan sebagai pemimpin rakyat dia patut berada di tengah-tengah mereka ketika kejadian menumpahkan darah yang menyebabkan berbelasbelas orang mati dan puluhan lagi cedera.
Tapi jawab Dr Mahathir, kata Timbalan Perdana Menteri itu, dia tidak boleh batalkan lawatan ke China itu kerana dia sudah buat banyak temu janji dan pertemuan dengan pihak sana.
Balas Musa, biasa orang batalkan lawatan kerana adanya kejadian yang besar dalam negara.
Tentulah bukan Mahathir saja orang yang tunda kunjungan ke China jika mengambil tindakan itu. China pun ada pengalaman demikian.
Mahathir berkeras dia hendak ke China juga. Lalu dia tinggalkan kecelakaan itu untuk dihadapi oleh orang lain.
Apabila Mahathir ditanya tentang keterangan Musa di Kota Bharu itu, dia kata dia sudah lupa kerana ia sudah lama.
Jika Mahathir lupa bukan justeru Melayunya bangsanya mudah lupa.
Manusia adalah daripada salur galur bahasa Arab yang maksudnya pihak yang mudah lupa. Ia bahasa Tuhan yang membangsakan manusia itu makhluk bersifat lupa.
Nabi Adam yang dihukum buang ke dunia ini adalah kerana lupanya akan amaran secara langsung kepadanya supaya jangan dekati pokok yang kita tahu namanya khuldi. Kalau tidak lupa bukan manusia namanya. Ia jadi malaikat.
Bukanlah Melayu saja mudah lupa seperti yang doktor itu pernah madah. Doktor itu juga pelupa.
Memanglah menahan seseorang di bawah ISA diluluskan oleh Menteri Dalam Negeri. Tetapi menangkapnya bukan kerja menteri.
Itu kerja polis. Polis tidak dapat menangkapnya. Itu kelemahan polislah.
Bukan menangkap Ibrahim Libya itu saja kerja menteri itu. Banyak kerja yang kementerian itu yang dia kena buat. Maka lamalah Ustaz Ibrahim tidak dapat ditangkap.
Kerana dia tahu dia orang yang dikehendaki polis, maka dia tidak bebas ke sana ke mari. Meskipun dia selalu keluar juga dari Memali, tetapi keluar orang tidak bebas. Sudah terhad kebebasannya.
Tetapi Musa beritahu, setiap kali mesyuarat Umno, orang Umno minta juga dia ditangkap. Akhirnya dia baharui perintah tangkap itu. Tapi dia tidak suruh buat macam yang berlaku itu.
Pandai-pandai mendapatkannya supaya dia dapat ditangkap hiduphidup. Bukan ditangkap hidup atau mati.
Katanya masa itu, dia tidak terima tanggungjawab atas kejadian itu tetapi akauntibili ‘yes!’
Saya tidak arif untuk mentafsirkan perbezaan atas kedua-dua perkataan itu.
Boleh dikatakan Musa tidak bercakap secara terbuka atas kejadian baik semasa dalam kerajaan mahupun selepas bersara daripada politik.
Tidak dia membela dirinya dan tidak juga dia menyalahkan pihak lain.
Tetapi apabila ada percubaan banyak pihak dalam Umno untuk menyalahkannya atas perkara itu, antaranya jika saya tidak silap ialah Naib Ketua Pemuda suatu masa dulu, Abdul Aziz Sheikh Fadzir, Musa mengingatkan, jangan cuba salahkan kawan!
Mungkin kalau dia hendak menjawab, akan banyak kawan-kawannya yang cedera.
Apa pun yang penting apabila Musa menerangkan di mana Dr Mahathir pada masa kejadian itu, dari segi rekodnya, dia masih belum meninggalkan negara untuk berangkat ke China.
Memang tersebar cakap-cakap bahawa doktor itu tidak ada dalam negara masa kejadian itu berlaku. Apa maksud politik cakap-cakap itu tersebar?
Pertama kerana kemungkinan kejadian buruk itu tidak berlaku kalau dia ada dalam negara. Kerana dia tidak dalam negaralah ia berlaku.
Ekoran maksud ini ialah orang lain ada dalam negara tidak tahu untuk mengelak keburukan itu.
Apabila Perdana Menteri keluar negara tanggungjawab Perdana Menteri terserah kepada Timbalan Perdana Menteri. Apa lagi pada masa itu sekadar tiga-empat hari PM tiada dalam negara, maka TPM Musa pun disebut Pemangku Perdana Menteri.
Setelah Musa keluar daripada kerajaan tiada lagi Pemangku Perdana Menteri selain daripada dia cuti dua bulan. Saya tidak ingat selama mana dia menjalani rawatan pemintasan jantung kali pertama, adakah Ghafar Baba jadi pemangku?
Maka mengatakan dia tiada dalam negara semasa kejadian Memali itu, seolah-olah mahu menyerahkan kelemahan kejadian itu secara tidak langsung kepada TPM Musa.
Kedua dari aspek negatifnya mengadakan dia tidak ada dalam negara ialah dia mahu melarikan diri daripada sesuatu tindakan yang mendatangkan keburukan.
Memangnya tersebar desas desus, kononnya apabila ada tindakan kurang menyenangkan, maka dia keluar negara. Yang menyangka begitu pun ada apa tujuan politik daripada sebaran dan sangkaan demikian tidak mudah dipastikan.
Yang tidak tahu di mana dia masa itu bukan sekadar orang awam saja, pensyarah universiti bertaraf profesor madya Agus Yusuf pun tertanya- tanya. Dengan kedudukannya dalam dunia akademik, dia sepatutnya jelas hal-hal seperti ini. Maka bagi menenangkan hatinya dibangkitkan perkara itu di depan Musa.
Agus mungkin sudah tahu, tetapi dibangkitkannya itu bagi menenangkan dirinya seperti yang Nabi Ibrahim a.s. ingin daripada Allah tentang bagaimana orang mati boleh dhidupkan semula di hari kiamat. Allah tanya beliau apa ia tidak yakin dengan kuasa Allah.
Jawabnya, bukan tidak yakin tetapi untuk menenangkan dirinya.
Musa sudah terangkan di mana dia. Tetapi dia tidak mahu ke Kedah untuk menghadapi rakyat yang gelora masa itu. Dia biarkannya orang lain menanganinya. Baginya bertemu dengan pegawai-pegawai China lebih aula daripada menghadapi pembunuhan dan pertumpahan darah itu.
Atau dia melihat kejadian itu kecil. Banyak lagi kerja yang lebih besar.
Dan apabila dia kata, sudah lupa, adakah dia betul-betul lupa atau dia buat-buat lupa. Seperti dikata tadi, manusia itu adalah makhluk mudah lupa. Tetapi kemajuan pendidikan, ada pakar yang boleh mengingatkan apa yang dia lupa.
Soalnya adakah kita pakar seperti itu? Jika Wawasan 2020 berjaya, antaranya meneroka bidang pelajaran yang lebih maju. Apabila ia dicapai, maka akan ramailah pakar yang boleh merawat orang yang lupa. Orang gila pun ada hospitalnya, masakan tiada kini bagi tidak lupa semua dan tidak ingat semua. Lainlah yang di peringkat nyanyuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan