"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bermewah Macam Rosmah, Siapa Sabotaj Muhyiddin?

Shahbudin Husin
Berikutan pendedahan mengenai lawatan mewah Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin ke Dubai yang lebih dipenuhi dengan acara main golf dan menikmati jamuan mewah berbanding menghadiri program rasmi berkaitan pendidikan bermula 8 hingga 12 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Ali Hamsa memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap penjawat awam yang membocorkan rahsia kerajaan.

Beliau berkata, tindakan tegas termasuk pemecatan akan diambil terhadap kakitangan yang berbuat demikian, sambil mengingatkan bahawa menjadi tanggungjawab mereka menjaga kerahsiaan kerajaan demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Baru-baru ini Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim mempertikaikan lawatan lima hari Muhyiddin bersama beberapa pegawainya ke Dubai kerana didakwa tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat berikutan ianya lebih dipenuhi acara bermain golf dan menikmati pelbagai jamuan bertaraf mewah.

Dalam lawatan lima hari itu, Muhyiddin didakwa hanya memperuntukkan tiga jam untuk acara rasmi berkaitan pendidikan manakala selebihnya banyak dipenuhi dengan bermakn golf, menikmati pelbagai jamuan mewah, pertemuan dengan ahli perniagaan dan seolah-olah percutian yang menggunakan wang rakyat.

Selain itu, pegawai yang mengikuti rombongan itu juga lebih ramai terdiri daripada mereka yang bekerja di pejabat Menteri Pendidikan berbanding pegawai kementerian yang terlibat secara langsung berkaitan bidang pendidikan.

Melalui pendedahan ini menyebabkan Muhyiddin mulai dipandang serong dengan ada yang mengatakan beliau juga rupa-rupanya suka bermewah seperti keluaga Najib, terutama oleh isterinya Rosmah Mansor.

Walaupun pendedahan mengenai lawatan itu dilakukan oleh Ahli Parlimen DAP tetapi ianya adalah bersumberkan maklumat daripada seseorang yang menggelarkan dirinya Cikgu yang mendedahkan aturcara penuh lawatan selama lima hari itu di internet.

Memandangkan apa yang didedahkan itu merupakan aturcara yang disusun oleh kementerian, adalah dipercayai individu yang menggelarkan dirinya Cikgu itu merupakan kakitangan kerajaan di Kementerian Pendidikan atau mana-mana jabatan lain yang berkaitan dengan lawatan itu.

Dengan pendedahan itu, bukan saja Kementerian Pendidikan terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa aturcara yang didedahkan itu hanyalah deraf saja dan bukannya rasmi, bahkan Muhyiddin juga terpanggil untuk membuat sidang akhbar sekembalinya ke tanahair untuk memberitahu lawatannya sesuatu yang berjaya bukan saja dslam bidang pendidikan tetapi juga pelaburan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu.

Dan ditambah dengan amaran oleh KSN ini, jelas bahawa pendedahan mengenai lawatan itu sesuatu yang betul dan pihak Muhyiddin, Kementerian Pendidikan dan kerajaan bagaikan terasa bersalah dengannya sehingga terpaksa membuat pelbagai kenyataan dan sidang akhbar untuk mewajarnya lawatan tersebut.

Persoalannya yang penting sebenarnya bukanlah siapa yang mendedahkan maklumat itu tetapi apakah niatnya berbuat demikian?

Apakah ia bertujuan untuk memberitahu bahawa di ketika kerajaan kekeringan wang dan ingatan supaya rakyat berjimat cermat, tetapi sebaliknya pemimpin sendiri terus bermewah dengan menggunakan dana kerajaan?

Ataukah pendedahan ini untuk membuktikan selain isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang suka bermewah, sebenarnya Timbalan Perdana Menteri juga membuat tabiat yang sama?

Mungkinkah pula pendedahan dilakukan oleh orang-orang Najib yang mahu membunuh karier politik Muhyiddin dan menghalangnya daripada terus menonjol?

Atau barangkali permainan ini diatur oleh pimpinan pelapis di barisan kedua yang mahu membunuh karier politik Muhyiddin dan mengambil alih kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Bahkan boleh jadi, setelah pelbagai kritikan mengenai kemewahan Najib dan isteri didedahkan sebelum ini, pendedahan mengenai gaya suka bermewah Muhyiddin ini bertujuan untuk menyingkirkan kedua-duanya sekaligus dengan mewujudkan persepsi bahawa mereka bukanlah pemimpin dan gandingan yang sesuai untuk parti dan negara?

Apa pun kebarangkaliannya, ia adalah serba mungkin sebenarnya. Jika sebelum ini Muhyiddin agak terselamat daripada serangan berbentuk peribadi berikutan ianya berjaya diselindungkan selain kerana beliau juga mempunyai isteri yang agak sederhana, nampaknya kini merupakan masa untuk beliau mula berhati-hati.

Serangan terhadap Muhyiddin ini terlihat seperti pembangkang yang membangkitkannya tetapi yang bakal mendapat untung lebih dulu mungkin daripada dalam kelambu UMNO sendiri.
http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Tiada ulasan: