"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa jadi jika cadangan regu Mahathir-Anwar ditolak?

AHMAD LUTFI OTHMAN

Saya lebih cenderung pembangkang menggembleng setiap potensi dan peluang yang melintas sepanjang tiga bulan selepas mandat rakyat dicuri pada hujung Februari lalu, agar direbut kembali secepat mungkin. Lebih besar risiko bagi pembangkang menghadapi PRU15 secara mengejut ketika Perikatan Nasional (Bersatu Muhyiddin, Umno-BN dan Pas) menerajui kerajaan, apatah lagi siri pendakwaan terpilih akan dimanipulasi bagi menekan oposisi dengan hebat sekali.

Pada hemat saya, pilihan yang lebih praktikal adalah cadangan pakej Dr Mahathir Mohamad perdana menteri dan Anwar Ibrahim TPM-Menteri Kewangan. Usul ini dirasakan lebih munasabah bukan disebabkan Mahathir lebih berkelayakan (kedua-duanya amat layak, namun pertimbangan utama adalah real politik) tetapi bekas PM itu dirasakan boleh membawa “cukup bilang” yang diperlukan buat masa ini, terutama dari blok Sabah-Sarawak.

Anwar dan penyokongnya tentu sukar mempercayai Mahathir lagi, dan hakikat ini amat difahami. Malah, berdasarkan laporan dan respons media sosial, ramai khalayak meluahkan prasangka buruk yang tinggi kepada Mahathir. Bukan sekadar rekod pemerintahan 22 tahun sebagai perdana menteri keempat, tetapi juga prestasi selama 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH). Mahathir dilihat tidak berpegang kepada janji peralihan kuasa, berdolak-dalek dan kerap menganjak tarikh, serta didakwa turut merancang atau sekurang-kurangnya merestui proses rampasan kuasa oleh Muhyiddin-Azmin.

Malangnya sewaktu rundingan giat dijalankan agar persetujuan terbaik dicapai, kumpulan penyokong Mahathir-Anwar semakin giat melemparkan serangan. Nampaknya kumpulan Anwar nampak lebih agresif mengecam Mahathir, menyindirnya, membangkitkan rekod lama termasuk peristiwa Reformasi 1998 serta kembali memberi gelaran jelek kepada Mahathir. Ia agak janggal jika dilihat dalam konteks kolisi politik atau musim rundingan masih berjalan. Namun fenomena ini juga dapat difahami; penyokong Anwar merasakan pihak mereka sudah menahan sabar sejak dua dasawarsa dan perjanjian peralihan kuasa secara bertulis pada Januari 2018 telah dikhianati. Mahathir bagi mereka adalah sosok yang langsung tidak boleh dipercayai lagi. Kepercayaan — aset cukup penting dalam kerjasama politik — telah hilang.

Namun saya mempunyai tanggapan agak berbeda. Saya masih menaruh kepercayaan dan menghormati Mahathir. Rekod 22 tahun 1981-2003 yang mempunyai banyak sisi gelap-negatif tidak menghalang saya untuk menutup pintu buat Mahathir. Begitu juga dengan prestasi 22 bulan kerajaan pembaharuan PH, bagi saya, mempunyai banyak kebaikan meskipun ada kelemahan dan kecacatan. Ia secara umum masih berjalan di atas landasan yang betul. Lebih daripada itu, saya tetap melihat faktor Mahathir berperanan besar bagi mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat, termasuk orang Melayu dalam PRU14.


Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengunjungi Ahmad Lutfi, pagi Selasa,

Kemenangan calon PH (daripada Bersatu) di kawasan majoriti pengundi Melayu, antaranya di kerusi Parlimen Kubang Pasu (kampung kelahiran saya), Langkawi dan Jerlun, merupakan bukti jelas sentuhan Mahathir masih “berbisa”. Sudah pasti ia tidak dapat menenggelamkan faktor Anwar yang mula mengubah lanskap politik tanahair sejak 1998. Mahathir mungkin hanya mengalih sekitar lima peratus pengundi Melayu daripada kelompok tradisi penyokong Umno tetapi ia sudah cukup untuk meruntuhkan kerajaan Umno-BN yang tertegak teguh sejak 60 tahun.

Proses pembaharuan atau agenda reformasi memang diakui agak lembab, tidak menurut prioriti, atau dalam sesetengah aspek, agak drastik. Sebahagiannya dapat difahami. Hampir semua anggota pentadbiran langsung tiada pengalaman, manakala mereka juga diasak faktor “kerajaan terpendam”. Sementara anggota jemaah menteri perlu bertatih, real politik Malaysia juga dihimpit faktor istana, golongan korporat dan kumpulan pendesak agama-kaum.

Kerajaan baru kita tertegak bukan atas ledakan revolusi (seperti Iran) atau semangat reformasi (seperti Indonesia). Peralihan kerajaan melalui proses pilihan raya aman, yang diketuai bekas perdana menteri yang berkuasa selama 22 tahun. Kekuatan Mahathir diakui datang bersama bagasi sejarahnya. Mahathir juga membawa orang kepercayaannya, Daim Zainuddin, yang berpengaruh menentukan haluan besar negara dan pelantikan jawatan-jawatan kritikal.

Agak tidak adil menyalahkan pemimpin-pemimpin kanan PH terutama daripada tiga “parti reformasi”, PKR-DAP-AMANAH, yang mungkin dilihat tidak dapat “mengawal” Mahathir, memandangkan tempoh dua tahun awal itu lebih tertumpu untuk mendalami potfolio masing-masing. Hanya Lim Guan Eng, Azmin Ali dan Muhyiddin Yassin berpengalaman dalam kerja-kerja pentadbiran kerajaan. Itu pun, dapat dikesan dan terbukti kemudiannya, Azmin dan Muhyiddin, mempunyai agenda personal mengkhianati kerajaan sendiri. Misalnya, keresahan orang Melayu-Islam terhadap pelbagai isu yang sengaja dicetuskan, tidak ditangani dengan baik dan berkesan oleh Kementerian Dalam Negeri, yang diketuai Muhyiddin sehingga kerajaan PH dilihat meminggirkan kepentingan Melayu-Islam. Banyak laporan polis tidak diambil tindakan.

Saya juga tidak dapat menerima tuduhan bahawa Mahathir sama-sama berkomplot dengan Muhyiddin-Azmin untuk menjatuhkan kerajaan PH akhir Februari lalu. Dapat difahami tindakan nekad Mahathir itu sebagai memikul tanggungjawab moral apabila partinya, Bersatu, keluar PH dan lebih sepuluh ahli Parlimen PKR tidak bersamanya lagi. Cuma kesilapan besar Mahathir tidak merundingi rakan-rakan pemimpin sekutu komponen PH sebelum meletakkan jawatan perdana menteri.

Pengkhianatan lebih 30 wakil rakyat Bersatu dan PKR itu membuatkan Mahathir terpaksa membuat keputusan segera dan sangkaannya untuk meraih sokongan semua parti meleset apabila gagasan kerajaan perpaduannya ditolak Umno, Pas, PH dan gerombolan pengkhianat. Mahathir tidak mahu meninggalkan DAP seperti diminta dan menolak penyertaan Umno secara enbloc kerana bercanggah dengan prinsipnya. Saya tidak pun melihat aksi Mahathir yang ditohmah menjatuhkan kerajaannya sendiri; tuduhan tidak masuk akal. Dia masih boleh jadi perdana menteri jika bersedia kompromi dengan syarat-syarat berkaitan DAP dan Umno itu. Dia tersalah langkah dan silap percaturan. Masakan Mahathir tidak memilih untuk “mendarat” dengan baik pesawat politiknya?

Ketika menulis catatan petang ini, terlintas ingatan menjelang PRU14 lalu. Saya dikunjungi kartunis genius, rakan baik saya, Zunar. Dia cukup rapat dengan Anwar. Semasa Anwar di penjara, terutama di awal zaman Reformasi, Zunar berperanan sebagai penghubung antara kami, pihak akhbar dengan bekas TPM itu. Tulisan Anwar untuk media, termasuk penerbitan saya seperti majalah Detik dan tabloid tidak berkala, diseludup keluar dan disampaikan oleh Zunar.

Menariknya dalam pertemuan di rumah saya, menjelang PRU14 itu, Zunar mengakui peluang untuk Anwar menjadi PM, yang selama ini tertutup selepas kekalahan PRU13 tahun 2013 kembali terbuka. Maknanya, Mahathir yang menolak turun daripada takhta tahun 1998, kini Mahathir juga yang membuka peluang kepada Anwar. Bagi saya, ia satu pengiktirafan terhadap sumbangan Mahathir terhadap kerjaya politik Anwar.

Dalam situasi sekarang, kebuntuan memilih Mahathir atau Anwar, saya kembali teringat Zunar. Memang Mahathir diakui menggalas beban yang cukup berat, iaitu defisit kepercayaan. Setiap langkahnya dicurigai, janjinya dipersoalkan, rekod kerjanya dinilai lebih kepada aspek negatif. Penyokong Anwar meragui tempoh enam bulan yang diminta Mahathir. Anwar akan terus kekal sebagai “bakal PM” di bawah Mahathir. Namun ini dirasakan pilihan terbaik dan potensi paling cerah untuk menghalang penguasaan Perikatan Nasional (PN). Sekali gus memastikan pintu tertutup rapat untuk regim kleptokrasi kembali mencengkam.

Sebaliknya, meskipun begitu, saya turut berhati-hati dengan silat politik Mahathir, pada masa sama saya masih mengharapkan ini adalah penyelesaian terbaik untuk pembangkang kembali kuasa. Mengharap sambil bimbang. Harapnya ada mekanisme tersendiri yang lebih mengikat; mengelak daripada berulangnya persefahaman yang terbatal. Buat penyokong kuat Anwar, ini juga dirasakan alternatif lebih praktikal untuknya mendaki ke Putrajaya.

Saya tidak menolak keyakinan dan kepercayaan pihak yang merasakan Anwar lebih layak menjadi PM dan bertindak memulihkan negara, tetapi isu besarnya adalah kemampuan Anwar membawa “cukup bilang” wakil rakyat. Permainan angka ini dilihat banyak pihak lebih dikuasai Mahathir.

Mungkin penyokong Anwar mempersoal, jika Mahathir ikhlas menyelamatkan negara, mengapa beliau tidak mengisytiharkan sokongan terbuka kepada Anwar dan meminta ahli Parlimen yang mendukungnya juga bersama Presiden PKR itu. Dengan itu, pastinya Anwar juga “cukup bilang”.

Difahamkan, Mahathir jika mengundurkan diri daripada saingan perdana menteri, memilih untuk tidak aktif lagi dalam politik. Lebih utama daripada itu, saya sendiri tidak yakin Mahathir boleh mempengaruhi penyokongnya yang tidak bersedia memilih Anwar itu, dapat mengubah pendirian mereka. Dalam kes peralihan kuasa dulu, pemimpin Bersatu sendiri yang tidak cenderung untuk melepaskan jawatan PM kepada Anwar tetap berpegang dengan pendirian itu. Mereka turut mempunyai sifir politik tersendiri, juga melihat kepentingan peribadi masing-masing dan survival parti.

Ramai juga bertanya, apa situasi baru politik jika Anwar dan pemimpin PKR bertegas menolak pakej Mahathir-Anwar? Apakah pembangkang akan berpecah dua, yang memungkinkan pertembungan tiga (atau banyak) penjuru? Mungkinkah PKR akan bertanding bersendirian dan membentuk blok ketiga? Ini belum diperincikan lagi unjuran konflik dalaman PN. Saya belum bersedia untuk meramalkan kemungkinan yang buruk itu. Kita sama-sama doakan senario yang lebih baik dahulu.

Tiada ulasan: