"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas CEO PNB dedah hadapi pelbagai gangguan

MALAYSIA DATELINE

Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Rasheed mendedahkan bagaimana beliau menghadapi gangguan semasa memegang jawatan sebagai CEO dan presiden kumpulan PNB.

Menurut cucu saudara Tun Dr Mahathir Mohamad itu, keadaan tersebut membuatkannya semakin bimbang tentang keselamatan keluarga.

“Paling keterlaluan bagi saya adalah gangguan yang harus saya alami akibat panggilan dari nombor yang tidak dikenali, akaun e-mel korporat saya dan profil LinkedIn saya digodam.

“Pada akhirnya, saya memutuskan bahawa tidak adil bagi keluarga saya sekiranya masalah ini berterusan.

“Keluarga saya membuat pengorbanan yang besar, juga dari segi kewangan untuk berpindah kembali ke KL dari Singapura kerana saya benar-benar ingin menyumbang kepada pembangunan negara,” ujarnya semasa sesi townhall dengan kakitangan PNB bagi menjelaskan peletakan jawatannya hari ini.

Salinan ucapan Jalil, 38, turut dihantar melalui e-mel kepada kakitangan PNB.

Untuk rekod, Jalil dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd pada 1 Oktober tahun lalu.

Pelantikannya mencatat sejarah apabila menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif paling muda dalam sejarah PNB sejak ditubuhkan pada 1978.

Dalam masa sama, Jalil menegaskan tidak ada individu yang mengatasi institusi.

“Saya tidak berniat menyeret PNB dalam (isu) ini. PNB mesti dilindungi dengan segala cara.
“Oleh itu, saya telah memilih jalan yang sukar, sendirian, yang menghancurkan saya dan keluarga,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Sebelum menyertai PNB, Jalil adalah Ketua Pegawai Eksekutif operasi Asia Selatan di syarikat Invesco, sebuah firma pelaburan global utama yang mengurus lebih AS$1.2 trilion (RM5.05 trilion) dalam pelbagai kelas aset pelaburan di lebih 25 negara.

Tiada ulasan: