"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

TUN M BERUBAH2 FIKIRAN MENYULITKAN LAGI RUNDINGAN CALON PM?

Shahbudin Husin
Dalam isu menentukan calon Perdana Menteri PH Plus yang sehingga kini belum lagi dapat dimuktamadkan, ramai orang cuba menyalahkan Anwar Ibrahim atas kegagalan itu.

Kata mereka, jika Anwar sedia bertolak ansur dan mengalah kepada Tun Mahathir Mohamad, sudah pasti kata putus sudah dapat dimuktamadkan sekarang ini.

Mereka menambah lagi, tiada alasan untuk Anwar tidak setuju beralah kerana kali ini dikatakan Tun Mahathir hanya mahu memegang jawatan Perdana Menteri bagi tempoh selama enam bulan saja.

Selepas itu, Tun Mahathir diperkatakan setuju sepenuhnya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar melalui satu surat perjanjian hitam putih yang disertakan sekali tarikh penyerahan kuasa itu akan dilakukan.

Selain itu, sementara menunggu kuasa diserahkan kepadanya, Anwar juga akan diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Oleh itu, tambah mereka, apa lagi yang Anwar perlu bimbangkan?

Menyedapkan lagi cerita, mereka menambah, Tun Mahathir juga semakin tua sekarang ini dan tidak mungkin mampu bertahan lebih lama untuk terus bekerja sebagai Perdana Menteri.

Sekali imbas melihat kepada hujah tersebut dan bagi mereka yang tidak tahu perkara sebenarnya, memanglah ternampak ada logiknya untuk Anwar mengalah saja kepada Tun Mahathir.

Sampai masa atau selewat-lewatnya hujung tahun nanti, tibalah gilirannya pula menjadi Perdana Menteri.

Tetapi, selain Anwar sendiri cukup berhati-hati untuk setuju menerima semula Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri kerana tidak mahu terperdaya untuk kesekian kalinya dengan mainan janji-janji bulan madu Pengerusi Bersatu yang telah terpecat itu, apa yang cukup memeranjatkan ialah kecenderungan berubah fikiran itu sudah pun dapat dikesan sejak mesyuarat pertama PH Plus di Pejabat PKR pada 9 Jun lalu lagi.

Difahamkan, dalam mesyuarat pada hari itu memang Tun Mahathir ada menyuarakan hasratnya mahu menjadi Perdana Menteri selama enam bulan saja sebelum melakukan peralihan kuasa kepada Anwar.

Tidak seperti sebelumnya di mana beliau enggan menerima Anwar sebagai timbalannya, kali ini Tun Mahathir turut bersetuju agar Presiden PKR itu diletakkan sebagai orang nombor duanya dalam kerajaan pimpinannya nanti.

Namun, dalam pertemuan pemimpin PH Plus pada 12 Jun kemudiannya, Tun Mahathir sudah berubah fikiran dengan mengatakan tempoh enam bulan tidak mencukupi untuknya menegang jawatan Perdana Menteri buat kali yang ketiga ini.

Sehubungan itu, beliau meminta tempohnya dilanjutkan kepada setahun dan selepas itu barulah penyerahan kuasa kepada Anwar dapat dilakukan.

Dalam waktu yang sama pula, Presiden Warisan, Shafie Apdal sepanjang masa bertegas bahawa Tun Mahathir perlu dikekalkan sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Beliau sama sekali menolak untuk menjadikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk tempoh enam bulan atau setahun.

Dalam hal ini, bukan saja kelakuan Shafie yang menyamai perangai Azmin Ali sebelum ini yang cukup membimbangkan, lebih mengesankan semua orang ialah Tun Mahathir sudah pun menunjukkan sikap tidak konsisten dan mudah berubah fikiran hanya dalam tempoh empat hari saja.

Bayangkan berapa kali lagi fikirannya akan berubah jika setelah mendapat kuasa sebagai Perdana Menteri nanti?

Untuk itu, sebenarnya ketegasan Anwar dan PKR menolak idea menjadikan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri sekali lagi bukan sesuatu yang tidak berasas, malah siapa pun pasti akan melakukan pendirian yang sama jika kemungkinan janji dimungkiri dapat dikesan hanya dalam tempoh seawal empat hari. (Shahbudindotcom 16/06/2020)

Tiada ulasan: