"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin dan geng lompat dari PKR juga Hamzah dengan geng lompat dari Umno nak bertanding dimana?

GENG AZMIN DAN HAMZAH TIADA KERUSI UNTUK DITANDINGI?
Shahbudin Husin


Dalam gambar perjumpaan antara Muhyiddin Yassin dengan ketua-ketua parti dalam kerajaan PN dua hari lalu, turut terselit dalam pertemuan itu adalah Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin.

Dalam makluman yang dibuat oleh Muhyiddin, beliau menyebut kehadiran Azmin adalah atas kapasitinya sebagai Ketua Whip PN, manakala Hamzah atas kedudukannya selaku Setiausaha Agung Bersatu.

Ramai yang berasa hairan dan meluahkan rasa pelik bagaimana Azmin dan Hamzah boleh dijemput sama, sedangkan kedua-duanya bukan ketua mana-mana parti.

Apa kaitan perjumpaan dengan ketua-ketua parti perlu disertai oleh kedua-dua mereka?

Meskipun atas kedudukan selaku Ketua Whip dan Setiausaha Agung, ramai yang melihat tiada kewajaran berkaitan kehadiran mereka itu, sedangkan ketua parti lain tidak pula membawa setiausaha agung masing-masing untuk hadir.

Lagi pula, bukankah Muhyiddin boleh memberi apa saja arahan kepadan mereka selepas perjumpaan tersebut jika ada hal-hal lain yang perlu dilaksanakan?

Dalam pada itu, sehari selepas perjumpaan tersebut iaitu semalam, UMNO melalui Annuar Musa dan Pas melalui Hadi Awang pula secara terbuka menyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang.

Kata Annuar, persoalan untuk mengekalkan Muhyiddin itu telah dibangkitkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional atau MN yang akan dibawa kepada UMNO dan Pas untuk diputuskan kemudian.

Dengan yang demikian, dalam pertemuan Muhyiddin dengan ketua-ketua parti itu, tidak mustahil turut dibangkitkan bukan saja soal sokongan terhadapnya sebagai Perdana Menteri, tetapi juga berkaitan pembahagian kerusi dalam PRU15 akan datang.

Di dalam PN sekarang, isu yang paling kritikal adalah pembahagian kerusi antara Bersatu, UMNO dan Pas kerana ketiga-tiganya adalah parti Melayu yang akan bertanding di kawasan yang sama.

Dalam PRU14 lalu, Bersatu bersama PH bertanding 53 kerusi Parlimen, UMNO yang mengetuai BN bertanding 120 kerusi, sementara Pas dengan iltizam sebagai kuasa ketiga telah meletakkan calon di 145 kerusi.

Ditambah dengan geng Azmin seramai 11 orang yang dulunya bersama PKR dan kumpulan Hamzah yang merupakan pelompat parti daripada UMNO di mana kedua-duanya kini dalam Bersatu, bagaimana soal berbahagi-bahagi kerusi kali ini mahu diputuskan?

Sediakan UMNO memberi laluan kepada geng Azmin dan kumpulan Hamzah, selain perlu juga memberi laluan kepada Muhyiddin yang memang asalnya daripada Bersatu?

Selain soal kerusi yang dilihat kritikal itu, akar umbi UMNO juga secara majorinya masih berat hati untuk menerima Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 datang kerana mereka mahukan jawatan itu dikembalikan kepada UMNO semula sebagai blok terbesar dalam PN

Dengan itu, mengekalkan lagi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri bukanlah suatu persoalan yang mudah.

Lebih kritikal lagi berkaitan pembahagian kerusi itu ialah berikutan kedudukan geng Azmin dan kumpulan Hamzah Zainuddin yang majoritinya tidak diterima sama sekali oleh UMNO akar umbi.

UMNO mahukan semua kerusi Melayu yang dipegang oleh geng Amin dan Hamzah mesti ditandingi dan direbut semula.

Dalam hal ini, disebut oleh beberapa pihak dalam UMNO, itulah sebabnya kata mereka, dalam perjumpaan antara Muhyiddin dengan ketua-ketua parti pada Rabu lalu, Azmin dan Hamzah telah dijemput sama.

Maknanya, Muhyiddin mahu geng Azmin dan geng Hamzah diterima secara sama rata seolah-oleh mereka juga adalah ketua parti dalam PN sementara beliau amat menyedari UMNO sukar memberi tempat atau berkompromi dengan kedua-dua kumpulan itu.

Seorang pemimpin Bersatu juga ada memberitahu, keberadaan geng Azmin dan Hamzah dalam Bersatu lebih menyulitkan usaha rundingan antara Muhyiddin dengan UMNO berhubung pembahagian kerusi.

Sediakah UMNO berlembut hati menerima Azmin yang masih terlekat dengan isu “video Haziq” dan Hamzah yang dianggap tidak setia kerana meninggalkan UMNO sebaik parti itu hilang kuasa, bukan saja memberikan mereka kerusi, bahkan juga berkempen memenangkan mereka atas nama PN dalam PRU15 nanti? (Shahbudondotcom 03/07/2020)

Tiada ulasan: