"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada perang mulut antara Mujahid, Khalid

MALAYSIA DATELINE

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi tampil menafikan fitnah kononnya berlaku perang mulut antara dua tokoh pimpinan parti itu berhubung pertembungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengesahkan bahawa dakwaan wujudnya perang mulut antara Naib Presiden, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Pengarah Komunikasi parti, Khalid Abd Samad dalam mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional semalam sama sekali tidak benar.

Menurutnya, mesyuarat tersebut sebaliknya berlangsung secara matang dan penuh ukhuwwah dalam sejarah kewujudan AMANAH.

“Semua pandangan dicermati, disusun dan diperkemas dengan mudah kerana semua bermatlamat sama. Tiada agenda dalam agenda.

“Tiada kumpulan dalam kumpulan. Yang dibina kukuh adalah jati diri AMANAH dan Harapan,” katanya yang juga Ahli Dewan Negara itu.

Terdahulu, seorang penyokong tegar Pas melalui ulasannya di saluran Al-Hajari Studios mendakwa wujud perang mulut antara Mujahid dan Khalid berhubung isu pencalonan Perdana Menteri.

“Saya difahamkan berlaku perlagaan pendapat yang begitu besar antara Khalid Samad dan Mujahid Yusof Rawa.

“Khalid menyebelahi Tun iaitu bersetuju dengan cadangan melantik Shafie Apdal sebagai calon Perdana tetapi Mujahid kekal dengan cadangan Anwar sebagai Perdana Menteri seperti mana yang telah ditetapkan oleh konsensus Pakatan Harapan (PH) ketika PRU-14.

“Mereka pun bergaduh, bertekak. Hujah Khalid Samad, kita tidak boleh sokong Anwar lagi dah kerana Anwar pengkhianat sebab mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Muhyiddin sendiri di belakang tabir tanpa pengetahuan DAP dan PAN,” jaja Fais Al-Hajari yang menggelar AMANAH sebagai PAN.

Terus dicemburui

Mengulas lanjut, Athirah menyifatkan AMANAH sebagai parti yang terus dicemburui apabila ada pihak mengada-adakan cerita kononnya berlaku perang mulut antara Khalid dan Mujahid dalam mesyuarat itu.

Tegas Athirah, AMANAH berjaya keluar daripada kelaziman politik keakuan yang sering melihat perbezaan sebagai ancaman dan perpecahan yang akhirnya rencam memporak-perandakan sesebuah parti, setua mana pun hayatnya.

“AMANAH tidak bicara soal posisi sendiri, tetapi sebaliknya fokus melihat isu pokok adalah mandat rakyat, soal negara dan kesejahteraan rakyat.

“AMANAH bukan tempat untuk mana-mana pihak mengadu kehebatan mereka secara peribadi, AMANAH bukan alat kepada mana-mana pihak daripada luar parti, tak kiralah siapa pun mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan tanggungjawab AMANAH dalam membangunkan semula negara dan mensejahterakan rakyat.

“AMANAH bukan individu, AMANAH adalah sebuah pasukan yang sudah teruji. AMANAH ada jati dirinya sendiri,” tegas Athirah lagi.

Dalam rakaman video berdurasi sembilan minit itu, Fais yang juga pemilik Pusat Terapi Bekam Al-Hajari mendakwa Khalid turut melakukan serangan peribadi kepada Mujahid.

“Saya difahamkan Khalid menyatakan kepada Mujahid sebagai pimpinan yang gagal dan tidak popular,” dakwa bekas Ahli Jawatankuasa Pas Batu itu lagi sebelum mengakhiri ulasannya dengan seruan menjauhi PH Plus.

Sebelum ini, Fais dilihat menghalalkan tindakan pemimpin Umno beraksi dalam aplikasi TikTok berbeza dengan pendiriannya ketika Pas masih parti pembangkang.

Tiada ulasan: