"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pertermuan 4 mata Anwar Mat Sabu: Rungkai kekusutan, bina gabungan baru

MALAYSIA DATELINE

Pertemuan empat mata Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu hanya berlaku dengan rakan politik bukannya dengan musuh, kata setiausaha politik beliau, Azhar Mat Dali.

Selalunya, kata beliau, pertemuan sebegini diadakan bagi merungkai kekusutan, berdiskusi idea atau jalan keluar baharu dan kekadang boleh jadi bagi membuka ruang atau langkah membina gabungan baharu.

“Abang Mat bertemu empat mata biasanya hanya dengan rakan politik. Sekenal aku dengan Abang Mat, dia tak bertemu musuh politiknya secara empat mata.

“Jika pun perlu adakan pertemuan, biasanya Abang Mat akan bawa seorang teman sebagai saksi,” tulis Azhar yang dipercayai mengulas pertemuan bos beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Apa-apa hal senang,” kata Abang Mat sebagaimana yang dicatatkan Azhar.

Satu hal lagi, kata Azhar, Ahli Parlimen Kota Raja itu akan merahsiakan segala perbincangan sebegitu dari sesiapa sahaja hatta dengan istei beliau.

“Satu lagi, butir pertemuan sentiasa menjadi rahsia kepada dua orang tersebut. Abang Mat akan simpan kejap rahsia pertemuan.

“Kat sapa pun dia tak akan cerita, hatta isterinya sendiri pun tidak akan tahu,” tulis Azhar lagi.

Bagi beliau, ini memang disiplin Mohamad Sabu sejak dahulu lagi.

“Dia sangat perahsia. Dia sangat menjaga integriti dalam bab ini,” kata Azhar.

Boleh jadi, kata Azhar, inilah salah satu sebab dia masih terus menjadi pemimpin politik sehingga kini.

“Sudah 40 tahun Abang Mat bermain dalam bidang ini. Orang lain aku tak tahu lah,” catat Azhar.

Bagi beliau, dalam politik, menjadi perkara biasa sahaja bagi mana-mana pemimpin mengadakan pertemuan empat mata.

“Memang pertemuan sebegini sudah menjadi sebahagian dari kelaziman urusan politik.

“Bagi Abang Mat pula, memang banyak dia mengadakan pertemuan empat mata ini,” kata Azhar yang ditulis melalui catatan subuh beliau itu.

Tiada ulasan: