"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

“Datuk” Mara Inc terima rasuah RM33.45 juta diheret ke mahkamah lusa

MALAYSIA DATELINE

Bekas pengerusi Pengerusi Mara Incorporated (Mara Inc) bergelar “Datuk” akan didakwa dengan 22 pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Rasuah Kuala Lumpur, Jumaat ini.

Suspek disyaki menerima rasuah sebanyak RM33.45 juta hasil pembelian hartanah oleh MARA Incorporated (MARA Inc) di Dudley International House, Melbourne, Australia .

Lelaki berusia 65 tahun itu sudah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya tengah hari tadi.

“Datuk” itu dijangka dituduh di Mahkamah Jenayah Rasuah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 16 (a), 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010.

SPRM memulakan siasatan termasuk berkerjasama dengan agensi penguatkuasaan di Australia susulan pendedahan Portal The Sydney Morning Herald.

Portal itu melaporkan seorang individu warganegara Malaysia bermastautin di Australia didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai warga asing dan empat lagi tuduhan akaun palsu berkaitan penjualan blok penginapan pelajar Dudley House di Melbourne kepada Mara Inc.

Baru-baru ini, mahkamah di Australia membuat dakwaan terhadap seorang warganegara mereka yang terbabit dalam salah laku rasuah penjualan hartanah itu kepada MARA Inc pada 2013.

Pada 2015, akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi MARA, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik, didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.

Akhbar itu mendakwa ‘sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya’ terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar, dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya di Australia.

Tiada ulasan: