FMT Reporters
Sebuah NGO yang berpusat di Dhaka berkata warga Bangladesh sering diasingkan dan disoal siasat sebaik tiba di KLIA selain dianiaya di pusat tahanan.
PETALING JAYA: Sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) antarabangsa yang berpusat di Dhaka, Bangladesh, menyifatkan dakwaan seorang polis memaksa seorang pekerja asing membayar wang suapan walaupun mempunyai dokumen perjalanan yang sah sebagai ‘malang dan bukan perkara baharu’.
Building Resources Across Communities (BRAC) mendakwa apa yang berlaku bukanlah perkara baharu malah organisasi itu menerima banyak laporan seumpamanya dari pekerja Bangladesh.
NGO itu mendesak polis Malaysia membantu menghentikan pemerasan terhadap pekerja Bangladesh, sambil menambah pihaknya akan menghantar aduan rasmi kepada Suruhanjaya Tinggi di Kuala Lumpur.
Ketua program migrasi BRAC, Shariful Hasan, berkata polis harus menyiasat dakwaan tersebut tanpa rasa takut mahupun pilih kasih.
“Seorang warga Bangladesh yang memiliki semua dokumen sah untuk kembali ke tanah airnya, termasuk sijil negatif Covid-19, terpaksa membayar suapan atau akan terlepas penerbangan pulang,” katanya dalam maklum balas e-mel susulan laporan FMT mengenai kejadian hari ini.
Terdahulu FMT melaporkan polis sedang menyiasat rakaman video oleh seorang pemandu teksi yang mendakwa berlaku rasuah di KLIA yang menjadi tular di WhatsApp.
Video itu, yang mula tersebar Rabu lalu, dirakam seorang pemandu teksi (yang enggan dikenali), dalam bahasa Tamil mengenai anggota polis yang meminta rasuah dari seorang penumpang warga Bangladesh dalam perjalanan ke negara asalnya setelah berbulan-bulan menganggur di sini.
Pemandu teksi itu mendakwa polis memberhentikan kenderaannya di satu sekatan jalan raya dan penumpang tersebut menunjukkan semua dokumennya yang teratur dan sah.
Pegawai itu bagaimanapun memberitahu penumpang, dia perlu membayar denda RM1,000 kerana merentas sempadan Kuala Lumpur-Selangor. Pemandu itu dilepaskan. Pemandu teksi itu mendakwa penumpang tersebut dibawa jauh sedikit dan terpaksa membayar RM100.
Shariful mendakwa BRAC telah menerima banyak laporan mengenai warga Bangladesh diperas dan dipaksa untuk memberi rasuah, dengan atau tanpa alasan. Katanya polis di Malaysia merasakan warga Bangladesh mudah dieksploitasi.
“Saya juga pernah mendengar, apabila permit kerja warga Bangladesh tamat tempoh, mereka terpaksa memberi rasuah setiap kali ditahan polis. Polis juga mempunyai sikap yang negatif terhadap warga Bangladesh. ”
Dakwa Shariful lagi, warga Bangladesh sering diasingkan dan disoal siasat sebaik tiba di KLIA dan juga sering dianiaya di pusat tahanan.
Beliau mendesak pihak berkuasa untuk menghentikan amalan ini kerana kebanyakan warga Bangladesh di negara ini bekerja keras untuk mengirim wang kepada keluarga mereka yang miskin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan