"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri pakai jam hampir sejuta ringgit ketika KL ada lebih 30,000 keluarga miskin?

MALAYSIA DATELINE

Menteri pakai jam hampir sejuta ringgit ketika KL ada lebih 30,000 keluarga miskin?

Tular di media sosial padanan jam tangan dipakai Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa dalam sidang medianya sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan kelmarin.

Imej jam mewah di tangan kiri pemimpin Umno berusia 65 tahun berkenaan dikatakan berharga RM953,024.

Gambar itu turut dikongsikan oleh Facebook rasmi Penerangan Keadilan Rakyat Cabang Simpang Renggam.

“Apa ertinya jam mewah jika tidak tepati masa. Apa makna jam mahal jika malas solat awal waktu.

“Apa guna jam premium jika tidak tolong orang miskin,” kata pentadbir laman itu.

Penampilan Annuar berbaju batik biru tua dan berjam tangan mewah itu dikesan warganet ketika Ahli Parlimen Ketereh berkenaan mengumumkan senarai 335 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

Jumlah penerima gelaran dan pingat itu dianggap paling ramai bukan sahaja berbanding era PH bahkan kerajaan BN sebelum ini.

Dalam sidang media sama juga, Annuar berkata, dianggarkan lebih 30,000 keluarga daripada 1.8 juta penduduk di ibu negara memiliki pendapatan di bawah RM2,200. 

Menurutnya, golongan yang berada di bawah garis kemiskinan itu dikenal pasti di 178 lokaliti di sekitar Kuala Lumpur, terutama membabitkan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Di bandar (Kuala Lumpur) golongan ini tidak dapat memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal.

“Kami anggap mereka perlu dibantu dengan pelbagai jenis kemudahan dan bantuan selain harus ada perancangan khusus agar mereka tidak ketinggalan,” lapor Bernama.

Annuar turut memberitahu anggaran lebih 30,000 keluarga miskin itu mengikut jumlah ketua isi rumah di 63,000 unit PPR di sekitar ibu negara.

Separuh daripadanya, kata bekas Setiausaha Agung BN berkenaan tergolong di bawah garis kemiskinan.

Sehubungan itu, dia berkata pihaknya akan mengagihkan lebih 5,000 kampit beras seminggu menerusi Program MyBeras@Wilayah berbanding sasaran awal hanya 3,000 kampit beras dalam tempoh sama kepada golongan memerlukan.

Bagi tujuan itu, jelasnya, dia menjangkakan 20,000 ke 30,000 kampit beras dalam tempoh sebulan dapat disampaikan secara sistematik kepada kumpulan sasar.

Tiada ulasan: