"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tetak kekasih sampai mati di tepi jalan, pemandu bas ke tali gantung

Bernama

JOHOR BAHRU: Seorang pemandu bas dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah membunuh teman wanitanya di Taman Scientex dekat Pasir Gudang lima tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Shahnaz Sulaiman menjatuhkan hukuman itu ke atas M Siva Sangker, 37, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Dalam penghakimannya, Shahnaz berkata hujah pihak pembelaan yang mengatakan tertuduh tidak berada di tempat kejadian sebaliknya berada di Masai serta menafikan mempunyai motif untuk membunuh mangsa kerana beliau dan mangsa adalah kawan baik, bersifat penafian semata-mata.

Pembelaan itu juga bersifat suatu yang difikirkan kemudian, kata beliau.

Shahnaz berkata, tiada saksi yang melihat tertuduh berada di Masai seperti dakwaannya dan pembelaan itu juga tidak ditimbulkan semasa kes pendakwaan.

Menurutnya lagi, keterangan isteri dan pakcik tertuduh juga tidak menyokong keterangan yang dikemukakan dan kedua-dua saksi itu tidak dapat mengesahkan keberadaan tertuduh semasa kejadian pembunuhan berlaku.

Siva Sangker yang kelihatan tenang sejurus keputusan disampaikan didakwa membunuh V Durga Devi, yang ketika itu berusia 23 tahun di Jalan Kancil 1, Taman Scientex, Pasir Gudang pada 12.15 tengah hari, 21 Nov 2016.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan yang dikendalikan timbalan pendakwa raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Suriani Ujang mengemukakan 23 saksi sepanjang perbicaraan manakala tertuduh diwakili peguam, GK Sritharan mengemukakan tiga saksi.

Mangsa, pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura, ditemui mati di tempat kejadian akibat parah di kepala, leher dan kedua-dua belah tangan akibat ditetak di tepi jalan.

Tiada ulasan: