ZIN MAHMUD
Dalam berasa kekecewaan kerana gagal dalam pilihan raya negeri Melaka, ada baiknya bagi para penyokong AMANAH bermuhasabah dan seterus menguatkan semangat untuk meneruskan perjuangan bagi masa-masa akan datang lebih-lebih lagi dengan pilihan raya umum ke-15 yang pasti akan diadakan secepat mungkin.
Terdapat dua perkara yang wajar ada ketika bermuhasabah. Pertama, walaupun sudah lama perkara ini diketahui, tetapi wajar diperingati semula mengenai fenomena berpolitik dalam ilusi, serta menghadapi realiti secara tegas.
Apa yang dimaksudkan dengan ilusi dalam berpolitik ialah beranggapan sesuatu keadaan yang tidak benar sebagai realiti. Contohnya, keputusan PRN Melaka sudah jelas dari awal. Realitinya ialah PH kini sudah bukan PH tahun 2018. PH sudah berpecah-belah dan menjadi amat kecil. Tetapi umumnya banyak kalangan masih berasakan PH itu besar. Inilah ilusi.
Minda manusia cenderong menyoroti pada apa yang disukai. Ini membawa mereka untuk mempercayai ilusi. Sementara realiti itu pula adalah suatu yang pahit. Maka seringkali realiti itu ditenggelami oleh ilusi.
Perkara kedua ialah mengingatkan kembali bahawa perjuangan ini bukan untuk kuasa dan jawatan semata-mata. Ia adalah perjuangan murni untuk kebaikan, kebenaran dan keadilan yang sudah tentu mengikuti kehendak agama. AMANAH ditubuhkan setelah Pas didapati mahu bekerjasama dengan UMNO. Sebahagian besar pemimpin AMANAH aktif melawan Umno sejak dari mereka berusia muda. Maknanya, sebahagian besar masa hidup mereka ialah melawan Umno. Perjuangan melawan Umno ini ada pasang surutnya. Maka hanya mampu meraih satu kerusi dalam PRN Melaka tidak wajar menyebabkan rasa putus asa.
Dalam pilihan raya umum tahun 1986, pembangkang Melayu, Pas hanya menang satu kerusi. Tetapi dalam pilihan raya 1990, Pas melalui Angkatan Perpaduan Ummah memenangi Kelantan. Dalam pilihan raya umum tahun 1995, Angkatan Perpaduan Ummah menang tipis di Kelantan, malah hampir kehilangannya.
Semasa pilihan raya 1999, Keadilan gagal menggugat BN tetapi Pas menang Kelantan dan Terengganu. Pada tahun 2004, PKR hanya menang satu kerusi, itupun hampir terlepas dan memerlukan pengiraan semula. Pas pula terlepas Terengganu.
Dalam tahun 2008, pertama kali dalam sejarah BN hilang majoriti dua pertiga dengan Barisan Alternatif bersama DAP memenangi lima negeri. PAS dapat menjadi Menteri Besar Perak. Sekarang bekas MB itu bersama AMANAH.
Pada tahun 2013, Pakatan Rakyat hanya dapat mempertahankan kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Tetapi pada tahun 2018, buat pertama kalinya kerajaan BN tumbang dan AMANAH bukan saja menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan tetapi anggota AMANAH menjadi Ketua Menteri Melaka.
Maka keputusan pilihan raya negeri Melaka ini bukanlah suatu yang mengecewakan. PH kalah tetapi Adly Zahari dapat mempertahankan kerusinya. Jadi Amanah ada juga kerusi ketika mana PKR dan Pas gagal memperoleh sebarang kawasan.
Menjangkakan bahawa PH akan menang di Melaka adalah suatu politik ilusi. Adalah jelas PH sudah berpecah belah. Bersatu keluar PH. PKR berpecah teruk. Pejuang dan Muda tidak bersama PH. Semua jelas. ADUN Umno yang lompat itu pula tidak membawa perpecahan BN.
Daripada keputusan Melaka ini, pastinya akan berlaku penjajaran semula politik. BN akan bertambah yakin untuk memenangi PRU ke-15. Mereka tidak perlu kerjasama mana-mana parti politik lain. Tidak perlu Pas dan tiada Muafakat Nasional. MCA yang memenangi dua kerusi di Melaka juga yakin akan dapat kembali. BN tidak perlu Gerakan lagi. MCA boleh ambil alih semua kawasan Gerakan untuk ditandingi dalam PRU ke-15.
Maka MCA bolehlah menguji nasib untuk mendapatkan kembali Pulau pinang. PRN Melaka menunjukkan DAP bukanlah kebal. Undi Cina tidak dijamin untuk parti itu.
Tetapi nasib PKR sudah kelihatan sejak PRN Sabah. Jadi kegagalannya di Melaka boleh dijangka akan berulang dalam PRN Sarawak. Bukan saja Gabungan Parti Sarawak kini lebih yakin tetapi hubungannya dengan BN akan diperkukuhkan. PKR dan DAP berada dalam tekanan.
Sungguhpun begitu, gagasan PH ini bukan saja perlu diteruskan tetapi ditingkatkan. Lebih tinggi daripada politik pilihan raya ialah inti perjuangan. PKR, DAP, AMANAH dan UPKO berkongsi wawasaan dan idealisme terhadap negara.
Fahaman PH tidak akan sama dengan BN. Walaupun majoriti masih mahu mendukung BN, tetapi fahaman perjuangan PH adalah suatu yang benar, adil dan sesuai. Sedikit sebanyak, walaupun tidak penuh, perkara ini pernah ditunjukkan dalam kerajaan PH yang memerintah negara selama 22 bulan dan juga di Melaka di bawah Adly.
Walaupun Bersatu pernah berada dalam PH, tetapi fahaman parti itu tidak serasi dengan PH. Bersatu, seperti juga Pejuang mempunyai fahaman serupa dengan Umno Mereka berada dalam PH untuk mengalahkan BN saja. Sebab itu mereka tidak dapat berada lama dalam PH, jauh sekali untuk menerima kepimpinan Anwar Ibrahim.
Bagi AMANAH, dalam suasana suram ini, adalah perlu untuk mengukuhkan kembali niat mengapa mereka perlu terus berada dalam perjuangan. Antara mereka yang sedang menjangkau tua tentu ingat mengapa ketika mereka masa muda mengambil keputusan untuk menentang Umno. Tentu ada sebab mereka menentang Umno dan BN sejak tahun 1980. Kalau untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan, adalah lebih praktikal bagi mereka untuk menyertai Umno.
Perjuangan ini bukan kerana kuasa dan jawatan. Ada suatu yang lebih besar daripada kuasa dan jawatan. Sememangnya kuasa dan jawatan mempunyai kegilaannya sendiri. Mabuk kuasa dan gila kuasa sering berlaku, dan perkara ini dapat disaksikan sendiri terhadap BN dan juga segala pergolakan politik selepas tahun 2018.
Warga berusia akan digantikan oleh golongan muda, yang pastinya segar dengan idealisme perjuangan. Sungguhpun begitu, mereka lebih terdedah dengan penyakit gila dan mabuk kuasa kerana belum lama diuji.
Akhirnya, sememanglah nasib ahli politik dalam negara demokrasi berpilihan raya ini ditentukan oleh para pengundi. Tetapi pengundi bukanlah serba serbi benar dan bersih. Sama seperti ahli politik, mereka juga mempunyai angin-angin tertentu yang akhirnya menyerahkan kuasa kepada ahli politik yang bertanding.
Maka untuk menang, ahli politik dan aktivis wajar memahami angin-angin pengundi itu. Tetapi pengundi seperti juga para ahli politik dan aktivis adalah manusia yang mempunyai jiwa dan perasaan.
Mengapa seseorang itu menyokong sesebuah parti atau tokoh adalah terpulang pada jiwa dan perasaannya. Apa yang dikatakan idealisme juga berkait dengan jiwa dan perasaan. Perasaan manusia boleh menjadi rendah diri, atau jadi angkuh. Begitu juga perasaan terhadap agama dan bangsa sendiri. Semua faktor memberi sumbangan kepada sesuatu keadaan.
Akhirnya, ia terpulang pada setiap penyokong, aktivis, ahli dan pemimpin AMANAH untuk menetapkan bagaimana menghabiskan sisa-sisa hayatnya demi perjuangan. Iaitu sebesar mana emosinya perlu dilaburkan untuk parti demi rakyat dan negara. Dengan kejelasan arah tuju, maka sebarang kekalahan tidak akan mendatangkan kekecewaan. Kekuatan fahaman perjuangan menjadi sebahagian jati diri masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan