"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peralihan besar di DUN Melaka, tapi bukan undi BN (undi BN meningkat hanya 0.64 peratus)

Andrew Ong

Pilihan raya negeri (PRN) Melaka baru-baru ini menunjukkan keputusan dramatik dalam komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mungkin menunjukkan BN benar-benar popular ketika ini.

Bagaimanapun, penelitian lebih mendalam terhadap keputusan berkenaan mendapati ia tidak semudah itu. 

Artikel ini akan menunjukkan sebab-sebabnya dengan menumpukan kepada Umno dan dua parti serpihannya iaitu PAS dan Bersatu. Artikel ini tidak mengambil kira peratusan keluar mengundi.

Kemenangan marginal untuk BN, penurunan untuk PH. 

Dalam sistem pilihan raya Malaysia, pecahan undi - pembahagian undi yang diterima oleh sesuatu parti - sering diabaikan tetapi ia petunjuk penting populariti dalam komuniti tertentu.

Dengan membandingkan keputusan pilihan raya umum 2018 dan 2021 di Melaka, jelas BN masih bukan pilihan majoriti rakyat Melaka.

Pecahan undi BN meningkat hanya 0.64 peratus. Dengan perpecahan undi antara PH dan PN, itu sudah cukup untuk memberikan BN lebih dua pertiga majoriti dalam DUN.

Pecahan undi PH susut 15.31 peratus kebanyakannya disebabkan pengundi anti-BN luar bandar beralih kepada PN. 

Pada 2018, kawasan luar bandar kebanyakannya ditandingi Bersatu, yang kini mengetuai gabungan PN.

Dengan kemenangan 21 kerusi, BN memenangi lebih 50 peratus pecahan undi di tujuh kawasan sahaja.

Tidak dinafikan bahawa BN tahu bagaimana menggunakan sistem first-past-the-post dan persempadanan pilihan raya untuk memihak kepada mereka.

Pecahan undi: Peningkatan ketara untuk Umno, tapi..

Umno memperoleh 2.94 peratus peningkatan signifikan dalam pecahan undi berbanding 2018, tetapi penelitian lanjut terhadap keputusan itu menunjukkan ia tidak menyeluruh.

Parti itu memenangi 16 kerusi pada 2021, tetapi kurang sokongan di enam kerusi - Kuala Linggi (-1.34 peratus pengurangan bahagian undi), Tanjung Bidara (-9.01 peratus), Pantai Kundor (-5.39 peratus), Rim (-1.49 peratus) , Serkam (-4.14 peratus) dan Sungai Rembai (-3.25 peratus).

Secara purata, calon Umno yang menang memerlukan 48 peratus undi untuk menang di Melaka pada pilihan raya kali ini.

Satu lagi pihak yang untung besar ialah Bersatu yang menggandakan undinya lebih dua kali ganda pada 2021.

Perlu ditegaskan bahawa Bersatu meletakkan lebih banyak calon pada 2021 (15 calon) berbanding 2018 (6 calon). Lebih banyak calon bermakna lebih banyak peluang mendapat undi, yang turut menjelaskan mengapa Gerakan menunjukkan prestasi yang lebih baik dengan ketara (5 calon pada 2021 berbanding 1 calon pada 2018). 

Bersatu juga perlu mengambil kira penyokong PAS kali ini.

Yang rugi besar ialah DAP, PKR dan PAS. Di pihak PAS, perlu diingatkan bahawa parti itu meletakkan 24 calon pada pilihan raya 2018 dan hanya lapan kali ini.

Bersatu bukanlah ancaman besar

Umno dan Bersatu saling berebut 11 kerusi dan keputusan menunjukkan Bersatu secara umumnya dikalahkan oleh Umno.

Kecuali Bersatu memenangi satu kerusi (Sungai Udang) dan di Tanjung Bidara (dengan perbezaan 5 peratus undi).

Secara purata, undi Bersatu adalah 15.4 peratus di belakang Umno dari segi pecahan undi.

PAS sebaliknya lebih teruk dalam berdepan Umno di enam kerusi. Secara purata, PAS berada 21.9 peratus di belakang Umno dari segi pecahan undi.

Bagaimanapun, perlu diingat bahawa PAS bersaing rapat dengan Umno di Serkam - kalah dengan hanya 99 undi.

Umno, Bersatu dan PAS kesemuanya merayu undi di kubu Melayu. Pemenang yang jelas di Melaka ialah Umno.

Setiap gabungan ada hilang wang deposit

BN, PH dan PN masing-masing kehilangan dua deposit.

Di peringkat parti komponen, MCA dari BN dan Gerakan dari PN hilang wang deposit di Kota Laksamana dan Bandar Hilir. 

Ini adalah pertandingan yang pertama bagi MCA di dua kawasan ini.

Bagi PH, PKR dan Amanah masing-masing hilang wang deposit di Tanjung Bidara dan Ayer Limau.

Bagaimanapun, berita baik untuk PAS. Pada 2018, daripada 24 calonnya, 10 calon hilang wang deposit. Mereka mempunyai rekod bersih kali ini.



Tiada ulasan: