"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dah kena balun dengan netizen, Afdlin Shauki buat pusingan U

Afdlin Shauki buat pusingan U, jijik tidak beri lagi sokongan kepada kelab komedi TTDI

DANIAL HAKIM

Pelakon dan pelawak Datuk Afdlin Shauki hari ini membuat pusingan U dengan menarik kembali sokongan kepada Kelab Komedi Crackhouse, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di Kuala Lumpur.

Menerusi hantarannya di Facebook, pengarah filem itu menegaskan dengan sekeras-kerasnya apa-apa perbuatan menghina agama di pentas lawak.

Pendirian terkininya itu seperti dijelaskan dalam satu program siaran langsung bersama Amin Idris adalah susulan maklumat-maklumat yang diterimanya daripada rakan-rakan beliau.

“Walaupun hanya segelintir, jika ianya berterusan akan menjadi barah. Perbuatan-perbuatan seperti di atas yang dibanggakan membuat saya rasa jijik dan saya tak boleh lagi memberi sokongan kepada Crackhouse Comedy Club!” tegasnya.

Dalam masa sama, Afdlin turut berkongsikan tangkap layar dari Instagram Rizal Van Geyzel yang memaparkan aksi meminta bantuan seorang wanita Muslim di barisan hadapan pentas persembahan komediri (komedi berdiri) untuk membuka tin bir untuknya.

Terdahulu, tular beberapa sedutan rakaman video yang memaparkan Rizal membuat persembahan komediri dengan naratif yang disifatkan mempersenda Islam dan Melayu selain memfitnah sekolah kebangsaan.

Mengulas lanjut, Afdlin berkata, sebelum ini beliau tidak menyokong penutupan Kelab Komedi Crackhouse lantaran demi kesinambungan rezeki golongan pelawak yang kebanyakannya mempunyai lawak bermutu dan tanpa menghina sesiapa.

“Sekarang ini, nasihat saya pada pelawak-pelawak stendap cari dahulu tempat alternatif untuk mencari rezeki…,” ujarnya.

Beliau berpendapat kontroversi yang mula tercetus ekoran tindakan seorang wanita berusia 26 tahun yang menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga tampil mencolok mata itu dijangka mengambil tempoh panjang untuk diselesaikan.

Oleh sebab itu, Afdlin berkata, kes tersebut harus diserah kepada pihak berkuasa dan jika mereka disabit kesalahan mestilah menerima pembalasannya.

“Abang mendoakan agar adik-adik pelawak yang terkesan sentiasa dilindungi sewaktu dugaan ini dan rezeki korang terus murah.

“Kita hanya boleh berjuang berdasarkan informasi yang diterima dan pada ketika ini, informasi ni membuat abang tak boleh lagi menyokong agar Crackhouse terus dibuka,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggantung sementara operasi Kelab Komedi Crackhouse pada 10 Julai lalu selepas didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

Walhal, setiap premis yang menjalankan perniagaan restoran dan operasi berbentuk hiburan perlu memiliki dua lesen iaitu lesen restoran dan hiburan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata pihak penguat kuasa pelesenan DBKL akan mengambil tindakan lebih tegas yang boleh membawa kepada penutupan kelab jika benar menyalahi syarat lesen yang dikeluarkan.

Tiada ulasan: