"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Elak hal berkaitan Islam jadi bahan ketawa, ‘pelawak’ di masjid perlu dibanteras

DANIAL HAKIM

Tiga individu termasuk wanita yang menjadikan hal berkaitan Islam sebagai bahan ketawa di sebuah kelab komedi telah bermalam di lokap dan diheret ke mahkamah.

Namun, dalam masa sama gejala segelintir penceramah agama menjadi pelawak di masjid hingga riuh-rendah rumah ibadat dibuatnya juga perlu sangat dibanteras.

Ikuti tulisan ATRIZA UMAR berikut yang mengupas isu bagaimana ‘penunggang agama’ tidak segan silu apabila melampaui batas menjadikan agama sebagai bahan ketawa:

Ahli falsafah Inggeris Thomas Carlyle yang memenangi Hadiah Nobel berkata dalam bukunya, ‘Heroes’:

“Menjadi salah satu perkara yang memalukan bagi mana-mana individu yang bercakap pada zaman ini, apa yang dikatakan bahawa agama Islam adalah pembohongan dan bahawa Muhammad adalah pemalsu yang menipu.”

“Kita telah melihat sepanjang hayatnya, teguh pada prinsip, azam yang tinggi, berpandangan jauh, pemurah, alim, belas kasihan, berbudi bahasa. Seorang lelaki yang sangat bersungguh-sungguh, ikhlas, namun, lembut dan tegas.”

Tambahnya, baginda seorang yang sangat adil, cerdas hatinya, berbudi luhur, lemah lembut, seakan-akan ada pelita di antara kedua sisinya setiap malam, bercahaya, seorang yang besar sifatnya.

Dan selepas Carlyle menghuraikan tentang keadilan Rasulullah, beliau mengakhiri ucapannya dengan kata-kata ini:

“Beginilah kehebatan, beginilah kepahlawanan, dan begitulah geniusnya seorang Muhammad.”

Realitinya, sejarah penghinaan dengan pelbagai cara sentiasa berlanjutan terhadap Islam dan baginda Salallahualahiwasallam (SAW), telah bermula sejak zaman baginda mula menyebarkan dakwah lagi.

Siti Nuramira Abdullah, 26, dan teman lelakinya, V Alexander Navin, 38, didakwa ekoran mempersenda Islam.

Cukuplah ibrah dan asbab nuzul dalam Surah al-Lahab dan Surah al-Kauthar menjadi bukti secara jelas bahawa yang melindungi Rasulullah SAW ialah Allah Subhanahuwataala (SWT).

Pada 2016, dunia menyaksikan bahawa seorang menteri di Mesir yang mempersenda Nabi SAW, lantas dipecat berikutan apa yang dikatakannya itu adalah sesuatu yang sensitif dan menghina Islam.

Ahmed al-Zind dilucutkan jawatan sebagai Menteri Kehakiman Mesir berikutan mengeluarkan kenyataan berbaur persendaan kepada Rasulullah SAW.

Ia dilaporkan menyebut bahawa dia akan memenjarakan mana-mana individu yang didapati bersalah tidak terkecuali Rasulullah SAW.

Ucapan ini telah disiarkan secara langsung dalam siaran televisyen Mesir dan telah mengundang kemarahan dan bantahan umat Islam, bukan sahaja di Mesir.

Waktu itu, Perdana Menteri Mesir, Sheriff Ismail yang telah bertindak tegas mengumumkan pemecatan Ahmed al-Zind daripada jawatan Menteri Kehakiman Mesir.

Betapa agama Islam dan Nabi SAW dimuliakan serta disanjung tinggi, tanpa mengira siapa pun diri seseorang itu.

Kerenah yang perlu dinoktahkan

Gurauan dengan menggunakan sesuatu perkataan atas istilah yang merujuk kepada hal-hal berkaitan agama Islam perlu dielakkan kerana dibimbangi boleh merosakkan akidah.

Dewasa ini, pelbagai ragam dan kerenah dicetuskan oleh golongan tertentu semata-mata untuk memenuhi selera diri mereka, terutama apabila membuat sesuatu itu untuk ‘content’ bagi meraih ‘likes, views, followers’ apatah lagi ‘viral.’

Situasi ini tidak khusus merujuk kepada orang awam sahaja, tetapi terdapat golongan seperti ‘penunggang agama’ tidak segan silu apalagi rasa amat malu terhadap agama yang mulia ini.

Sebagaimana memetik kata-kata Pengerusi Pertubuhan Ilmuwan Dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN), Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib, sebagai Muslim yang beriman, pasti mempunyai sifat ‘cemburu’ (ghirah) terhadap agamanya.

“Seperti dalam insiden seorang yang kononnya pelawak atau cuba menjadi pelawak di sebuah kelab komedi baru-baru ini. Menjadikan agama sebagai bahan komedi bukanlah tindakan yang bertamadun, bahkan jelek dan biadab,” tegas beliau.

Beliau berkata, namun jauh sebelum itu, telah ramai ‘pelawak’ yang merapu meraban seakan ‘stand-up comedian’ bukan di kelab komedi, tapi di masjid dan surau.

“Riuh-rendah dalam masjid dengan gelak ketawa akibat sang ‘pelawak’ yang cuba menghiburkan dengan lawak jenaka, cerita karut, kisah dongeng Israiliat, hadis palsu dan seumpamanya yang dipersembahkan oleh ‘pelawak’ yang mungkin menghafal 30 juzuk al-Quran.”

Bagaimana rasa dan tindakan kita apabila lawak seumpamanya itu tercetus daripada orang Islam itu sendiri? Adakah kita perlu berdiam diri, pekakkan telinga dan butakan mata? Sangatlah tidak layak kita berbuat demikian. Kembalilah ingat Firman Allah SWT:

“Dan jauhkanlah diri daripada orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia.” (Surah al-An’aam : 70)

Sedarkah mereka, perbuatan mempersenda agama adalah satu dosa besar dan bagi mereka azab yang amat perit. Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam ayat yang sama (Surah Al- An’aam):

“Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman daripada air panas yang menggelegak dan azab seksa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur ingkar (semasa hidupnya).”

Menjadi perosak dalam beragama?

Teringat saya dalam perbincangan berkaitan isu ini, iaitu kata-kata Ketua Jabatan Komunikasi Strategik dan Multimedia IKRAM, Puan Siti Hamisah Manan bahawa selalunya kita dengar orang bukan Islam menghina atau memperlecehkan agama Islam.

“Tetapi sekarang ini, orang Islam itu sendiri yang melakukannya. Apakah pandangan orang yang bukan beragama Islam terhadap situasi ini?”

Dan tentunya persoalan itu wajar difikirkan bersama semua umat Islam. Walau sememangnya kita tidak perlukan apa-apa pandangan tentang itu, tetapi di mana maruah dan martabat agama Islam itu sendiri di mata kita sebagai seorang Muslim?

Setiap umat Islam ada peranan besar terhadap agama Islam yang mulia ini. Siapa pun yang mempersendakan agama Islam atau agama lainnya, ia tidak wajar dibela apatah lagi dilindungi.

Sebagai umat Islam, menjadi kewajipan untuk kita mempertahankan Islam dan mengelakkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah kepada agama.

Firman Allah SWT:

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu), tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu mempersendakan dan mengejeknya?”

“Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak daripada kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” (Surah at-Taubah : 65-66)

Sedangkan William, seorang sejarawan Inggeris yang hebat menukilkan dalam bukunya, ‘The Life of Muhammad’:

“Muhammad SAW sangat cemerlang dalam kejelasan ucapannya dan kemudahan agamanya, baginda menyempurnakan amalan-amalan dengan konsisten. Sejarah tidak perlu seorang pembaharu yang membangkitkan jiwa, menghidupkan akhlak dan mengangkat martabatnya dalam masa yang singkat seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad untuk agama Islam.”

Jadi, fikir-fikirlah bagaimana kita terhadap agama yang mulia ini?

Simptom yang berakar umbi

Mengulas isu yang hangat diperkatakan sejak minggu lalu ini, Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM), Dr Hamidah Mat berkata, kebanyakan insiden yang berlaku pada masa ini adalah simptom-simptom kepada satu masalah yang telah berakar umbi.

“Seperti barah yang sedang merebak di dalam badan, tanda dan sakit yang muncul memberikan amaran.”

Beliau berkata, insiden yang berlaku amatlah dikesali, apalagi dengan kelajuan teknologi dalam wadah media sosial yang melambakkan komen-komen secepat kilat, hingga kadang-kadang sesuatu perkara belum sempat kita hadam dan faham akan tujuan dan motif ia dilakukan.

“Sungguh, sensitiviti dalam sesetengah golongan pada hari ini sudah makin pudar, sama ada sensitiviti terhadap susila bangsa mahupun adab dalam agama,” ujarnya.

Beliau yang juga Penasihat ILMAN berkata, tindakan yang dilakukan tidak dapat diterima dalam mana-mana neraca, hatta dalam neraca lawak jenaka sekalipun.

“Hakikatnya, perbuatan tersebut seperti meludah ke langit, akhirnya yang terkena ialah diri sendiri, keberanian mempersenda yang cuba dilawakkan akhirnya tumpah sebagai aib ke muka sendiri,” tegasnya dengan berkata apa yang pasti, satu langkah yang drastik perlu dilakukan.

“Nampaknya bukan kanak-kanak sahaja yang perlu disekolahkan, golongan dewasa juga dilihat dahagakan suntikan-suntikan yang positif dan segar untuk menjadi manusia yang betul-betul menggunakan akal dan kewarasan dalam tindakan.”

Menurutnya lagi, jika perlu, penguatkuasaan dalam bentuk undang-undang yang lebih tegas dan hukuman yang setimpal dilihat sebagai satu alternatif yang mendesak demi mengekalkan kesejahteraan sosial dalam masyarakat.

Kenakan tindakan tegas

Memang Allah SWT Maha Pengasih lagi Maha Pengampun, maka pohonlah keampunan atas dosa yang telah dilakukan dengan bertaubat secara bersungguh-sungguh.

Walaupun begitu, kita sebagai seorang Muslim perlu bersikap tegas dan keras dalam mengendalikan isu yang sangat keterlaluan serta melampau ini.

Firman Allah SWT:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar : 53)

Justeru, pihak Kerajaan Keluarga Malaysia terutama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlulah bersikap tegas tanpa kompromi terhadap isu yang berleluasa kini.

Sedangkan kita hidup di sebuah negara yang agama Islam disanjung dan agama lain juga tidak boleh diperlecehkan, sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-An’am Ayat 108;

“Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.”

Maka, sudah tiba masanya situasi seperti yang terjadi ini dikenakan tindakan yang tegas agar tiada lagi golongan yang berani melakukan perkara yang sama semata-mata meraih populariti atau agenda tertentu, tidak terkecuali kepada sesiapa pun.

Tiada ulasan: