FMT Reporters
PETALING JAYA: Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan PAS sebagai parti “boleh berubah sekelip mata” dan tidak mustahil boleh kembali bekerjasama dengan DAP demi mendapat kuasa.
Mohamad, bekas timbalan presiden PAS dari 2011 hingga 2015 itu merujuk pertembungan dengan Umno yang bukan sekadar politik tetapi hukum sehingga melarang berimamkan dan memakan sembelihan ahli parti berkenaan.
Namun, katanya segala pertembungan itu diketepikan apabila kedua-duanya bekerjasama pasca PRU14 untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dianggotai Amanah, PKR, DAP dan Bersatu.
Menyentuh hubungan PAS-DAP, Mohamad berkata kedua-duanya mempunyai hubungan lama dan DAP sentiasa dipuji kerana dikatakan sentiasa menghormati perlembagaan dan hak-hak demokrasi.
“Tetapi hari ini mereka memberi komen yang buruk kepada DAP. Perkara ini perlu diabaikan oleh pendokong Amanah.
“Hal ini kerana jika Amanah memutuskan hubungan dengan DAP 2 petang, sejam berikutnya PAS akan segera menghulurkan tangan kepada DAP yang memiliki 40 kerusi Parlimen,” katanya dalam kenyataan.
“Segala kecaman kepada DAP akan bertukar segera kerana bagi mereka ialah kekuasaan yang menjadi matlamat utama daripada segala-galanya.”
Sehubungan itu, Mohamad berkata ahli Amanah perlu kekal tenang dan tidak perlu melayan sebarang ulasan berkenaan serangan PAS terhadap DAP.
“Hal ini kerana PAS adalah parti yang boleh berubah sekelip mata,” katanya yang juga menteri pertanian dan keterjaminan makanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan