"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suspek utama kes Bella didakwa esok

LUQMAN HAZIQ ABDULLAH

JOHOR BAHRU: Suspek utama kes kehilangan seorang ibu tunggal, Mira Sharmila Samsusah, 32, atau lebih dikenali sebagai Bella akan didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat, esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek utama yang mempunyai kaitan dengan kehilangan Bella pada 14 Disember tahun lalu akan dituduh pada pukul 9 pagi esok di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Perkara itu dimaklumkan beliau dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada 21 Januari lalu, polis menahan reman tiga individu termasuk teman lelaki Bella selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengesahkan penahanan reman terhadap kesemua tertuduh yang berusia antara 24 hingga 39 tahun itu.

Mereka direman hingga 27 Januari ini.

Kes kehilangan Bella mendapat perhatian ramai apabila kakaknya, Norisham, 36, tampil membuat laporan polis selepas adiknya itu gagal dihubungi pada malam 14 Disember tahun lalu.

Menerusi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang diambil daripada jiran Bella, menunjukkan wanita itu keluar dari rumah sebelum menaiki sebuah kereta berwarna putih disyaki milik teman lelakinya.

Namun selepas lebih sebulan pencarian Bella, polis menemukan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah yang terbiar di Tongkang Pechah, Batu Pahat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Bella.

Setakat ini keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) tersebut masih belum diperoleh sama ada rangka tersebut milik Bella atau sebaliknya. – UTUSAN

Tiada ulasan: