"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tun M akui risau anaknya disiasat

Harapandaily

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui risau terhadap siasatan dijalankan kepada anaknya, Mirzan kerana ia dilihat seperti suatu ancaman, yang boleh mengaitkannya melakukan kesalahan.

Bekas perdana menteri dua kali itu juga mendakwa tujuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat anaknya adalah untuk pengumpulan bukti bagi mendakwa dirinya ke mahkamah.

“Saya nak tanya kepada (Tan Sri) Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM), siapa yang buat tuduhan itu dan kenapa tidak bagi tahu saya?

“Anwar kata saya curi duit kerajaan, …tunjuklah bukti, sebaliknya sekarang saya dengar anak saya diminta untuk beri bukti supaya saya boleh didakwa,” katanya.

Mahathir yang juga penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Pas itu berkata demikian pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu turut mempertikaikan tindakan SPRM yang meminta Mirzan untuk mengisytiharkan aset sejak 42 tahun lalu jika mahu mengelak dikenakan hukuman penjara.

“Apa yang dia (Mirzan) buat? Dia suruh anak saya bagi bukti supaya ayah boleh dicaj. Anak saya kena caj saya, kena beri bukti.

“Bukan main, daripada tahun 1981 sampai sekarang. Sudah tentu dia simpan dalam pejabatnya. Simpan dalam bilik yang penuh dengan cek, dokumen.

“Nak bagi 42 tahun dan diberikan pada masa 30 hari. Kalau lebih 30 hari boleh kena hukum, masuk penjara lima tahun,” kata individu yang bakal mencecah usia 99 tahun pada 10 Julai itu lagi.

Terdahulu, SPRM menyerahkan notis kepada Mirzan yang memerlukannya mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari.

Perintah notis itu telah disampaikan SPRM kepada ahli perniagaan itu di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 pada 17 Januari lalu.

Ia adalah tindakan lanjutan daripada siasatan SPRM berhubung maklumat dalam laporan Kertas Panama serta aktiviti perniagaannya yang membabitkan penjualan dan pembelian syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 juga Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Tiada ulasan: