FMT Reporters
Tentera Rusia dan sekutunya menguasai sebahagian besar wilayah Donetsk di timur Ukraine sejak 2014. (Gambar AP)
PETALING JAYA: Rakyat Malaysia didakwa antara askar upahan yang berperang bersama tentera Rusia di wilayah Donetsk di timur Ukraine, menurut satu laporan tentera Ukraine.
Tentera Rusia dan sekutunya kini menguasai sebahagian besar Donetsk sejak 2014, selepas protes demokrasi besar-besaran di negara itu membawa kepada konflik perang saudara.
“Rusia terus mengambil tentera upahan dari beberapa negara di seluruh dunia untuk meneruskan dasar keganasan mereka,” kata notis ringkas oleh Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine.
“Askar upahan dari Malaysia ditemani penterjemah, termasuk bekas anggota kumpulan Wagner dilihat di wilayah Donetsk yang dikuasai Rusia.
“Pejuang itu ketika ini sedang menjalani latihan. Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan memberi amaran sesiapa bersama Rusia menentang Ukraine adalah sasaran ketenteraan.”
Pejuang dari Cuba, Nepal, Belarus dan Serbia antara kumpulan yang sering dilihat sebagai “anggota angkatan bersenjata Rusia”.
Menurut laman sesawang Pusat Pejuang Penentang Kebangsaan Ukraine, kumpulan itu ditubuhkan oleh Pasukan Operasi Khas Ukraine untuk melatih, mengkordinasi dan merancang gerakan terhadap penjajahan di negara itu.
Kumpulan bersenjata yang mempunyai hubungan dengan tentera Rusia seperti kumpulan Wagner dilaporkan aktif di Ukraine dan dituduh terbabit dengan banyak pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
FMT menghubungi Wisma Putra untuk mendapatkan komen mengenai laporan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan