"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hangat!! Kakak dedah telefon Bella dijumpai di rumah salah seorang suspek

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
LOKASI didakwa tempat telefon bimbit Bella disorok salah seorang suspek. FOTO keluarga Bella
LOKASI didakwa tempat telefon bimbit Bella disorok salah seorang suspek. FOTO keluarga Bella
Batu Pahat: Telefon bimbit milik Mila Sharmila Samsusah, 36, atau Bella, wanita yang dikaitkan dengan penemuan rangka di rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah dijumpai selepas pihak berkuasa menggeledah rumah salah seorang suspek, beberapa hari lalu.

Penemuan 'bukti berharga' itu sedikit sebanyak melegakan keluarga Bella dan mereka bernasib baik kerana lelaki itu tidak mengetahui kata laluan telefon.

Menurut kakaknya, Norhisham, 36, telefon jenis iPhone itu cuba disorokkan dan berkemungkinan akan dijual bagi menghapuskan bukti.

"Telefon Bella dijumpai dan disorok. Telefon itu tidak dilupuskan dan nasib menyebelahi kami sebab dia tak tahu password (kata laluan) iPhone Bella.

"Mungkin kalau dia tahu dia dah reset (padam) habis dan mungkin dia simpan tunggu kes dah reda nak jual 'body lock' iPhone," katanya dalam coretan terbaru di Facebook.

Norhisham yang lebih mesra dengan panggilan Ayu berkata, dia cuba bertanyakan rakan Bella sama ada mengetahui kata laluan telefon itu.

Katanya, rakan Bella memberitahu, adiknya tidak pernah mendedahkan atau berkongsi kata laluan kepada sesiapa pun.

"Tapi saya dan anak-anak memang tahu 'password'...kalau jumpa telefon dia, anak-anak saya buat main 'games', edit gambar...Allah sedihnya. Bella memang rapat dengan anak-anak saya.

"Dia seorang penyayang, masa hari terakhir chat (mesej), dia memang minta nak jaga budak-budak sempena cuti sekolah," tulisnya.

Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu dan kehilangan itu masih menimbulkan misteri.

Penemuan rangka di sebuah rumah sewa terbiar pada Jumaat lalu dipercayai mampu merungkai penantian ahli keluarga selepas 39 hari dilaporkan hilang.

Rangka terbabit ditemui bersama cebisan kain selepas salah seorang suspek ditahan sebelum dipandu ke lokasi penemuannya.

Namun, sehingga kini belum disahkan sama ada rangka ditemui itu milik Bella atau individu lain.

Sejak kehilangan Bella yang juga ibu tunggal kepada dua anak berusia dua dan empat tahun, polis sudah menahan tiga individu masing-masing berusia 24 hingga 39 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga individu terbabit yang disyaki ada kaitan dalam kejadian ini sudah direman sehingga 27 Januari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah memberitahu, sampel patologi dari Jabatan Forensik HSI juga sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk perbandingan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti si mati.

Tiada ulasan: