"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menteri, wakil rakyat juga tidak harus nikmati sistem pencen

LOKMAN ADAM

Sesetengah rakyat boleh memahami beban fiskal yang diwarisi oleh Kerajaan Madani khususnya bebanan hutang RM686.8 bilion yang ditinggalkan oleh kerajaan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pada tahun 2017, jumlah hutang negara hanya 50.8% berbanding KDNK tetapi telah meningkat dengan amat dahsyat melebihi RM1.5 trilion iaitu lebih 82 peratus setelah negara dirosakkan oleh dua pemerintahan Mahathir-Muhiyiddin.

Namun, tidak semua boleh menerima layanan berbeza diberikan kepada YB-YB dan Menteri baru yang masih menikmati sistem berpencen.

Pada zaman TikTok yang melahirkan terlalu ramai rakyat kurang rasional dan cepat melatah ini, kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat sedar bahawa seseorang ahli politik biasanya telah berkhidmat berpuluh tahun kepada rakyat sebelum diberi peluang menjadi wakil rakyat atatah lagi menteri.

Ini mengakibatkan mereka berpandangan, adalah tidak adil sekiranya penjawat awam lantikan baru diwajibkan mengambil sistem KWSP, manakala Ahli-Ahli Yang Berhormat yang baru masih menikmati pencen setelah berkhidmat untuk tempoh sepenggal sahaja.
Rakyat yang kurang rasional, tidak pernah peduli bahawa Perdana Menteri bukan setakat tidak mengambil pencen, malah langsung tidak mengambil gaji beliau.

Mereka juga tidak pernah menganggap bahawa potongan gaji para menteri Kerajaan Madani sebanyak 20 peratus selama ini adalah sebahagian daripada semangat kebersamaan para Menteri bersama rakyat dalam menghadapi bebanan kos sara hidup yang kian meningkat.

Sehubungan itu, saya ingin mencadangkan agar Kabinet turut mempertimbangkan agar bakal Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Dewan Negara serta bakal Menteri dan Exco Kerajaan Negeri yang mengangkat sumpah selepas 1 Februari 2024, juga tidak lagi menikmati sistem pencen sepertimana sebelum ini.

Mereka juga hanya menerima caruman KWSP sepertimana penjawat-penjawat awam yang dilantik selepas 1 Februari 2024.

Ini sedikit sebanyak dapat meredakan kemarahan rakyat dan sekaligus memperlihatkan kerajaan adil kepada semua.

Tiada ulasan: