Mohamed Farid Noh
farid_noh@bh.com.my
Johor Bahru: Motif pembunuhan Bella atau nama sebenarnya Mila Sharmila Samsusah, 32, adalah disebabkan cemburu dan sakit hati.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata motif berkenaan dikenal pasti hasil siasatan menyeluruh dilakukan polis.
"Motif pembunuhan Bella ini adalah kerana kes cemburu dan sakit hati.
"Kes bunuh ini mesti mempunyai motif. Daripada motif itulah kita akan memulakan dan dapat bayangan siasatan kita. Jadi inilah motif yang kita dapat tahu menerusi siasatan dibuat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Terdahulu, Razarudin menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor, Timbalan Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Johor di IPK Johor.
Bella dilaporkan hilang pada malam 14 Disember lalu selepas keluar ke kedai dobi bersama teman lelakinya.
Kehilangan Bella yang mempunyai dua anak, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, hanya disedari pada keesokan hari selepas mesej dan panggilan telefon dihantar kakaknya, Norhisham, tidak dijawab.
Polis kemudiannya menahan teman lelaki Bella berusia 24 tahun dan disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan turut menahan dua lagi individu yang dipercayai ada kaitan dengan kehilangan Bella bagi membantu siasatan.
Pagi tadi, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh wanita itu, bulan lalu.
Jumaat lalu, rangka seorang wanita ditemukan di sebuah rumah terbiar Batu 7, Tongkang Pechah, selepas suspek ditahan sebaik tiba di tanah air selepas menunaikan umrah bersama keluarga.
Semalam, Ketua Polis Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah dilaporkan mengesahkan rangka yang ditemukan itu adalah Bella hasil keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat.
Ditanya mengenai punca kematian Bella, Razarudin berkata, ia disebabkan keretakan di kepala akibat objek tumpul.
Mengenai dakwaan netizen yang tular di media sosial kononnya Bella mengandung, beliau berkata hanya laporan bedah siasat menyeluruh yang dapat menentukan perkara itu.
"Disebabkan kita jumpa rangka sahaja, perkara itu tidak dapat disahkan.
"Sama ada mangsa mengandung atau tidak, itu atas 'post mortem'. Hasil laporan bedah siasat menyeluruh akan menentukannya," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan