"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ebit Lew imamkan solat jenazah Bella di HSI

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
EBIT Lew ketika ditemui di HSI hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
EBIT Lew ketika ditemui di HSI hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Johor Bahru: "Allah SWT dekat dengan insan yang ditimpa musibah, semoga keluarga Bella tabah dengan ujian dihadapi," kata pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew.

Ebit Lew berkata, tujuan dia mengunjungi Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) pada hari ini adalah bagi memberi semangat kepada keluarga Mira Sharmila Samsusah, 32, atau Bella.

Menurutnya, dia juga bersyukur dapat solatkan jenazah Bella sebelum dibawa ke Masjid Datuk Bentara di Batu Pahat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banang.

"Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Bella. Allah akan memberi kebaikan kepada insan sebanyak mana mereka ditimpa musibah.

"Mudah-mudahan Allah SWT memberi kesabaran, rahmat dan kebaikan mencurah-curah kepada keluarga ini," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.

Menurutnya, dia turut mengimamkan solat jenazah bagi arwah Bella.

"Ya, saya imamkan solat jenazah di dalam tadi, nanti di masjid di Batu Pahat, ada solat jenazah lagi sekali," katanya.

Bella yang juga ibu tunggal dua anak itu dilaporkan hilang pada 14 Disember lalu selepas ahli keluarganya gagal menghubunginya sebelum membuat dua laporan polis pada 16 dan 18 Disember tahun ketika keluar ke dobi sambil ditemani teman lelakinya itu dengan menaiki sebuah kereta berwarna putih.

Selepas 38 hari kehilangan Bella, polis Johor akhirnya berjaya mengesan rangka manusia tidak sempurna di sebuah rumah terbiar di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah.

Semalam polis mengesahkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas rangka yang ditemui adalah milik Bella susulan sampel patalogi rangka sepadan dengan DNA yang diambil daripada kakak serta ibunya.

Hari ini, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan membunuh wanita itu, bulan lalu.

Tiada ulasan: